Pendapat BAZ Kedua: Baitul Maqdis Di Dalam al-Masjid al-Aqsa, Bukan Sebaliknya
Siri: Peristiwa Quraisy Bertanya Nabi Tentang Baitul Maqdis
Pengenalan
Saya percaya ramai yang menyangka Masjidil Aqsa di dalam Baitul Maqdis. Anda pun sama kah? Saya juga begitu dahulu. Saya menyangka Masjidil Aqsa di dalam Baitul Maqdis. Rupanya terbalik, Baitul Maqdis di dalam Masjidil Aqsa.
Sebelum kita pergi lebih jauh, istilah Baitul Maqdis itu sendiri perlu diperhatikan. Istilah ini sangat dekat dengan lafaz Ibrani Beit HaMikdash atau בֵּית הַמִּקְדָּשׁ, yang membawa maksud “Rumah Suci” atau “Rumah yang Disucikan”. Dalam tradisi Yahudi, istilah ini merujuk kepada Temple atau rumah suci mereka yang dikaitkan dengan Jerusalem.
Dalam Perjanjian Lama, konsep rumah suci ini memang dikaitkan dengan Jerusalem. Namun al-Quran tidak menyebut nama Baitul Maqdis sebagai Jerusalem. Al-Quran juga tidak menamakan destinasi Israk itu sebagai Baitul Maqdis atau Jerusalem. Yang disebut oleh al-Quran ialah al-Masjid al-Aqsa, iaitu destinasi yang Allah sifatkan sebagai tempat yang diberkati sekelilingnya.
Di sinilah punca kekeliruan besar berlaku. Apabila istilah Baitul Maqdis dibaca melalui kerangka sejarah Yahudi dan Perjanjian Lama, ia mula difahami sebagai kota, wilayah atau kawasan besar yang dikaitkan dengan Jerusalem. Selepas itu, al-Masjid al-Aqsa pula dianggap sebagai satu binaan masjid yang berada di dalam wilayah tersebut. Saya rasa inilah yang ramai pegang.
Namun struktur lafaz al-Quran dan hadis tidak begitu maksudnya. Al-Quran tidak memulakan peristiwa Israk dengan lafaz bayt, dan tidak menamatkannya dengan lafaz bayt. Al-Quran menyebut perjalanan daripada al-Masjid al-Haram kepada al-Masjid al-Aqsa. Maka isu yang lebih utama bukan sekadar di mana Baitul Maqdis, tetapi apakah maksud masjid dalam penggunaan al-Quran.
Jika maksud masjid sudah dikecilkan kepada bangunan solat semata-mata, maka seluruh susunan ini akan terbalik. Orang akan membaca Baitul Maqdis sebagai wilayah besar, kemudian membaca Masjidil Aqsa sebagai binaan kecil di dalam wilayah itu. Padahal penggunaan al-Quran menunjukkan masjid sebagai medan, pusat sujud, pusat ketaatan, pusat amanah, pusat hukum dan ruang ibadah yang lebih luas.
Saya percaya anda pernah baca apa definisi masjid mengikut al-Quran dalam siri "Malaysia Bakal Diserang, Kerana Inilah Tanah Bani Israel" di bawah sub artikel "Dulu Serang Istana Melaka Kelak Serang Istana Negara?". Ia juga telah dibincangkan semula dalam siri ini juga dalam "Pendapat BAZ Pertama: Baitul Maqdis Dalam Hadis Ialah al-Masjid al-Aqsa Dalam al-Quran".
Selepas asas makna masjid ini difahami, Insyaallah susunan Baitul Maqdis dan al-Masjid al-Aqsa dapat dibaca semula dengan lebih tepat. Masjid bukan sekadar bangunan solat. Masjid ialah medan yang lebih luas. Bayt pula ialah rumah, pusat atau objek suci yang berada dalam medan masjid tersebut.
Sebab itu, dalam artikel ini, saya mahu susun semula kekeliruan tersebut daripada asasnya. Bukan Masjidil Aqsa di dalam Baitul Maqdis, sebaliknya:
Baitul Maqdis di dalam Masjidil Aqsa.
Nota Sebelum Meneruskan Bacaan
Sebelum meneruskan artikel ini, saya anggap anda sudah membaca Pendapat BAZ Pertama dan memahami asas penting yang telah dijelaskan di sana, iaitu perbezaan antara masjid dan bayt menurut susunan al-Quran dan hadis.
Dalam Pendapat Pertama, telah dijelaskan bahawa masjid bukan sekadar bangunan solat. Masjid ialah medan yang lebih luas, iaitu pusat sujud, pusat ketaatan, pusat amanah, pusat hukum, pusat urusan umat dan pusat kuasa yang sepatutnya tunduk kepada Allah.
Bayt pula ialah rumah, pusat atau objek suci yang berada dalam medan masjid tersebut.
Maka artikel ini tidak akan mengulang semula kupasan itu secara panjang. Pendapat Kedua ini dibina di atas asas tersebut. Sekiranya asas ini belum jelas, pembacaan artikel ini akan mudah tunggang-langgang semula. Anda mungkin akan terus membaca Masjidil Aqsa sebagai binaan kecil di dalam wilayah Baitul Maqdis, sedangkan susunan yang sedang dibentangkan oleh BAZ ialah Baitul Maqdis di dalam Masjidil Aqsa.
Sebab itu, bagi yang belum membaca atau belum jelas, elok kembali dahulu kepada Pendapat BAZ Pertama sebelum meneruskan artikel ini.
Asas Paling Jelas Pada Makkah
Asas ini paling mudah dilihat pada Makkah. Apabila kita membaca susunan lafaz al-Quran, Insyaallah kita akan perasan bahawa Allah menyebut rumah pertama yang diletakkan untuk manusia dengan lafaz بَيْتٍ (baytin).
Allah berfirman:
إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ
“Sesungguhnya rumah pertama yang diletakkan untuk manusia ialah yang berada di Bakkah, diberkati dan menjadi petunjuk bagi sekalian alam.”
Surah Ali ‘Imran 3:96
Ayat ini menyebut بَيْتٍ (baytin), iaitu rumah. Rumah pertama itu berada di Bakkah. Kemudian dalam ayat lain, Allah menjelaskan bahawa Kaabah itulah al-Bayt al-Haram.
Allah berfirman:
جَعَلَ اللَّهُ الْكَعْبَةَ الْبَيْتَ الْحَرَامَ قِيَامًا لِّلنَّاسِ
“Allah menjadikan Kaabah, Rumah Suci itu, sebagai qiyām bagi manusia...”
Surah al-Ma’idah 5:97
Di sini kita boleh nampak satu susunan. Kaabah disebut sebagai al-Bayt al-Haram. Ia rumah suci. Namun apabila Allah memerintahkan arah kiblat, lafaz yang digunakan bukan semata-mata al-Bayt, tetapi al-Masjid al-Haram.
Allah berfirman:
فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ
“Maka palingkanlah wajahmu ke arah al-Masjid al-Haram.”
Surah al-Baqarah 2:144
Di sinilah pola itu mula menjadi jelas. Kaabah ialah al-Bayt, tetapi medan kiblat disebut sebagai al-Masjid al-Haram. Maka al-Bayt berada dalam al-Masjid al-Haram, bukan al-Masjid al-Haram berada dalam al-Bayt.
Daripada pola Makkah inilah kita boleh membaca semula susunan Israk. Jika di Makkah ada al-Bayt di dalam al-Masjid al-Haram, maka kita perlu berhati-hati apabila membaca hubungan antara Baitul Maqdis dan al-Masjid al-Aqsa. Jangan-jangan selama ini susunannya telah diterbalikkan kerana kita membaca Baitul Maqdis sebagai wilayah besar, bukan sebagai bayt dalam medan masjid.
Daripada Pola Makkah Kepada Peristiwa Israk
Apabila pola ini mula jelas pada Makkah, barulah kita boleh bawa kaedah pembacaan itu kepada peristiwa Israk. Saya tidak mahu kita melompat terlalu cepat kepada Baitul Maqdis sebelum kita melihat dahulu bagaimana al-Quran menyusun lafaznya.
Di Makkah, kita sudah nampak bahawa Kaabah ialah al-Bayt, manakala medan kiblat disebut sebagai al-Masjid al-Haram. Ini memberi satu isyarat penting kepada kita. Al-Bayt bukan medan yang menelan masjid. Sebaliknya, al-Bayt berada dalam medan al-Masjid al-Haram.
Apabila kita membaca semula Surah al-Isra’, kita akan jumpa bahawa Allah tidak menyebut Nabi SAW diperjalankan daripada al-Bayt al-Haram kepada Bayt al-Maqdis. Jika susunannya memang bayt kepada bayt, tentu kita boleh menunggu lafaz seperti itu. Namun lafaz yang Allah gunakan bukan begitu.
Allah berfirman:
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى
“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam dari al-Masjid al-Haram ke al-Masjid al-Aqsa...”
Surah al-Isra’ 17:1
Di sini kita perlu berhenti sebentar dan perhatikan susunan lafaznya. Ayat ini bergerak daripada masjid kepada masjid, Bukan daripada bayt kepada bayt.
Permulaan perjalanan disebut sebagai al-Masjid al-Haram. Destinasinya pula disebut sebagai al-Masjid al-Aqsa. Maka pasangan yang dibina oleh al-Quran bukan “Kaabah kepada Baitul Maqdis”, tetapi al-Masjid al-Haram kepada al-Masjid al-Aqsa.
Bagi saya, di sinilah punca susunan itu perlu dibaca semula. Jika di sebelah Makkah kita tidak membaca Kaabah sebagai medan besar yang mengandungi Masjidil Haram, mengapa di sebelah Israk kita membaca Baitul Maqdis sebagai wilayah besar yang mengandungi Masjidil Aqsa?
Bukankah pola yang lebih seimbang ialah begini:
Di Makkah, al-Bayt berada dalam al-Masjid al-Haram.
Maka di destinasi Israk, Baitul Maqdis juga perlu dibaca sebagai berada dalam al-Masjid al-Aqsa.
Bukan sebaliknya. Saya harap kekeliruan dan salah guna istilah ini diatasi.
Hadis-Hadis Yang Menguatkan Pola Masjid Kepada Masjid
Selepas kita melihat pola dalam al-Quran, saya mahu kita semak pula hadis-hadis yang berkaitan. Tujuannya bukan untuk membuka perbahasan baru, tetapi untuk melihat sama ada pola yang kita nampak tadi disokong oleh hadis atau tidak.
Pola yang kita sedang baca jelas. Di Makkah, Kaabah ialah al-Bayt, manakala medan ibadah dan kiblat disebut sebagai al-Masjid al-Haram. Dalam Surah al-Isra’ pula, perjalanan Nabi SAW disebut daripada al-Masjid al-Haram kepada al-Masjid al-Aqsa. Jadi saya mahu anda lihat, apabila Nabi SAW sendiri menyebut tempat-tempat ini dalam hadis, adakah Baginda menyebutnya sebagai bayt atau sebagai masjid?
Di sinilah hadis Abu Dharr RA menjadi penting. Abu Dharr RA pernah bertanya kepada Nabi SAW:
أَيُّ مَسْجِدٍ وُضِعَ فِي الْأَرْضِ أَوَّلُ
“Masjid manakah yang mula-mula diletakkan di bumi?”
Nabi SAW menjawab:
الْمَسْجِدُ الْحَرَامُ
“al-Masjid al-Haram.”
Abu Dharr RA bertanya lagi:
ثُمَّ أَيٌّ
“Kemudian yang mana?”
Nabi SAW menjawab:
الْمَسْجِدُ الْأَقْصَى
“al-Masjid al-Aqsa.”
Kemudian apabila ditanya jarak antara keduanya, Baginda menjawab:
أَرْبَعُونَ سَنَةً
“Empat puluh tahun.”
Di sini saya perhatikan satu perkara. Abu Dharr RA tidak bertanya, “Bayt manakah yang mula-mula dibina?” Nabi SAW juga tidak menjawab, “Baitullah, kemudian Baitul Maqdis.”
Yang ditanya ialah masjid. Yang dijawab juga ialah masjid.
Jawapannya ialah al-Masjid al-Haram, kemudian al-Masjid al-Aqsa.
Maka hadis 40 tahun ini, pada bacaan saya, bukan sekadar dalil jarak masa antara dua binaan. Ia lebih penting daripada itu. Ia menunjukkan bahawa dua tempat awal yang diletakkan di bumi disebut oleh Nabi SAW dengan kategori masjid, bukan bayt.
Ini selari dengan Surah al-Isra’ ayat 1. Al-Quran menyebut perjalanan daripada al-Masjid al-Haram kepada al-Masjid al-Aqsa. Hadis Abu Dharr RA pula menyebut susunan dua masjid pertama sebagai al-Masjid al-Haram kemudian al-Masjid al-Aqsa.
Jadi kita melihat pola yang sama berulang iaitu bukan bayt kepada bayt tetapi tetapi masjid kepada masjid.
Hadis Tiga Masjid
Pola yang sama juga muncul dalam hadis tiga masjid. Nabi SAW bersabda:
لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلاَّ إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ، الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى
“Tidak dilakukan perjalanan khusus melainkan kepada tiga masjid: al-Masjid al-Haram, Masjid Rasul dan Masjid al-Aqsa.”
Sekali lagi, saya lihat lafaz yang digunakan ialah masjid. Hadis ini juga tidak menyebut tiga bayt. Ia tidak menyebut Baitullah, Baitul Maqdis dan satu lagi bayt. Sebaliknya hadis ini menyebut tiga masjid.
Maka dari sudut keutamaan perjalanan ibadah, kategori yang ditegaskan oleh hadis ialah masjid, bukan bayt.
Ini menguatkan lagi pola yang sedang kita baca. Dalam al-Quran, Israk berlaku dari al-Masjid al-Haram ke al-Masjid al-Aqsa. Dalam hadis Abu Dharr RA, dua tempat awal yang diletakkan di bumi disebut sebagai al-Masjid al-Haram dan al-Masjid al-Aqsa. Dalam hadis tiga masjid pula, perjalanan khusus juga dikaitkan dengan al-Masjid al-Haram, Masjid Rasul dan Masjid al-Aqsa.
Maka bagi saya, hadis-hadis ini menjadi bukti sokongan bahawa susunan asalnya memang bergerak pada kategori masjid. Bukan kategori bayt.
Dari sini apa yang saya hujahkan menjadi lebih jelas. Jika Kaabah sebagai al-Bayt berada dalam al-Masjid al-Haram, maka Baitul Maqdis juga lebih wajar dibaca sebagai bayt yang berada dalam medan al-Masjid al-Aqsa. Bukan Masjidil Aqsa berada dalam Baitul Maqdis. Sebaliknya, Baitul Maqdis berada dalam Masjidil Aqsa.
Penutup
Daripada semua susunan ini, kita telah mengesahkan beberapa perkara yang sangat penting. Pertama, Al-Quran tidak menamakan destinasi Israk itu dengan nama sejarah yang kita biasa dengar hari ini. Al-Quran tidak menyebut Jerusalem. Al-Quran tidak menyebut Baitul Maqdis. Yang al-Quran sebut ialah al-Masjid al-Aqsa, iaitu tempat yang Allah sifatkan jauh dan dihujung serta diberkati sekelilingnya.
Maka bagi saya, kemasyhuran sesebuah tempat tidak boleh menjadi faktor utama untuk memuktamadkan lokasi Israk. Sesuatu tempat boleh masyhur dalam sejarah, masyhur dalam tradisi, masyhur dalam politik dan masyhur dalam ingatan manusia. Namun apabila al-Quran sendiri tidak menamakan tempat itu dengan nama yang manusia masyhurkan, maka semua faktor perlu dibuka semula untuk diuji.
Jika benar sesuatu lokasi itu mahu dikatakan sebagai al-Masjid al-Aqsa dalam peristiwa Israk, maka ia mesti mampu menanggung pola yang telah kita lihat dalam al-Quran dan hadis. Ia bukan sekadar perlu masyhur. Ia bukan sekadar perlu lama disebut orang. Ia perlu sesuai dengan struktur lafaz.
Antara faktor penyemak yang penting ialah kewujudan Baitul Maqdis itu sendiri. Jika pola Makkah menunjukkan bahawa al-Bayt berada dalam al-Masjid al-Haram, maka di sebelah destinasi Israk kita juga perlu bertanya di manakah Baitul Maqdis dalam susunan al-Masjid al-Aqsa?
Adakah Baitul Maqdis itu berada di dalam medan Masjidil Aqsa? Atau Baitul Maqdis itu sebenarnya tidak wujud pun di dalam kompleks yang hari ini dinamakan Masjidil Aqsa? Atau ia berada di luar Masjidil Aqsa, lalu membuktikan bahawa susunan yang diwarisi selama ini memang tidak sepadan dengan pola al-Quran?
Sebab itulah saya memberikan perndapat saya kerana persoalan ini sangat penting. Jika Baitul Maqdis hanya wujud sebagai nama kota, nama wilayah atau nama sejarah luar, tetapi tidak wujud sebagai bayt di dalam medan al-Masjid al-Aqsa, maka lokasi itu belum comply dengan pola yang sedang kita uji.
Sebab itu saya tidak mahu kita berhenti pada kemasyhuran. Kemasyhuran bukan ukuran muktamad. Apa yang perlu diuji ialah susunan. Di Makkah, Kaabah sebagai al-Bayt berada dalam al-Masjid al-Haram. Maka di destinasi Israk, jika benar pola itu sama, Baitul Maqdis perlu berada dalam al-Masjid al-Aqsa.
Pada saya berdasarkan pola yang ada, jika tidak ada Baitul Maqdis di dalamnya, itu satu masalah sekalipun seluruh dunia menerimanya. Jika Baitul Maqdis hanya dianggap sebagai wilayah besar di luar kerangka masjid, itu juga satu masalah besar. Jika Masjidil Aqsa pula diletakkan di dalam Baitul Maqdis, maka itu lebih besar masalahnya kerana susunannya terbalik daripada pola Makkah.
Jawapan kepada soalan ini akan menjadi salah satu faktor penentu sama ada susunan yang diwarisi selama ini benar-benar selari dengan al-Quran dan hadis, atau sebenarnya kita telah mewarisi satu susunan istilah yang terbalik.

Balas kepada: