Bahagian 5: Rentetan Doa Nabi Ibrahim dan Pemurnian Mekah di Akhir Zaman
Doa Nabi Ibrahim Yang Masih Hidup
Perhatikan doa Nabi Ibrahim yang dirakam dalam Surah Ibrahim:
رَبِّ ٱجْعَلْ هَـٰذَا ٱلْبَلَدَ ءَامِنًۭا وَٱجْنُبْنِى وَبَنِىَّ أَن نَّعْبُدَ ٱلْأَصْنَامَ
"Wahai Tuhanku, jadikanlah negeri ini negeri yang aman, dan jauhkanlah aku dan anak-anakku daripada menyembah berhala."
(Surah Ibrahim 14:35)
رَّبَّنَآ إِنِّىٓ أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِى بِوَادٍ غَيْرِ ذِى زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ ٱلْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ فَٱجْعَلْ أَفْـِٔدَةًۭ مِّنَ ٱلنَّاسِ تَهْوِىٓ إِلَيْهِمْ وَٱرْزُقْهُم مِّنَ ٱلثَّمَرَٰتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ
"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari keturunanku di sebuah lembah yang tidak mempunyai tanaman, dekat dengan rumah-Mu yang dihormati, wahai Tuhan kami; agar mereka mendirikan solat. Maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan kurniakanlah mereka rezeki dari buah-buahan supaya mereka bersyukur."
(Surah Ibrahim 14:37)
Doa ini bukan doa biasa. Ia adalah permintaan jangka panjang baginda Nabi Ibrahim yang terus hidup hingga ke hari ini. Ini juga bukti bahawa akan muncul satu umat dari zuriatnya, yang akan kembali menyambung misi Hanif, menyucikan kembali kota suci ini daripada segala bentuk syirik dan penindasan moden.
Ini juga bukan sekadar doa perlindungan. Ini adalah amaran bahawa ujian sebenar umat manusia ialah menjaga tauhid, di tengah kota yang dibina atas perintah wahyu iaitu Mekah al-Mukarramah.
Tetapi hari ini, apakah Mekah masih suci dari berhala? Atau ia telah dicemari semula oleh berhala yang tidak berbentuk seperti sistem riba, ekonomi global, fahaman liberal, dan pesta materialisme yang menjadikan Kaabah sekadar tarikan pelancongan?
Bagaimana Doa Nabi Ibrahim Menghubungkan Mekah Dengan Seluruh Dunia?
Perhatikan semula doa Nabi Ibrahim yang dirakam dalam Surah Ibrahim:
رَّبَّنَآ إِنِّىٓ أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِى بِوَادٍ غَيْرِ ذِى زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ ٱلْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ فَٱجْعَلْ أَفْـِٔدَةًۭ مِّنَ ٱلنَّاسِ تَهْوِىٓ إِلَيْهِمْ وَٱرْزُقْهُم مِّنَ ٱلثَّمَرَٰتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ
"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari keturunanku di sebuah lembah yang tidak mempunyai tanaman, dekat dengan rumah-Mu yang dihormati, wahai Tuhan kami; agar mereka mendirikan solat. Maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan kurniakanlah mereka rezeki dari buah-buahan supaya mereka bersyukur."
(Surah Ibrahim 14:37)
Nabi Ibrahim berdoa kepada zuriatnya yang berada di Mekah dan beriman agar mereka di berikan rezeki dari buah-buahan supaya mereka bersyukur.
Tanah Haram Mekah iaitu kawasan yang dimuliakan, telah ditetapkan sempadannya sejak zaman Nabi Ibrahim a.s. dan ditegaskan oleh Rasulullah SAW. Maka kita perlu bezakan antara:
-
Keadaan semula jadi kawasan Tanah Haram, dan
-
Kemungkinan wujudnya tanaman buah-buahan secara asli tanpa teknologi moden.
Secara asli dan semula jadi, kawasan Tanah Haram Mekah tidak subur dan sangat terhad untuk tanaman buah-buahan. Namun, beberapa jenis tumbuhan dan buah-buahan masih boleh tumbuh, tetapi dalam jumlah dan kepelbagaian yang sangat kecil.
Iklimnya kering kontang, curahan hujan rendah (<130 mm setahun). Tanah jenis berbatu dan berpasir, dengan sedikit kawasan yang boleh menampung pertanian. Sungai kekal tiada, hanya wadi (lembah kering) yang sesekali dialiri air selepas hujan.
Kurma (تمر) satu-satunya buah yang boleh dianggap semula jadi bagi kawasan Tanah Haram Mekah. Kurma jenis sederhana atau liar boleh tumbuh di kawasan oasis atau wadi yang mendapat air bawah tanah. Kurma juga ditanam oleh penduduk Mekah sejak zaman dahulu lagi.
Anggur liar (عنب بري) mempunyai kemungkinan kecil. Tidak banyak bukti kuat ia tumbuh di dalam Tanah Haram, tetapi disebut dalam teks Arab klasik tentang kawasan sekitar Hijaz. Namun anggur liar mungkin ada di kawasan bukit sekitar, bukan di tengah Mekah. Begitu juga tumbuhan liar dengan buah kecil seperti sidr (pokok bidara), menghasilkan buah kecil yang boleh dimakan memang dikenali di kawasan Hijaz dan disebut dalam Al-Quran dan hadis.
Rumput dan herba tertentu yang menghasilkan benih atau buah kecil bukan kategori “buah-buahan” seperti yang difahami umum, tetapi kadangkala dikutip sebagai makanan darurat.
Justeru, tanpa teknologi moden, mustahil untuk hasilkan pelbagai buah-buahan di kawasan itu. Sebab itulah Nabi Ibrahim berdoa agar rezeki dihantar “dari luar” kepada penduduknya (rujuk Surah Ibrahim: 37–38).
Frasa مِّنَ ٱلثَّمَرَاتِ bermaksud daripada buah-buahan. Bukan menunjukkan buah-buahan itu tumbuh di tempat tersebut (Tanah Haram Mekah), tetapi menunjukkan permintaan agar Allah mendatangkan buah-buahan itu kepada mereka walaupun berasal dari tempat lain. Memandangkan secara implisit bermaksud buah-buahan itu mesti datang dari luar, kerana tanah tersebut tidak dapat menumbuhkan sendiri buah-buahan itu, maka sesuai sangatlah dengan firman Allah bahawa Kota Mekah itu akan dimurnikan oleh orang-orang dari luar khususnya orang-orang dari kawasan "jannah" yang banyak buah-buahan iaitu nusantara.
Mekah dan Misi Pemurnian
Sebelum diutuskan Nabi Muhammad SAW, Mekah sudah lama menjadi pusat ibadah. Tetapi ia telah lama dicemari oleh patung, tahyul, dan sistem yang tidak lagi memuliakan Tuhan Yang Esa.
Kini, sejarah berulang tetapi dalam bentuk yang lebih halus. Sistem kapitalisme mencengkam bumi Haram. Nama-nama Allah diganti nama korporat. Doa diganti harga. Solat disekat oleh protokol, suntikan vaksin dan tiket VIP.
Adakah ini bukan penyembahan baru? Adakah ini bukan bentuk penajisan terhadap doa Nabi Ibrahim?
Dan dalam hadis-hadis akhir zaman, disebut bahawa Kaabah akan menjadi pusat perebutan. Akan berlaku peristiwa penghancuran Islam dari dalam, hingga yang tinggal hanya nama dan yang tinggal hanya ibadah tanpa jiwa.
Maka di manakah harapan? Jawapannya ada dalam doa Nabi Ibrahim yang satu lagi:
رَبَّنَا وَٱبْعَثْ فِيهِمْ رَسُولًۭا مِّنْهُمْ يَتْلُوا۟ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحِكْمَةَ وَيُزَكِّيهِمْ ۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ
“Wahai Rabb Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".”
(Surah Al-Baqarah 2:129)
Nabi Ibrahim dan Seruan kepada Umat Timur
Ketika Nabi Ibrahim meninggalkan zuriatnya di lembah yang tandus, baginda tahu risikonya. Tetapi beliau percaya bahawa daripada zuriat inilah akan lahir satu umat yang menerima Rasul, menerima Kitab, dan mendirikan solat.
Dan siapakah umat itu jika bukan kita umat dari Timur yang hari ini sedang menyambung warisan Hanif? Umat yang menunggu saat kebangkitan?
Namun sebelum kebangkitan, pasti ada kehancuran. Inilah As-Sa’ah yang telah disebut dalam Bahagian 3. Satu bencana akan menyapu bumi ini:
-
Air dari bawah – empangan pecah, sistem saliran musnah.
-
Air dari atas – kenaikan laut, banjir besar.
-
Azab dari langit – kisfan yang belum diturunkan, tetapi semakin hampir.
Nusantara Akan Dimusnahkan, Tetapi Bukan Ditinggalkan
Apabila bumi ini pecah, bukan semua akan musnah. Akan ada yang terselamat. Bukan kerana kuasa dan kekuatan tetapi kerana iman, taubat dan penjagaan Rabb.
Mereka inilah yang akan berhijrah tapi ke mana? Ke Mekah.
Kerana pusat bumi itu akan kembali menjadi pusat pemurnian bukan sahaja dari segi geografi, tetapi dari segi kepimpinan akhir zaman.
Maka timbullah satu gerakan pasukan yang tidak mencari populariti, tidak ditaja mana-mana kuasa, tetapi muncul dengan kekuatan iman dan persediaan.
Inilah mereka yang akan membentuk Panji Hitam dari Timur.
Panji Hitam dan Pemurnian Terakhir
Pasukan Panji Hitam bukan sekadar simbol. Ia adalah jawapan kepada doa Nabi Ibrahim. Mereka akan membawa seorang lelaki dari keturunan Nabi yang belum lagi diangkat sebagai pemimpin, tetapi sedang disembunyikan dalam kalangan mereka.
Imam Mahdi tidak akan keluar di Mekah secara tiba-tiba tanpa sokongan. Dia akan dibawa ke sana. Dan yang akan membawanya ialah kita iaitu kaum dari timur, pewaris Hanif, yang terselamat dari As-Sa’ah.
Apabila Imam Mahdi dibai’ah di Kaabah, maka tertunailah doa Nabi Ibrahim. Dan sempurnalah kitaran tauhid — dari pembinaan Kaabah, kepada pemurnian terakhirnya.
Kita Akan Kembali ke Pusat Bumi
Nabi Ibrahim datang dari timur Syam ke lembah ini. Zulkarnain menjelajah hingga ke timur. Nabi Daud dan Nabi Sulaiman membina tamadun dan kembali menyambung misi suci ke pusat bumi.
Begitu juga kita saki baki kaum Saba’ yang terselamat. Kita tidak akan kekal di bumi ini. Kita akan dihantar semula ke tanah asal misi. Tetapi kali ini, bukan dengan kemewahan tetapi dengan tugas pemurnian.
Dan jika kita menolak seruan ini, maka Allah akan salin kita dengan kaum lain yang lebih taat dan bersedia.
Balas kepada: