Bahagian I: Jerat Sihir
Bab 10: Siapa Kita di Hadapan Rabb?
Saya pernah bertanya pada diri sendiri:
Kalau Rabb menarik kembali semua nikmat yang pernah Dia limpahkan, kalau Dia menutup segala pintu perlindungan ghaib yang selama ini menjadi benteng tidak terlihat, kalau Dia memalingkan daripada saya segala pertolongan halus dan seni yang selalu datang pada waktu paling genting, apakah yang masih tinggal pada diri saya untuk terus bertahan?
Lalu saya pun termenung panjang.
Kerana pada akhirnya, dalam setiap pertempuran melawan sihir dan segala tipu daya musuh yang datang dengan seribu wajah sejuta cara, hakikat yang paling besar bukanlah tentang jin, bukan tentang penyihir, bukan tentang serangan yang dilempar dari luar.
Ia adalah tentang pertempuran yang lebih halus, lebih sunyi, lebih menyakitkan dan lebih berbahaya, iaitu pertempuran dengan diri sendiri. Lawan yang paling hampir tetapi paling licik. Lawan yang berbisik tapi orang tidak dengar dan lawan yang menikam tanpa pedang. Lawan yang boleh menjatuhkan saya hanya dengan sekelumit rasa putus asa, secebis keraguan, setitik hasrat untuk menyerah kalah.
Dan saya sedar, jika saya tewas di medan dalam diri, maka seluruh benteng luar akan runtuh dengan sendirinya. Tetapi jika saya menang di dalam, maka sebesar mana pun badai sihir yang dilemparkan, ia akan menjadi sekadar bayang yang tidak mampu menjatuhkan tubuh yang berpaut teguh pada Rabb.
Sihir bukan sekadar ujian tubuh tetapi ia ujian jiwa.
Sihir bukan sekadar ujian tubuh, kerana tubuh boleh dirawat dengan ubat dan rehat. Luka pula boleh sembuh dengan masa dan sakit juga boleh ditanggung dengan kesabaran. Tetapi sihir adalah ujian jiwa, ujian yang mengoyak perlahan dari dalam diri kita tanpa meninggalkan parut yang dapat dilihat mata manusia biasa. Ia menyerang bukan sahaja badan tetapi juga hati, fikiran, keyakinan dan seluruh rasa percaya diri seorang insan.
Kita akan diuji dengan marah yang tidak terkawal, marah yang datang tanpa sebab lalu menjerumuskan kita ke dalam pergaduhan yang tidak perlu. Kita akan diuji dengan kesedihan yang seakan tidak berpenghujung, kesedihan yang meruntuhkan semangat hingga kita terasa hidup ini tidak ada lagi cahaya.
Kita akan diuji dengan bisikan halus yang meruntuhkan keyakinan diri, yang menjadikan kita ragu pada orang sekeliling, ragu pada doa kita sendiri, bahkan ragu pada kasih sayang Rabb.
Kita juga akan diuji dengan kesakitan yang tidak difahami sesiapa, kerana sakit itu tidak dapat dilihat, tidak dapat diukur, tidak dapat dijelaskan melainkan hanya ditanggung sendirian.
Kadang-kadang, dalam kelelahan itu, kita akan mula menyalahkan orang lain. Kita akan berkata,
Kalau bukan kerana dia, aku tidak jadi begini.
Kadang-kadang pula, kita berani menyalahkan takdir, seolah-olah kita lebih tahu jalan hidup daripada Allah yang Maha Menentukan. Bila semuanya sudah terlalu lama, terlalu berat, terlalu gelap, terlalu dalam, kita akhirnya terduduk dalam doa yang penuh keluhan lalu kita pun bertanya dengan suara yang perlahan tetapi menusuk ke dalam dada:
Ya Allah, kenapa aku?
Mengapa aku yang Kau pilih untuk memikul ujian ini?
Apakah dosaku begitu besar?
Apakah aku tidak cukup layak untuk mendapat kasih-Mu?
Namun di situlah hakikat ujian sebenar bermula. Ia bukan lagi tentang jin atau sihir. Ia bukan lagi tentang manusia yang mengupah atau penyihir yang menyerang.
Ia adalah tentang hubungan kita dengan Rabb. Sama ada kita masih mampu melihat cahaya-Nya di tengah gelap, masih mampu menyebut nama-Nya walau lidah terasa kelu dan masih mampu percaya bahawa dalam setiap “kenapa aku” itu ada jawapan yang belum tiba, tetapi sedang disusun dengan penuh hikmah oleh Dia yang Maha Mengetahui.
Tetapi... soalan sebenar bukan "kenapa aku?"
Soalan sebenar yang seharusnya kita tanyakan bukanlah sekadar “kenapa aku?” kerana soalan itu berpusat pada diri dan rasa tidak puas hati terhadap ketetapan. Soalan yang lebih besar, lebih dalam dan lebih jujur adalah:
Siapa aku di hadapan-Mu, ya Rabb?
Di saat saya mengulang-ulang pertanyaan ini dalam hati, saya mula menyedari sesuatu yang amat halus tetapi sangat nyata. Sihir itu, walaupun datang sebagai racun yang menyakitkan, sebenarnya ia berfungsi sebagai cermin yang menyingkap diri saya sendiri. Ia menyingkap setiap helaian hati saya yang selama ini tersembunyi di sebalik topeng kekuatan dan doa saya.
Ia menyingkap kekuatan yang benar-benar tulus lahir daripada tawakal. Dalam masa yang sama ia menyingkap kelemahan yang masih belum sembuh daripada cinta dunia, kelemahan yang mudah goyah bila diuji sedikit kesempitan.
Ia menyingkap tauhid yang suci yang menjadi pegangan, tetapi ia juga membongkar sisa-sisa syirik kecil yang tidak pernah saya sedari iaitu syirik yang berupa pergantungan hati kepada makhluk, syirik yang berupa keyakinan bahawa manusia mampu menjatuhkan saya tanpa izin Rabb.
Ia menyingkap keyakinan yang saya bangun tahajjud dengan doa dan zikrullah, tetapi ia juga menyingkap keraguan halus yang masih bersarang iaitu keraguan sama ada Allah benar-benar bersama saya, keraguan sama ada saya mampu bertahan hingga akhir, keraguan yang kadangkala hadir dalam bentuk bisikan,
Adakah engkau benar-benar dipilih, atau engkau sedang dihukum?
Dan di situlah saya faham bahawa sihir tidak sekadar serangan dari luaran sahaja, tetapi ia adalah ujian yang membuka lapisan jiwa.
Ia adalah kunci yang memaksa saya melihat siapa diri saya di hadapan Rabb. Sama ada saya seorang hamba yang benar-benar menyerah atau seorang insan yang masih mencari alasan untuk lari. Sama ada saya seorang yang memegang tali tauhid dengan kedua-dua tangan atau seorang yang hanya berpegang dengan pada Allah sebelah tangan sementara tangan yang lain masih menggenggam dunia.
Waktu ini saya makin faham, jangan berani kita kata kita beriman selagi mana kita tidak diuji. Setiap masa kita diuji walau dalam taat walau dalam ingkar, walau dalam susah walau dalam senang.
Adakah saya layak dibantu oleh Rabb?
Soalan ini juga sering berulang dalam hati saya. Kadang-kadang saya rasa tidak layak.
Saya melihat diri saya ini penuh dengan kelemahan, penuh dengan dosa yang lama, penuh dengan kekurangan yang tiada siapa tahu.
Saya melihat sejarah hidup saya yang tidak pernah sempurna, langkah-langkah saya yang kerap tersasar dan hati saya yang kadangkala lalai.
Bagaimana mungkin seorang hamba sepertiku ini layak menerima pertolongan sebesar itu?
Namun semakin lama saya renungkan, semakin saya sedar bahawa Rabb tidak memilih hamba-Nya kerana mereka sudah kuat, kerana mereka sudah sempurna atau kerana mereka sudah tidak lagi melakukan kesalahan. Rabb memilih hamba yang kembali kepada-Nya walau sejauh mana mereka pernah terjatuh. Rabb memilih hamba yang enggan menyerah walaupun sudah luka berkali-kali. Rabb memilih hamba yang setia mengetuk pintu-Nya meskipun pernah berpaling, hamba yang terus menangis di sejadah meskipun sudah letih dengan ujian, hamba yang masih mengangkat tangan berdoa walaupun doa itu belum berjawab.
Saya mula faham sesuatu yang sangat besar. Sihir ini bukan hukuman yang dijatuhkan kerana benci, ia bukan balasan yang datang kerana Allah mahu menolak saya. Sihir ini adalah wasilah tarbiyah, jalan didikan Rabb agar saya kembali mengenal hakikat diri. Ia adalah cara Allah membersihkan hati daripada segala pergantungan, agar saya tidak lagi bersandar pada manusia, tidak lagi berharap pada kekuatan sendiri, tetapi hanya berserah bulat-bulat kepada Dia yang Maha Menentukan.
Di sinilah saya belajar bahawa redha bukan sekadar menerima dengan pasrah, tetapi melihat hikmah di sebalik setiap duri ujian. Sabar bukan sekadar menahan sakit, tetapi menjadikan setiap luka sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada Rabb. Syukur bukan sekadar ucapan di bibir, tetapi rasa lega yang lahir kerana tahu bahawa di sebalik pedihnya ujian, Rabb sedang membentuk saya menjadi insan yang lebih akrab kepada-Nya.
Maka saya bersyukur, saya redha dan saya terus belajar untuk sabar. Kerana saya yakin, jika Rabb masih menguji saya, itu tandanya Dia masih mahu saya dekat, Dia masih mahu saya kembali, dan Dia masih mahu saya diselamatkan.
Penutup Bahagian I:
Bahagian ini bukan sekadar memperkenalkan simptom dan struktur sihir.
Ia adalah perjalanan menyedarkan kembali identiti kita.
Kita bukan mangsa.
Kita bukan dungu.
Kita bukan boneka dalam perang sihir ghaib ini.
Kita adalah khalifah.
Dan sebagai khalifah, kita tak hanya diuji dengan makhluk.
Kita diuji dengan diri sendiri apakah kita benar-benar mengenal siapa Rabb kita?
Dalam Bahagian II nanti, Insyaallah saya akan membawa anda memasuki fasa kedua pertempuran.
Bukan lagi pertempuran mengenal simptom… tetapi perang diam yang berlaku siang dan malam.
Antara pemuja, pengintip, pengupah dan perintah-perintah ghaib yang masuk tanpa diundang.
Manuskrip Kisah Sihir ini bukan sekadar sebuah penulisan. Ia adalah sebuah perjalanan yang merakam pengalaman sebenar, penelitian kepada perkara batin dan pertembungan antara dua dunia nyata dan ghaib.
Setiap episod ditulis dengan penuh penelitian, dengan doa dan keberanian untuk membongkar perkara yang ramai takut untuk disentuh.
Namun, misi ini hanya dapat diteruskan kerana adanya anda.
Setiap sumbangan, sama ada kecil atau besar, adalah bpendorong kepada kami. Ia menjadi tenaga untuk kami terus menulis, membongkar dan menyampaikan kepada mereka yang mencari kebenaran.
Sila rujuk penerangan berikut:
📌Klik Untuk Menyokong Penulisan Manuskrip Kisah Sihir
Jika anda belum lagi mendaftar sebagai ahli sila ke link di bawah ini:
📌Klik Untuk Mendaftar sebagai Ahli - PERCUMA!
Tajaan boleh dilakukan melalui pautan setiap bahagian manuskrip.
Jika anda sudah berdaftar, pautan tersebut akan membawa anda terus ke halaman tajaan.
Jika belum, anda akan dibawa ke halaman pendaftaran dahulu (percuma).
1. Bahagian I: Ujian Peribadi dan Pintu Dunia Ghaib
📘 10 Episod 🔗 Tajaan Bahagian I
2. Bahagian II: Taktikal Pertahanan dan Serangan Balas
📘 20 Episod 🔗 Tajaan Bahagian II
3. Bahagian III: Struktur Dunia Ghaib dan Hierarki Jin
📘 20 Episod 🔗 Tajaan Bahagian III
4. Bahagian IV: Pemulihan, Penyucian dan Pesanan
📘 22 Episod 🔗 Tajaan Bahagian IV
5. Bahagian V: Refleksi Diri Seorang Khalifah
📘 8 Episod 🔗 Tajaan Bahagian V
Setiap sen tajaan anda adalah sebahagian daripada jihad ilmu ini. Anda bukan sekadar pembaca, tetapi juga pejuang yang membantu menegakkan kebenaran dan membongkar kebatilan yang tersembunyi.
Semoga Allah menerima sumbangan anda sebagai amal jariah, melindungi anda daripada keburukan dan mengurniakan keberkatan di dunia serta akhirat.
Balas kepada: