Peristiwa Quraisy Bertanya Nabi Tentang Baitul Maqdis

HADIS SAHIH YANG MENUNJUKKAN QURAISY BERTANYA TENTANG BAITUL MAQDIS

33 0
Ongoing
Anggaran masa membaca
7 minit 48 saat

Hadis Sahih Yang Menunjukkan Quraisy Bertanya Tentang Baitul Maqdis

Siri: Peristiwa Quraisy Bertanya Nabi Tentang Baitul Maqdis


Pendahuluan

Sebelum kita mencari rupa sebenar Baitul Maqdis dalam peristiwa Israk, kita perlu bermula dengan soalan yang lebih asas. Benarkah orang Quraisy pernah bertanya Nabi Muhammad SAW tentang Baitul Maqdis? Kalau benar, apa sebenarnya yang mereka tanya? Adakah mereka hanya mempersoalkan dakwaan Baginda sampai ke Baitul Maqdis dalam satu malam atau mereka benar-benar meminta Baginda menyebut tanda-tanda tempat itu sebagai bukti?

Soalan ini penting kerana orang Quraisy tidak menerima kisah Israk begitu sahaja. Mereka mendengar, lalu mereka mendustakan. Mereka mahu mencari jalan untuk menjatuhkan Nabi SAW di hadapan orang ramai. Maka Baitul Maqdis menjadi bahan soal jawab kerana tempat itu jauh dari Makkah. Pada ukuran perjalanan biasa, mustahil seseorang pergi ke sana dan kembali semula dalam satu malam. Di sinilah mereka cuba menguji sama ada Nabi SAW benar-benar sampai ke sana atau sekadar menyebut satu dakwaan yang tidak dapat dibuktikan.

Pada masa yang sama, kita pula tidak boleh membaca hadis-hadis ini melebihi apa yang disebut oleh lafaznya. Hadis-hadis di bawah ini nanti memang menunjukkan bahawa Quraisy bertanya tentang Baitul Maqdis. Hadis-hadis ini juga menunjukkan bahawa Allah menampakkan Baitul Maqdis kepada Nabi SAW sehingga Baginda dapat menjawab pertanyaan mereka. Persoalannya, adakah hadis-hadis ini menyebut satu persatu ciri Baitul Maqdis yang Baginda terangkan kepada Quraisy? Itulah yang perlu kita perhatikan sebelum membuat sebarang kesimpulan.

Jadi, hadis-hadis di bawah perlu dibaca dengan tujuan yang jelas. Kita bukan sekadar mahu mengulang kisah Israk, tetapi mahu melihat setakat mana hadis-hadis ini memberikan maklumat tentang Baitul Maqdis. Apa yang disebut, kita terima. Apa yang tidak disebut, kita tidak boleh tambah dengan sangkaan kita. Dari situ barulah kita tahu sama ada hadis-hadis ini benar-benar memberi gambaran rupa Baitul Maqdis atau hanya membuktikan bahawa Nabi SAW pernah menjawab pertanyaan Quraisy tentangnya.


Nota Sebelum Masuk Kepada Hadis

Dalam artikel pembuka siri, saya telah menjelaskan mengapa perbahasan Baitul Maqdis ini muncul sedangkan kajian asal saya ialah tentang Masjidil Aqsa. Maka bahagian itu tidak akan diulang panjang dalam artikel ini.

Artikel ini hanya akan memberi tumpuan kepada satu perkara iaitu adakah benar riwayat sahih menunjukkan Quraisy bertanya Nabi SAW tentang Baitul Maqdis selepas peristiwa Israk?

Sebab itu hadis-hadis di bawah perlu dibaca dengan batas yang jelas. Jika hadis menyebut Baitul Maqdis, kita baca sebagai Baitul Maqdis. Jika hadis menyebut tanda-tandanya, kita akui bahawa tanda-tanda itu disebut. Namun jika hadis tidak menyenaraikan satu demi satu rupa, ciri atau binaan Baitul Maqdis, kita tidak boleh menambahnya dengan sangkaan.


Sahih al-Bukhari 3886

حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ بُكَيْرٍ، حَدَّثَنَا اللَّيْثُ، عَنْ عُقَيْلٍ، عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، حَدَّثَنِي أَبُو سَلَمَةَ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ، سَمِعْتُ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ ـ رضى الله عنهما ـ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ
 
Telah menceritakan kepada kami Yahya bin Bukair. Telah menceritakan kepada kami al-Laith, daripada ‘Uqail, daripada Ibn Syihab. Telah menceritakan kepadaku Abu Salamah bin ‘Abd al-Rahman: Aku mendengar Jabir bin ‘Abdullah, semoga Allah meredai mereka berdua, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
 
 ‏"‏ لَمَّا كَذَّبَنِي قُرَيْشٌ قُمْتُ فِي الْحِجْرِ، فَجَلاَ اللَّهُ لِي بَيْتَ الْمَقْدِسِ، فَطَفِقْتُ أُخْبِرُهُمْ عَنْ آيَاتِهِ وَأَنَا أَنْظُرُ إِلَيْهِ ‏"‏‏.‏
 
Ketika Quraisy menyatakan aku berdusta, aku berdiri di dalam al-Hijr. Maka Allah menampakkan Baitul Maqdis kepadaku dengan jelas. Lalu aku mula memberitahu mereka tentang ciri-cirinya, sedang aku melihat kepadanya.”

Sahih al-Bukhari 3886


Sahih al-Bukhari 4710

حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ صَالِحٍ، حَدَّثَنَا ابْنُ وَهْبٍ، قَالَ أَخْبَرَنِي يُونُسُ، عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، قَالَ أَبُو سَلَمَةَ سَمِعْتُ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ ـ رضى الله عنهما ـ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ

Telah menceritakan kepada kami Ahmad bin Salih, telah menceritakan kepada kami Ibn Wahb. Beliau berkata: Yunus telah mengkhabarkan kepadaku. Daripada Ibn Syihab, Abu Salamah berkata, Aku mendengar Jabir bin ‘Abdullah r.a, beliau berkata, Aku mendengar Nabi SAW bersabda,

لَمَّا كَذَّبَنِي قُرَيْشٌ قُمْتُ فِي الْحِجْرِ، فَجَلَّى اللَّهُ لِي بَيْتَ الْمَقْدِسِ فَطَفِقْتُ أُخْبِرُهُمْ عَنْ آيَاتِهِ وَأَنَا أَنْظُرُ إِلَيْهِ

“Ketika Quraisy menyatakan aku berdusta, aku berdiri di dalam al-Hijr. Maka Allah menampakkan dengan jelas untukku Baitul Maqdis. Lalu aku mula memberitahu mereka tentang tanda-tandanya, sedang aku melihat kepadanya (Baitul Maqdis).”

زَادَ يَعْقُوبُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ حَدَّثَنَا ابْنُ أَخِي ابْنِ شِهَابٍ عَنْ عَمِّهِ ‏"‏ لَمَّا كَذَّبَنِي قُرَيْشٌ حِينَ أُسْرِيَ بِي إِلَى بَيْتِ الْمَقْدِسِ ‏"‏‏.‏ نَحْوَهُ‏.‏ ‏{‏قَاصِفًا‏}‏ رِيحٌ تَقْصِفُ كُلَّ شَىْءٍ‏.‏

Ya‘qub bin Ibrahim menambahkan: Telah menceritakan kepada kami anak saudara Ibn Syihab, daripada bapa saudaranya: “Ketika Quraisy mendustakan aku, ketika aku diperjalankan pada waktu malam ke Baitul Maqdis...”

Kemudian ada penjelasan lafaz Quran... “{Qasifan}: angin yang menghancurkan segala sesuatu.”

Sahih al-Bukhari 4710


Jami` at-Tirmidhi 3133

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ، حَدَّثَنَا اللَّيْثُ، عَنْ عُقَيْلٍ، عَنِ الزُّهْرِيِّ، عَنْ أَبِي سَلَمَةَ، عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ

Telah menceritakan kepada kami Qutaibah, telah menceritakan kepada kami al-Laith, daripada ‘Uqail, daripada al-Zuhri, daripada Abu Salamah, daripada Jabir bin ‘Abdullah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَمَّا كَذَّبَتْنِي قُرَيْشٌ قُمْتُ فِي الْحِجْرِ فَجَلاَ اللَّهُ لِي بَيْتَ الْمَقْدِسِ فَطَفِقْتُ أُخْبِرُهُمْ عَنْ آيَاتِهِ وَأَنَا أَنْظُرُ إِلَيْهِ

Ketika Quraisy menyatakan aku berdusta, aku berdiri di dalam al-Hijr. Maka Allah menzahirkan untukku Baitul Maqdis. Lalu aku mula memberitahu mereka tentang tanda-tandanya, sedang aku melihat kepadanya.”

Abu ‘Isa berkata: Hadis ini hasan sahih.

وَفِي الْبَابِ عَنْ مَالِكِ بْنِ صَعْصَعَةَ وَأَبِي سَعِيدٍ وَابْنِ عَبَّاسٍ وَأَبِي ذَرٍّ وَابْنِ مَسْعُودٍ

Al-Tirmidhi turut menyebut bahawa dalam bab yang sama terdapat riwayat daripada Malik bin Sa‘sa‘ah, Abu Sa‘id, Ibn ‘Abbas, Abu Dharr dan Ibn Mas‘ud.

Jami` at-Tirmidhi 3133


Sahih Muslim 170

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ، حَدَّثَنَا لَيْثٌ، عَنْ عُقَيْلٍ، عَنِ الزُّهْرِيِّ، عَنْ أَبِي سَلَمَةَ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ، عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ

Telah menceritakan kepada kami Qutaibah bin Sa‘id, telah menceritakan kepada kami Laith, daripada ‘Uqail, daripada al-Zuhri, daripada Abu Salamah bin ‘Abd al-Rahman, daripada Jabir bin ‘Abdullah, bahawa Rasulullah SAW bersabda.

لَمَّا كَذَّبَتْنِي قُرَيْشٌ قُمْتُ فِي الْحِجْرِ فَجَلاَ اللَّهُ لِي بَيْتَ الْمَقْدِسِ فَطَفِقْتُ أُخْبِرُهُمْ عَنْ آيَاتِهِ وَأَنَا أَنْظُرُ إِلَيْهِ

Ketika Quraisy menyatakan aku berdusta, aku berdiri di dalam al-Hijr. Maka Allah menzahirkan untukku Baitul Maqdis. Lalu aku mula memberitahu mereka tentang tanda-tandanya, sedang aku melihat kepadanya.”

Sahih Muslim 170


Sunan Abi Dawud 457

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ، حَدَّثَنَا لَيْثٌ، عَنْ عُقَيْلٍ، عَنِ الزُّهْرِيِّ، عَنْ أَبِي سَلَمَةَ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ، عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ

Telah menceritakan kepada kami Qutaibah bin Sa‘id, telah menceritakan kepada kami Laith, daripada ‘Uqail, daripada al-Zuhri, daripada Abu Salamah bin ‘Abd al-Rahman, daripada Jabir bin ‘Abdullah, bahawa Rasulullah SAW bersabda.

لَمَّا كَذَّبَتْنِي قُرَيْشٌ قُمْتُ فِي الْحِجْرِ فَجَلاَ اللَّهُ لِي بَيْتَ الْمَقْدِسِ فَطَفِقْتُ أُخْبِرُهُمْ عَنْ آيَاتِهِ وَأَنَا أَنْظُرُ إِلَيْهِ

Ketika Quraisy menyatakan aku berdusta, aku berdiri di dalam al-Hijr. Maka Allah menzahirkan untukku Baitul Maqdis. Lalu aku mula memberitahu mereka tentang tanda-tandanya, sedang aku melihat kepadanya.”

Status: Da'if (Al-Albani)

Penilaian daif ini merujuk kepada jalur riwayat Abu Dawud ini, bukan kepada asal peristiwa dan bukan kepada matan utama, kerana lafaz yang sama telah sabit melalui riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Sunan Abi Dawud 457


Sahih Muslim 170

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ، حَدَّثَنَا لَيْثٌ، عَنْ عُقَيْلٍ، عَنِ الزُّهْرِيِّ، عَنْ أَبِي سَلَمَةَ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ، عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ

Telah menceritakan kepada kami Qutaibah bin Sa‘id, telah menceritakan kepada kami Laith, daripada ‘Uqail, daripada al-Zuhri, daripada Abu Salamah bin ‘Abd al-Rahman, daripada Jabir bin ‘Abdullah, bahawa Rasulullah SAW bersabda.

لَمَّا كَذَّبَتْنِي قُرَيْشٌ قُمْتُ فِي الْحِجْرِ فَجَلاَ اللَّهُ لِي بَيْتَ الْمَقْدِسِ فَطَفِقْتُ أُخْبِرُهُمْ عَنْ آيَاتِهِ وَأَنَا أَنْظُرُ إِلَيْهِ

Ketika Quraisy menyatakan aku berdusta, aku berdiri di dalam al-Hijr. Maka Allah menzahirkan untukku Baitul Maqdis. Lalu aku mula memberitahu mereka tentang tanda-tandanya, sedang aku melihat kepadanya.”

Sahih Muslim 170


Sahih Muslim 172

وَحَدَّثَنِي زُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ، حَدَّثَنَا حُجَيْنُ بْنُ الْمُثَنَّى، حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ، وَهُوَ ابْنُ أَبِي سَلَمَةَ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ الْفَضْلِ، عَنْ أَبِي سَلَمَةَ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم

Dan telah menceritakan kepadaku Zuhair bin Harb, telah menceritakan kepada kami Hujain bin al-Muthanna, telah menceritakan kepada kami ‘Abd al-‘Aziz, iaitu Ibn Abi Salamah, daripada ‘Abdullah bin al-Fadhl, daripada Abu Salamah bin ‘Abd al-Rahman, daripada Abu Hurairah, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda.

لَقَدْ رَأَيْتُنِي فِي الْحِجْرِ وَقُرَيْشٌ تَسْأَلُنِي عَنْ مَسْرَاىَ فَسَأَلَتْنِي عَنْ أَشْيَاءَ مِنْ بَيْتِ الْمَقْدِسِ لَمْ أُثْبِتْهَا

“Sesungguhnya aku melihat diriku berada di al-Hijr, sedang Quraisy bertanya kepadaku tentang perjalanan malamku (israk mikraj). Maka mereka bertanya kepadaku tentang beberapa perkara daripada Baitul Maqdis yang tidak aku tetapkan dalam ingatanku.”

فَكُرِبْتُ كُرْبَةً مَا كُرِبْتُ مِثْلَهُ قَطُّ

“Maka aku ditimpa satu kesempitan yang belum pernah aku ditimpa seumpamanya sama sekali.”

قَالَ فَرَفَعَهُ اللَّهُ لِي أَنْظُرُ إِلَيْهِ

Baginda bersabda: “Maka Allah mengangkatnya untukku agar aku melihat kepadanya.”

مَا يَسْأَلُونِي عَنْ شَىْءٍ إِلاَّ أَنْبَأْتُهُمْ بِهِ

“Tidaklah mereka bertanya kepadaku tentang sesuatu pun melainkan aku memberitahu mereka tentangnya.”

وَقَدْ رَأَيْتُنِي فِي جَمَاعَةٍ مِنَ الأَنْبِيَاءِ

“Dan sungguh aku melihat diriku berada dalam satu kumpulan para nabi.”

فَإِذَا مُوسَى قَائِمٌ يُصَلِّي

“Tiba-tiba Musa sedang berdiri menunaikan solat.”

فَإِذَا رَجُلٌ ضَرْبٌ جَعْدٌ كَأَنَّهُ مِنْ رِجَالِ شَنُوءَةَ

“Tiba-tiba beliau seorang lelaki yang bertubuh sederhana, berambut keriting, seakan-akan beliau daripada lelaki-lelaki Syanu’ah.”

وَإِذَا عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ قَائِمٌ يُصَلِّي

“Dan tiba-tiba ‘Isa bin Maryam, atasnya salam, sedang berdiri menunaikan solat.”

أَقْرَبُ النَّاسِ بِهِ شَبَهًا عُرْوَةُ بْنُ مَسْعُودٍ الثَّقَفِيُّ

“Orang yang paling dekat menyerupainya ialah ‘Urwah bin Mas‘ud al-Thaqafi.”

وَإِذَا إِبْرَاهِيمُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ قَائِمٌ يُصَلِّي

“Dan tiba-tiba Ibrahim, atasnya salam, sedang berdiri menunaikan solat.”

أَشْبَهُ النَّاسِ بِهِ صَاحِبُكُمْ

“Orang yang paling menyerupainya ialah sahabat kalian.”

يَعْنِي نَفْسَهُ

Maksudnya: diri Baginda sendiri.

فَحَانَتِ الصَّلاَةُ فَأَمَمْتُهُمْ

“Maka tibalah waktu solat, lalu aku menjadi imam kepada mereka.”

فَلَمَّا فَرَغْتُ مِنَ الصَّلاَةِ قَالَ قَائِلٌ يَا مُحَمَّدُ هَذَا مَالِكٌ صَاحِبُ النَّارِ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ

“Setelah aku selesai daripada solat, seseorang berkata: Wahai Muhammad, ini ialah Malik, penjaga neraka. Maka ucapkanlah salam kepadanya.”

فَالْتَفَتُّ إِلَيْهِ فَبَدَأَنِي بِالسَّلاَمِ

“Maka aku berpaling kepadanya, lalu dia mendahuluiku dengan salam.”

Sahih Muslim 172


Penutup

Riwayat-riwayat utama yang sahih dalam bahagian ini menetapkan bahawa selepas peristiwa Israk, Quraisy telah mendustakan Nabi Muhammad SAW dan menguji Baginda dengan bertanya tentang Baitul Maqdis. Nabi menyatakan bahawa Allah menampakkan Baitul Maqdis kepada Baginda sehingga Baginda dapat menjawab pertanyaan mereka.

Namun, hadis-hadis dalam bahagian ini tidak meriwayatkan secara terperinci apakah ciri-ciri Baitul Maqdis yang Baginda sebutkan. Yang sampai kepada kita hanyalah maklumat bahawa Baginda memberitahu mereka tentang tanda-tandanya, bukan senarai tanda-tanda itu sendiri. Maka rupa sebenar Baitul Maqdis belum boleh ditentukan hanya berdasarkan hadis-hadis yang dibawakan dalam bahagian ini.

Perkara yang pasti daripada hadis-hadis ini ialah Quraisy memang mendustakan Nabi SAW selepas peristiwa Israk. Mereka bertanya tentang Baitul Maqdis, lalu Allah menampakkan Baitul Maqdis kepada Baginda. Maka Nabi SAW dapat menjawab pertanyaan mereka dan jawapan itu cukup untuk menunjukkan bahawa Baginda tidak mereka-reka kisah tersebut. Akan tetapi, kita tidak boleh mereka-reka rupa Baitul Maqdis hanya kerana hadis menyebut Baginda memberitahu tentang tanda-tandanya. Riwayat-riwayat ini membuktikan kewujudan peristiwa, bukan membekalkan gambaran lengkap bangunan.

Namun, ini tidak bermaksud semua riwayat tentang peristiwa tersebut sudah selesai dibentangkan. Masih ada riwayat lain yang menyentuh situasi yang sama dengan lafaz dan sudut penceritaan yang berbeza. Sebahagiannya menyebut perbualan yang lebih panjang, orang yang pernah bermusafir ke Baitul Maqdis, kafilah dagang yang menjadi bahan semakan dan maklumat tambahan yang mungkin membantu kita memahami bagaimana Quraisy menyemak jawapan Nabi SAW. Namun, setiap riwayat itu tetap perlu diperiksa mengikut sumber, sanad, matan dan kekuatan lafaznya.

Maka, pencarian kita perlu diteruskan kepada riwayat lain yang lebih panjang, khususnya riwayat yang menyebut perbualan Quraisy dengan orang yang pernah bermusafir ke Baitul Maqdis atau riwayat yang menyentuh kafilah dagang sebagai bahan semakan. Di situlah kita perlu melihat sama ada benar-benar terdapat maklumat tambahan tentang bagaimana mereka menyemak jawapan Nabi SAW, siapa yang mengetahui rupa Baitul Maqdis dan apakah ciri-ciri yang menjadi bahan pertanyaan mereka, atau riwayat-riwayat itu hanya menambah sudut penceritaan tanpa memberi gambaran rupa yang lebih jelas.

 

 

 

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (0):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.