Manuskrip Kisah Sihir — Ujian Seorang Khalifah di Medan Zahir dan Ghaib

BAHAGIAN I BAB 9: MOTIF, DENGKI DAN REALITI KEHIDUPAN

April 14, 2025 290 1
Ongoing
Anggaran masa membaca
10 minit 46 saat

Bahagian I: Jerat Sihir

Bab 9: Motif, Dengki dan Realiti Kehidupan

Ramai orang masih menyangka bahawa sihir itu datang sepenuhnya daripada jin, seolah-olah jin itulah dalang utama, seolah-olah jin itulah yang mempunyai kuasa mutlak untuk merosakkan kehidupan manusia. Tetapi hakikatnya, jin hanyalah alat. Jin hanyalah tentera upahan yang digunakan. Jin tidak akan mampu berbuat apa-apa tanpa arahan, tanpa mandat atau tanpa kontrak yang dimeterai oleh manusia.

Yang benar-benar menggerakkan sihir adalah manusia. Manusia yang sanggup menggadaikan iman demi kuasa. Manusia yang menjadi otak di sebalik perjanjian kotor dengan makhluk ghaib. Manusia yang menaja setiap ritual penyembahan, yang menulis kontrak dengan darah, yang melaksanakan terma perjanjian syirik dan akhirnya, manusialah yang melempar serangan itu kepada mangsanya.

Mereka yang jahat itu bukan makhluk asing. Mereka adalah manusia yang hidup di sekeliling kita. Manusia yang kita sangka baik, manusia yang tersenyum dalam majlis, manusia yang menyalami kita selepas solat dan mungkin manusia yang duduk bersama kita di meja makan. Tetapi dalam diam, hati mereka busuk dengan iri hati. Mereka terbakar dengan marah yang tidak pernah padam. Mereka resah kerana tidak pernah puas dengan nikmat yang Allah berikan kepada mereka.

Inilah manusia yang memilih dunia tetapi menjual akhirat. Mereka sanggup bersekongkol dengan syaitan, sanggup menggadaikan maruah iman hanya untuk menutup rasa tidak puas hati. Mereka sanggup menukar setiap sujud dan doa kepada sebuah kontrak dengan iblis. Dan apabila mereka melakukannya, mereka sebenarnya bukan sahaja menzalimi orang lain, tetapi juga memusnahkan diri mereka sendiri.

Sihir itu bukan sekadar tentang jin. Ia adalah tentang manusia yang sudah dikuasai oleh penyakit hati. Dengki yang tidak terkawal. Marah yang meluap tanpa iman. Hasad yang bertukar menjadi senjata. Dan akhirnya, merekalah yang menjadi pintu masuk sebenar bagi syaitan untuk berkuasa di muka bumi.


Kenapa saya disihir?

Satu soalan yang berkali-kali saya tanyakan dalam hati, namun tidak pernah hadir jawapan yang hitam putih. Mestilah tiada siapa datang menjelaskan dengan terus terang. Tiada kertas bukti yang menunjukkan alasan mereka. Tetapi setelah sekian lama saya melalui detik-detik penuh luka, setelah saya menilai perjalanan ini dengan mata hati, saya dapati jawapannya bukan satu, bukan mudah dan bukan juga lurus.

Ia adalah gabungan. Ia adalah simpulan yang berpintal-pintal daripada pelbagai emosi kotor manusia. Ia adalah motif yang berlapis-lapis  yang lahir daripada hati yang telah lama sakit. Setiap motif itu berakar umbi daripada penyakit hati yang busuk tetapi disembunyikan kemas di sebalik wajah yang kelihatan mesra, tersembunyi di sebalik senyuman manis yang menenangkan, tersembunyi di sebalik salam yang penuh pura-pura, malah tersembunyi di sebalik status agama yang kononnya mulia.

Ada manusia yang di hadapan kelihatan tenang, tetapi di dalam hatinya menyimpan bara api cemburu. Ada manusia yang menampakkan diri sebagai alim, rajin berjemaah, lantang bercakap tentang iman, tetapi di balik itu hatinya penuh dengan iri dan dendam yang mereka sembunyikan rapi. Ada pula yang nampak sopan dan lembut dalam bicara, tetapi dalam diam merekalah yang menjadi dalang, menaja dan mengupah untuk melunaskan hasrat kotor mereka.

Motif-motif itu tidak pernah berdiri sendiri. Ia datang dari serpihan rasa yang bercampur, marah yang tidak padam, dendam lama yang tidak terubat, iri hati terhadap nikmat orang lain, ketamakan terhadap kedudukan, bahkan nafsu yang ditolak hingga bertukar menjadi kebencian. Semuanya menjadi racun yang menutup akal di minda, sehingga mereka sanggup melakukan sesuatu yang mereka tahu akan mengundang kemurkaan Allah.

Mereka lupa bahawa sihir bukan sekadar perbuatan dosa kecil yang boleh ditampal dengan pahala. Ia adalah syirik yang memadamkan seluruh amal. Namun kerana penyakit hati sudah menutup pandangan, mereka percaya bahawa solat mereka, sedekah mereka, umrah dan haji mereka, bacaan Quran mereka akan menjadi penebus. Sedangkan pada hakikatnya, sihir yang mereka lakukan menenggelamkan semua itu ke dalam kegelapan.

Maka, bila saya bertanya,

Kenapa saya disihir?

Saya sedar bahawa jawapannya adalah cermin kepada realiti manusia itu sendiri. Ia bukan tentang siapa saya semata-mata, tetapi tentang siapa mereka sebenarnya. Setiap kali motif itu terdedah, saya semakin faham bahawa sihir bukan sahaja pertempuran dengan jin, tetapi lebih dahsyat lagi, ia adalah peperangan dengan hati manusia yang penuh hasad dan dengki.


Antara contoh yang pernah saya alami:

Mereka bukan ahli keluarga saya pun tetapi dunia sekarang, kita senang dicari di media sosial. Ada yang cemburu kerana saya disenangi dalam keluarga. Bukan kerana saya lebih baik, bukan kerana saya lebih sempurna, tetapi semata-mata kerana ada kasih sayang yang terarah kepada saya lalu hati mereka merasa tak senang. Mereka bukan hendak membaiki kelaurga sendiri tetapi cemburu mereka dibiarkan membesar akhirnya berubah menjadi bara yang tidak dapat dipadam.

Ada pula yang tidak puas hati kerana saya dipercayai dalam organisasi. Mereka mahu dihormati, mereka mahu diiktiraf, tetapi apabila tanggungjawab diberikan kepada saya, rasa tidak puas itu mula menghitamkan hati. Daripada perasaan kecewa lahir bisikan iri, dan daripada iri itulah lahir hasrat untuk menjatuhkan saya dengan apa cara sekali pun, walaupun dengan jalan sihir.

Ada juga yang tergugat kerana saya menyuarakan kebenaran yang mereka cuba sembunyikan. Saya pernah membuka sesuatu yang mereka mahu kekalkan sebagai rahsia, saya pernah menyingkap perkara yang menutup salah laku mereka. Bagi saya, ia adalah kewajipan, tetapi bagi mereka, ia adalah penghinaan. Maka dendam pun bertunas lah, lalu mereka memilih jalan paling gelap untuk membungkam suara saya.

Ada yang iri kerana saya tidak tunduk kepada kaedah mereka. Saya tidak mengikut arus permainan mereka, saya tidak mengangguk kepada keputusan yang jelas bertentangan dengan prinsip. Saya berdiri di luar lingkaran itu lalu mereka melihat saya sebagai musuh. Iri hati itu berkembang menjadi benci, benci itu pula menuntun mereka ke jalan syirik.

Ada yang benci kerana saya terus bertahan walaupun mereka sudah menjatuhkan saya. Mereka menyangka sekali saya ditolak, saya akan rebah. Mereka fikir sekali saya dihina, saya akan diam. Tetapi apabila saya masih mampu berdiri dan terus melangkah, benci mereka semakin menebal. Mereka tidak dapat menerima bahawa saya masih wujud, masih berfungsi, masih bernyawa dengan izin Allah.

Lebih mengejutkan lagi, ada juga yang mahu menjadikan saya sebagai suami dan ayah kepada anak mereka. Apabila hasrat itu tidak kesampaian, cinta yang gagal bertukar menjadi racun. Rasa cinta yang tidak disalurkan dengan benar akhirnya membesar menjadi dendam. Dendam yang tidak diurus dengan iman bertukar menjadi sihir.

Dan yang paling menyedihkan, yang paling meninggalkan luka dalam, ialah mereka yang saya pernah bantu dengan ikhlas… tetapi merekalah juga yang menikam saya dari belakang. Tangan yang saya suapkan dengan kebaikan itulah yang digunakan untuk membaling racun ke dalam hidup saya. Tiada luka yang lebih pedih daripada dikhianati oleh mereka yang pernah kita percayai sepenuh hati yang kita anggap seperti ahli keluarga.

Inilah wajah motif manusia. Ia tidak selalu besar, tidak selalu luar biasa. Kadang-kadang ia bermula daripada rasa kecil yang dibiarkan bercambah. Cemburu yang tidak diurus, iri yang tidak dikawal, cinta yang tidak diluruskan, nafsu yang tidak dijinakkan atau marah yang tidak dipadam dengan doa. Semua itu akhirnya membuka pintu kepada sihir dan jadilah manusia yang sepatutnya beriman bertukar menjadi senjata syaitan.


Kenapa mereka sanggup menyihir?

Mereka tidak mampu menerima kenyataan bahawa saya masih ada dan tetap ada. Kehadiran saya membuatkan mereka gelisah, seolah-olah hidup saya menjadi bukti kegagalan mereka. Mereka menunggu saya rebah, tetapi saya masih berdiri elok seadanya. Mereka berharap saya hilang, tetapi saya tetap wujud di hadapan mata mereka. Setiap helaan nafas saya memang menjadi duri yang menusuk hati mereka yang sakit.

Mereka juga tidak boleh menerima hakikat bahawa saya masih berfungsi elok walaupun segala kuasa dan pengaruh sudah mereka gunakan. Mereka menggerakkan fitnah, mereka cuba menjatuhkan maruah, mereka melaga-lagakan saya dengan orang sekeliling. Namun setiap kali mereka menjerat, Allah membuka jalan keluar. Setiap kali mereka melempar racun, Allah bagi pula penawar. Itu membuat mereka semakin benci, kerana usaha mereka tidak pernah mencapai hasil yang mereka inginkan.

Saya tidak tunduk walaupun mereka sudah buat pelbagai cara. Mereka menekan dengan kata-kata, mereka menindas dengan kedudukan, mereka mengugut dengan ancaman halus. Tetapi saya tidak menyerah. Saya tidak membiarkan diri ini dibentuk mengikut kehendak mereka. Sikap tidak tunduk itu, walau pada hakikatnya adalah prinsip, ia dianggap sebagai cabaran yang mencalar ego mereka.

Saya tidak tunduk walaupun mereka gunakan jin. Mereka menyihir, mereka menghantar makhluk ghaib, mereka menyangka dengan serangan yang tidak nampak ini saya akan patah. Tetapi dengan izin Allah, saya masih berdiri. Mereka hairan kenapa sihir tidak makan. Mereka bingung kenapa serangan tidak mengikat saya pun. Mereka tidak tahu bahawa di atas segala kuasa jin, ada kuasa Rabb yang melindungi hamba-Nya.

Dan bila semua cara fizikal gagal, bila segala usaha nyata tidak berhasil, mereka akhirnya memilih cara ghaib lebih ekstrem. Mereka mencari penyihir, mereka membeli kontrak, mereka menandatangani perjanjian dengan syaitan. Mereka sanggup membayar harga yang mahal, bukan sahaja dengan harta, tetapi juga dengan iman mereka sendiri. Mereka lupa bahawa setiap perjanjian itu bukan hanya mengikat jin, tetapi juga mengikat jiwa mereka untuk menjadi milik syaitan.

Mereka tidak sedar bahawa dengan memilih jalan itu, mereka bukan sahaja sedang menyerang saya. Mereka sedang menghancurkan diri mereka sendiri. Mereka sedang menulis perjanjian yang akan menyeret mereka ke dalam azab yang lebih dalam daripada apa pun kesakitan yang mereka cuba timpakan kepada saya.


Realiti kehidupan hari ini

Orang yang menyihir tidak semestinya nampak jahat di mata manusia. Mereka tidak selalu kelihatan seperti penjenayah, tidak selalu berpakaian serba hitam atau bercakap kasar. Sebaliknya, ramai daripada mereka menampilkan wajah yang sangat baik di hadapan masyarakat. Mereka solat di saf hadapan, mereka mengangkat tangan tinggi ketika berdoa, mereka sering menghulurkan sedekah dan mereka rajin menghadiri majlis ilmu, duduk di barisan hadapan seolah-olah merekalah insan yang paling tawadhu’.

Tetapi hati mereka kotor. Apa yang tersimpan dalam dada mereka tidak dapat dilihat oleh manusia lain, melainkan Rabb yang Maha Mengetahui. Mereka senyum di luar, tetapi dalam hati mereka ada iri, ada dendam, ada hasad yang membara. Mereka boleh berbicara tentang sabar, tentang iman, tentang akhlak mulia di hadapan orang ramai, tetapi dalam diam mereka menaja sihir untuk menjatuhkan insan lain.

Lebih parah lagi, mereka percaya bahawa dosa sihir yang mereka lakukan boleh ditutup dengan pahala lain. Mereka fikir jika mereka banyak solat sunat, banyak membaca al-Quran, banyak berpuasa sunat, maka semua amalan itu akan “cover” dosa besar yang mereka lakukan. Mereka anggap sistem Allah seperti sistem kad diskaun atau point reward. Buat jahat tidak mengapa, asalkan cukup banyak pahala untuk menampungnya.

Mereka lupa bahawa sihir bukan dosa biasa. Sihir adalah syirik. Ia bukan sekadar satu kesalahan dalam senarai panjang dosa manusia, tetapi ia adalah pengkhianatan terhadap Allah yang paling besar. Dan syirik itu, walau sebesar zarah sekalipun, akan memadam seluruh pahala yang pernah dikumpulkan. Allah sendiri telah berfirman bahawa syirik adalah dosa yang tidak diampunkan jika seseorang mati tanpa taubat daripadanya.

Inilah realiti yang menyedihkan. Orang yang dipandang sebagai “alim” di mata manusia, belum tentu bersih di sisi Rabb. Mereka mungkin memakai pakaian agama, mereka mungkin membawa gelaran ustaz, imam atau orang soleh, tetapi jika hati mereka masih bergelumang dengan penyakit, maka semua itu hanyalah topeng.

Dan inilah bahaya sihir. Ia bukan sahaja merosakkan mangsa, tetapi juga menghancurkan pelakunya. Kerana ketika mereka mengupah sihir, mereka sebenarnya sedang menandatangani kontrak dengan syaitan dan dengan itu mereka sedang memutuskan diri mereka sendiri daripada rahmat Allah.

Maka janganlah kita tertipu dengan wajah yang nampak tenang, janganlah kita terlalu yakin dengan gelaran dan penampilan. Kerana yang dinilai bukan apa yang terlihat, tetapi apa yang tersembunyi di dalam hati.


Penutup Bab:

Bab ini bukan untuk memburukkan manusia.

Tetapi untuk menyedarkan kita semua bahawa ancaman sihir bukan dari luar… tetapi dari dalam masyarakat kita sendiri.

Kadang-kadang dari orang yang paling hampir.

Kadang-kadang dari orang yang kita pernah panggil sahabat.

Dalam bab seterusnya, saya akan ajak pembaca kembali menilai siapa sebenarnya kita di hadapan Rabb? Bila semua tirai ghaib ditarik… apa yang tinggal?


 

Manuskrip Kisah Sihir ini bukan sekadar sebuah penulisan. Ia adalah sebuah perjalanan yang merakam pengalaman sebenar, penelitian kepada perkara batin dan pertembungan antara dua dunia nyata dan ghaib.

Setiap episod ditulis dengan penuh penelitian, dengan doa dan keberanian untuk membongkar perkara yang ramai takut untuk disentuh.

Namun, misi ini hanya dapat diteruskan kerana adanya anda. 

Setiap sumbangan, sama ada kecil atau besar, adalah bpendorong kepada kami. Ia menjadi tenaga untuk kami terus menulis, membongkar dan menyampaikan kepada mereka yang mencari kebenaran.

 

Sila rujuk penerangan berikut:

📌Klik Untuk Menyokong Penulisan Manuskrip Kisah Sihir

Jika anda belum lagi mendaftar sebagai ahli sila ke link di bawah ini:

📌Klik Untuk Mendaftar sebagai Ahli - PERCUMA! 

 

Tajaan boleh dilakukan melalui pautan setiap bahagian manuskrip.
Jika anda sudah berdaftar, pautan tersebut akan membawa anda terus ke halaman tajaan.
Jika belum, anda akan dibawa ke halaman pendaftaran dahulu (percuma).


1. Bahagian I: Ujian Peribadi dan Pintu Dunia Ghaib
📘 10 Episod 🔗 Tajaan Bahagian I

2. Bahagian II: Taktikal Pertahanan dan Serangan Balas
📘 20 Episod 🔗 Tajaan Bahagian II

3. Bahagian III: Struktur Dunia Ghaib dan Hierarki Jin
📘 20 Episod 🔗 Tajaan Bahagian III

4. Bahagian IV: Pemulihan, Penyucian dan Pesanan
📘 22 Episod 🔗 Tajaan Bahagian IV

5. Bahagian V: Refleksi Diri Seorang Khalifah
📘 8 Episod 🔗 Tajaan Bahagian V


 

Setiap sen tajaan anda adalah sebahagian daripada jihad ilmu ini. Anda bukan sekadar pembaca, tetapi juga pejuang yang membantu menegakkan kebenaran dan membongkar kebatilan yang tersembunyi.

Semoga Allah menerima sumbangan anda sebagai amal jariah, melindungi anda daripada keburukan dan mengurniakan keberkatan di dunia serta akhirat.

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (1):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.