Bahagian I: Jerat Sihir
Bab 2: Operasi Tonsil dan Pintu Ghaib Terbuka
Sejak tahun 2006, saya sudah ditawarkan untuk jalani pembedahan. Kata doktor, tonsil saya kronik dan lebih baik dibuang. Tapi saya tolak. Saya minta tangguh. Tahun berganti tahun.
Bukan kerana takut sakit. Saya tidak pernah takut jarum. Tapi ada satu perkara yang saya takut iaitu bius penuh.
Saya tahu bila saya ditidurkan, tubuh saya akan terdedah. Hijab akan terbuka. Dan di saat itu sihir sedang menunggu.
Sejak awal 2014, saya sudah sedar bahawa saya sedang diperhatikan. Ada sesuatu yang sedang merancang di balik tabir. Bukan satu, sekurang-kurangnya tiga tukang sihir sedang menyasarkan saya serentak.
Saya cuba nafikan. Saya teruskan hidup seperti biasa. Belajar seperti biasa. Solat seperti biasa. Bekerja seperti biasa. Tapi jauh di sudut hati saya tahu, satu hari nanti saya akan terpaksa memilih untuk bertarung dalam keadaan sedar atau bertarung ketika tubuh saya langsung tidak sedar apa yang berlaku.
Setiap kali doktor menyarankan pembedahan, saya tolak dengan lembut. Tapi dalam hati saya meronta. Kerana saya tahu ini bukan sekadar isu kesihatan. Ini adalah hal ghaib. Pertarungan jasad dan roh.
Ia adalah tentang ujian seterusnya. Ujian dari Rabb sama ada untuk bertahan dalam keadaan seperti sebelumnya atau berubah lalu menempuh untuk menyaksikan sendiri dunia di sebalik hijab.
Saya tahu bila bius penuh menguasai tubuh, roh saya akan berada dalam pegangan Rabb. Tubuh saya akan diam. Dan di saat itulah jin-jin sihir berpeluang masuk, membuka laluan baharu ke dalam sistem tubuh saya.
Saya tahu. Dan saya pasrah.
Akhirnya pada tahun 2019, saya bersetuju untuk jalani pembedahan.
Dan benar, seperti yang saya jangka, di situlah segalanya bermula.
Pembedahan itu tidak sekadar membuka daging tonsil. Ia membuka pintu kepada pertempuran panjang antara dua dunia. Antara kekuatan ghaib yang menyerang, dan diri saya yang sedang diuji.
Dan sejak hari itu, saya tidak pernah sama lagi.
Malam sebelum pembedahan
Saya masih ingat malam itu. Saya di wad. Ada seorang lelaki dari Klang, berusia dalam lingkungan 60-an, akan menjalani pembedahan mata keesokan harinya. Dari wajahnya jelas kelihatan dia sudah lama menanggung keperitan. Kedua-dua matanya agak teruk keadaannya, tetapi menurutnya hanya sebelah mata yang akan dibedah dahulu esok.
Dia tidak datang seorang. Bersamanya, seorang anak lelaki yang kelihatan dalam lingkungan usia 30-an. Anak itu setia menemani, tenang dan sopan, barangkali sudah terbiasa mengiringi ayahnya dalam urusan perubatan sebegini.
Nama pakcik itu tertera pada tag di hujung katil. Dari nama tersebut, saya tahu dia berketurunan Tengku. Menariknya, dia sendiri membuka bicara dengan berkata, “Kita ni keturunan yang sama.” Sebagai pembuka cerita, itu sahaja sudah cukup membuatkan saya tertarik untuk mendengar lebih.
Kami sempat berbual panjang malam itu. Makan malam terakhir sebelum puasa. Dia tenang, banyak mendengar dan hanya sesekali bersuara. Tetapi ayat yang paling saya ingat sampai hari ini ialah apabila dia berkata dengan perlahan:
“Ujian tuan bermula bila tuan bangun selepas pembedahan esok.”
Saya pandang dia. Dia hanya senyum hambar, seolah-olah dia tahu sesuatu yang saya belum tahu. Saya diam. Hirup Nescafe yang terasa tawar.
Kata-kata itu terngiang. Tapi saya tak mahu fikir. Esok… saya akan lalui sendiri semuanya.
Hari Pembedahan
Pukul 9 pagi. Saya sudah berada atas meja pembedahan. Lampu di atas kepala sangat terang. Baju pembedahan sudah dipakai. Tubuh saya terbaring, hanya menunggu masa ditidurkan.
Doktor dan jururawat semua sangat baik. Mereka bercakap lembut, menenangkan. Salah seorang doktor, dengan suara penuh keyakinan berkata:
“Tuan, nanti bila kami mula masukkan ubat bius, tuan akan kira dalam hati… 9, 8, 7... dan akan tertidur.”
Saya senyum kecil. Tapi hati saya waktu itu bukan pada pembedahan.
Apa yang saya fikir hanyalah satu perkara:
Jika ini saat saya ditidurkan sepenuhnya, adakah ini juga saat sihir menyusup ke dalam tubuh saya tanpa sebarang halangan?
Adakah ini saat hijab tubuh saya terbuka luas dan semua pertahanan saya lumpuh?
Saya tahu saya sedang menjadi sasaran.
Saya tahu ada sihir yang sedang menunggu masa.
Dan kini, waktu itu sudah tiba.
Dalam kesedaran yang semakin menipis…
Saya tidak sempat kira pun seperti yang disuruh doktor.
Saya hanya sempat menyerahkan seluruh jiwa dan jasad saya kepada Rabb.
Saya reda. Saya pasrah. Saya terima.
Saya tidak ada kuasa. Saya tidak ada pelindung.
Hanya Allah.
Penutup Bab:
Saat bius mula mengalir dalam darah saya, tubuh saya menjadi semakin ringan. Sekejap sahaja tidak lama.
Dunia mula hilang bentuknya. Suara mula bergema seperti dari terowong jauh. Nafas saya seolah-olah tidak lagi milik saya. Pandangan kabur seperti satu tabir sedang ditarik perlahan-lahan.
Dan waktu itulah saya tahu…
Saya sedang tinggalkan dunia yang sedar, dan membuka tubuh ini kepada dunia yang tidak terlihat.
Dalam keadaan tubuh saya tidak mampu melawan, tidak mampu bertahan, tidak mampu menolak saya tahu, segala hijab fizikal saya kini terbuka.
Apa yang masuk selepas itu, saya tidak tahu.
Tapi bila kesedaran itu perlahan-lahan kembali…
Saya tahu saya bukan lagi orang yang sama.
Bukan kerana kesakitan di tekak walapun sedikit memuntahkan darah.
Bukan kerana tubuh yang lemah selepas pembedahan.
Tetapi kerana ada sesuatu yang telah berubah dalam dimensi dalaman saya.
Seolah-olah ada sesuatu yang tidak pernah wujud sebelum ini, kini menetap dalam jasad ini.
Saya tidak dapat tunjukkan dengan jari.
Saya tidak tahu bagaimana mahu jelaskan pada sesiapa.
Tetapi saya tahu… sesuatu sudah masuk.
Dan saya hanya akan benar-benar menyedarinya beberapa hari selepas itu.
Apabila luka itu sangat lambat untuk sembuh.
Apabila mimpi-mimpi muncul menggangu tidur.
Apabila suara-suara mula muncul bukan dari luar… tetapi dari dalam diri saya sendiri.
Dan dari sinilah, perjalanan sebenar bermula.
Bukan sekadar melawan sihir.
Tetapi memahami siapa diri saya…
Dan kenapa saya dipilih untuk melaluinya.
Penulisan Manuskrip Kisah Sihir ini terlaksana hasil sokongan dan tajaan daripada para pembaca yang budiman. Segala sumbangan anda, kecil atau besar, adalah pelita yang menyalakan jalan kami untuk terus berkarya dan menyampaikan penulisan eksklusif ini kepada semua.
Sila rujuk penerangan berikut:
📌Klik Untuk Menyokong Penulisan Manuskrip Kisah Sihir
Jika anda belum lagi mendaftar sebagai ahli sila ke link di bawah ini:
📌Klik Untuk Mendaftar sebagai Ahli - PERCUMA!
Tajaan boleh dilakukan melalui pautan setiap bahagian manuskrip.
Jika anda sudah berdaftar, pautan tersebut akan membawa anda terus ke halaman tajaan.
Jika belum, anda akan dibawa ke halaman pendaftaran dahulu (percuma).
1. Bahagian I: Ujian Peribadi dan Pintu Dunia Ghaib
📘 10 Episod 🔗 Tajaan Bahagian I
2. Bahagian II: Taktikal Pertahanan dan Serangan Balas
📘 20 Episod 🔗 Tajaan Bahagian II
3. Bahagian III: Struktur Dunia Ghaib dan Hierarki Jin
📘 20 Episod 🔗 Tajaan Bahagian III
4. Bahagian IV: Pemulihan, Penyucian dan Pesanan
📘 22 Episod 🔗 Tajaan Bahagian IV
5. Bahagian V: Refleksi Diri Seorang Khalifah
📘 8 Episod 🔗 Tajaan Bahagian V
Terima kasih atas sokongan anda. Setiap tajaan anda kecil atau besar adalah pelita yang menyalakan jalan kami untuk terus berkarya dan menyampaikan penulisan ekslusif kepada semua. Semoga Allah merahmati anda dunia dan akhirat.
Balas kepada: