Bahagian 2: Misteri Nusantara Dalam Al-Quran
Adakah lokasi Nusantara disebut dalam Al-Quran? Tidak secara langsung. Tetapi jika kita perhatikan dengan lebih dalam, ayat demi ayat, istilah demi istilah, serta konteks wahyu dari sudut geografi, arah dan fitrah alam, maka akan terbukalah satu misteri besar yang selama ini terhijab.
Misteri yang bukan sahaja menyentuh asal-usul peradaban, tetapi juga masa depan kebangkitan akhir zaman.
Timur: Arah yang Dipilih
Kita mulakan dengan membincangkan arah. Dalam Al-Quran, Allah berfirman:
وَلِلَّهِ ٱلْمَشْرِقُ وَٱلْمَغْرِبُ ۚ فَأَيْنَمَا تُوَلُّوا۟ فَثَمَّ وَجْهُ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ وَٰسِعٌ عَلِيمٌۭ
“Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah wajah Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa Mengetahui.”
(Surah Al-Baqarah 2:115)
Arah timur (المشرق) dan barat (المغرب) sering disebut dalam Al-Quran, namun tidak sekadar untuk menunjuk lokasi geografi. Ia adalah simbol pergerakan cahaya dan kegelapan, serta petunjuk arus kebangkitan dan kejatuhan dalam sejarah manusia.
رَبُّ ٱلْمَشْرِقَيْنِ وَرَبُّ ٱلْمَغْرِبَيْنِ
“Rabb (yang memelihara) dua tempat terbit matahari dan dua tempat terbenamnya.”
(Surah Ar-Rahman 55:17)
Apakah maksud dua timur dan dua barat ini? Terdapat pelbagai tafsiran. Jika kita lihat dalam konteks akhir zaman, bagaimana jika ia juga merujuk kepada dua sumbu utama tamadun dunia? Barat yang jatuh, dan Timur yang akan bangkit?
Kaum Nabi Musa dan Warisan Timur
Dalam Surah Al-A'raf, Allah menyebut bahawa kaum Nabi Musa AS telah mewarisi bumi yang penuh keberkatan:
وَأَوْرَثْنَا ٱلْقَوْمَ ٱلَّذِينَ كَانُوا۟ يُسْتَضْعَفُونَ مَشَـٰرِقَ ٱلْأَرْضِ وَمَغَـٰرِبَهَا ٱلَّتِى بَـٰرَكْنَا فِيهَا ۖ وَتَمَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ ٱلْحُسْنَىٰ عَلَىٰ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ بِمَا صَبَرُوا۟ ۖ وَدَمَّرْنَا مَا كَانَ يَصْنَعُ فِرْعَوْنُ وَقَوْمُهُۥ وَمَا كَانُوا۟ يَعْرِشُونَ
"Dan Kami wariskan kepada kaum (Bani Israil) yang telah tertindas itu akan daerah-daerah timur bumi dan daerah-daerah baratnya, yang Kami telah melimpahkan berkat padanya. Dan telah sempurnalah Kalimah Allah (janjiNya) yang baik kepada kaum Bani Israil kerana kesabaran mereka (semasa mereka ditindas oleh Firaun), dan Kami telah hancurkan apa yang telah dibuat oleh Firaun dan kaumnya dan apa yang mereka telah dirikan"
(Surah Al-A'raf 7:137)
Perhatikan istilah:
-
Masyariq al-ardh (مشارِقَ الأرْضِ) → Timur bumi
-
Magharib al-ardh (مَغَارِبَهَا) → Barat bumi
Makna ini membawa kita kepada persoalan besar: Ketika zaman Firaun di Mesir waktu, di timur dan di barat masing-masing sudah ada peradaban manusia yang lain. Jika kaum Nabi Musa menerima warisan ini, dan jika kita (umat akhir zaman) adalah kesinambungan daripada warisan yang beriman ini, di manakah 'timur bumi' yang paling diberkati itu hari ini?
Adakah kita sedang berada di atas tanah itu sekarang? Nusantara yang strategik, kaya, subur, tersorok, dan terselamat dari bencana besar dunia. Mungkinkah inilah masyarikal-ardh tersebut?
Isyarat Halus: Lokasi yang Terlindung
Dalam Surah Al-Kahfi yang selalu kita amal sebagai pelindung akhir zaman, Allah menceritakan satu kaum yang beriman, bersembunyi dalam gua, lalu Allah lindungi mereka dari fitnah zaman:
فَضَرَبْنَا عَلَىٰٓ ءَاذَانِهِمْ فِى ٱلْكَهْفِ سِنِينَ عَدَدًۭا
“Maka Kami tidurkan mereka dalam gua itu bertahun-tahun lamanya.”
(Surah Al-Kahfi 18:11)
Apakah kaitan ayat ini dengan Nusantara? Lihat pada ayat-ayat selepasnya.
ثُمَّ بَعَثْنَـٰهُمْ لِنَعْلَمَ أَىُّ ٱلْحِزْبَيْنِ أَحْصَىٰ لِمَا لَبِثُوٓا۟ أَمَدًۭا
“Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu).”
(Surah Al-Kahfi 18:12)
Allah bangunkan mereka semula, dan mereka menjadi simbol kepada kebangkitan semula iman selepas tertidur panjang.
Bukankah kisah ini seperti fitrah Nusantara? Setelah lama tenggelam dari pentas dunia, ia akan bangkit semula dalam misi akhir zaman sebagai umat yang dipilih untuk menyambung panji kebenaran.
Zulkarnain dan Perjalanan ke Timur
Petunjuk yang lebih jelas tentang arah timur terdapat dalam Surah Al-Kahfi ayat 89 hingga 97, di mana Allah merakamkan perjalanan Zulkarnain ke tiga lokasi yang berbeza — semuanya ke arah timur. Dan pada setiap lokasi, Zulkarnain menemui kaum-kaum yang unik dan berbeza.
Lokasi Pertama – Timur Terbit Matahari (Ayat 89–90)
ثُمَّ أَتْبَعَ سَبَبًا
Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.حَتَّىٰٓ إِذَا بَلَغَ مَطْلِعَ ٱلشَّمْسِ وَجَدَهَا تَطْلُعُ عَلَىٰ قَوْمٍۢ لَّمْ نَجْعَل لَّهُم مِّن دُونِهَا سِتْرًۭا
Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya.(Surah Al-Kahfi 18:89–90)
Ini adalah kaum pertama yang ditemui di timur. Mereka hidup dalam keadaan sangat primitif, tiada binaan, tiada perlindungan. Zulkarnain tidak mengubah mereka, hanya mengamati.
Lokasi Kedua – Antara Dua Gunung (Ayat 92–94)
ثُمَّ أَتْبَعَ سَبَبًا
Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.حَتَّىٰٓ إِذَا بَلَغَ بَيْنَ ٱلسَّدَّيْنِ وَجَدَ مِن دُونِهِمَا قَوْمًۭا لَّا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ قَوْلًۭا
Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan.قَالُوا۟ يَـٰذَا ٱلْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِى ٱلْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَىٰٓ أَن تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّۭا
Mereka berkata: "wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?"(Surah Al-Kahfi 18:92–93)
Kaum ini sangat lemah, tidak mampu mempertahankan diri. Mereka meminta pertolongan daripada Zulkarnain untuk melindungi mereka dari serangan kaum ketiga yang sangat merosakkan.
Lokasi Ketiga – Kaum Ya’juj dan Ma’juj (Ayat 94–97)
الُوا۟ يَـٰذَا ٱلْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِى ٱلْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَىٰٓ أَن تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّۭا
Mereka berkata: "wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?"
قَالَ مَا مَكَّنِّى فِيهِ رَبِّى خَيْرٌۭ فَأَعِينُونِى بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا
Dia menjawab: "(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.
ءَاتُونِى زُبَرَ ٱلْحَدِيدِ ۖ حَتَّىٰٓ إِذَا سَاوَىٰ بَيْنَ ٱلصَّدَفَيْنِ قَالَ ٱنفُخُوا۟ ۖ حَتَّىٰٓ إِذَا جَعَلَهُۥ نَارًۭا قَالَ ءَاتُونِىٓ أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًۭا
Bawalah kepadaku ketul-ketul besi"; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, ddia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: "Tiuplah dengan alat-alat kamu" sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: "Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya".
فَمَا ٱسْطَـٰعُوٓا۟ أَن يَظْهَرُوهُ وَمَا ٱسْتَطَـٰعُوا۟ لَهُۥ نَقْبًۭا
Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya.
(Surah Al-Kahfi 18:94–97)
Ini kaum ketiga yang juga berada di timur, disebut dengan nama: Ya’juj dan Ma’juj. Mereka adalah manusia, tetapi sangat merosakkan. Zulkarnain akhirnya membina benteng logam yang kukuh untuk menghalang mereka dan ia kekal kukuh sehingga takdirnya ia runtuh.
Tiga Lokasi, Satu Arah: Timur
Keseluruhan ayat 89 hingga 97 memperlihatkan bahawa Zulkarnain kekal di wilayah timur tetapi beliau menjelajah ke pelbagai lokasi yang berbeza di dalamnya. Daripada kaum yang primitif, kepada kaum yang memerlukan bantuan, sehingga kepada kaum perosak yang paling besar, semuanya ditemukan di timur.
Ini menguatkan lagi isyarat bahawa timur adalah medan pertembungan akhir zaman dan dalam konteks kita hari ini, ia membawa persoalan adakah kita di bumi timur ini sedang berada dalam wilayah yang pernah dilalui oleh Zulkarnain?
Petunjuk dari Surah At-Takwir
Dalam Surah At-Takwir, Allah gambarkan peristiwa besar yang menggegarkan fitrah alam. Ayat-ayat ini sering dibaca sebagai puitis dan metafora. Namun apabila difahami bersama fenomena bumi, ia menjadi petunjuk yang sedang berlaku di hadapan mata kita.
وَإِذَا ٱلْعِشَارُ عُطِّلَتْ
Dan apabila unta-unta yang bunting terbiar;وَإِذَا ٱلْوُحُوشُ حُشِرَتْ
Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan;وَإِذَا ٱلْبِحَارُ سُجِّرَتْ
Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur;(Surah At-Takwir 81:4–6)
Mari kita pecahkan satu per satu untuk melihat apa kaitan dengan nusantara:
1. وَإِذَا ٱلْعِشَارُ عُطِّلَتْ
“Apabila unta bunting dibiarkan…”
Zaman dahulu, unta bunting adalah simbol kekayaan dan masa depan. Kalau ia dibiarkan, ertinya manusia tidak lagi peduli pada dunia. Ia adalah simbol kejatuhan sistem ekonomi dan nilai kekayaan fizikal. Sekarang manusia semua beralih kepada wang kertas dan digital. Masyarakat sudah hilang arah.
2. وَإِذَا ٱلْوُحُوشُ حُشِرَتْ
“Apabila binatang liar dikumpulkan…”
Tafsir lama menyebut bahawa ini menggambarkan haiwan-haiwan buas dikumpulkan untuk diadili. Tapi hari ini, kita nampak tafsiran itu juga berlaku secara fizikal. Binatang liar keluar ke bandar dikumpulkan menjadi sebuah zoo. Binatang juga terpaksa masuk ke populasi manusia, kerana habitat mereka musnah, hutan terbakar, daratan terlalu panas. Haiwan laut juga naik ke permukaan bahkan jerung, paus dan ubur-ubur dan pelbagai spesis laut dalam muncul di pantai Nusantara secara luar biasa.
3. وَإِذَا ٱلْبِحَارُ سُجِّرَتْ
“Apabila lautan dinyalakan…”
Ini paling jelas. Lautan makin panas. Suhu permukaan laut Nusantara meningkat drastik. Gunung-gunung berapi dasar laut mula aktif. Banjaran bawah laut Indonesia dan Filipina adalah antara yang paling berbahaya di dunia.
Bila laut panas, gas metana dilepaskan, tekanan kerak bumi berubah, dan semua ini memberi kesan domino:
-
Tsunami
-
Gempa bumi
-
Runtuhan pulau
-
Letusan bawah laut
-
Pecahan lapisan ais di kutub yang menambahkan lagi aras air laut
Nusantara di Tengah-Tengah Peta Takwir
Semua ini, suhu laut meningkat, binatang laut muncul, hutan terbakar, dan kerosakan struktur bumi paling banyak berlaku di Nusantara. Bukan di Eropah. Bukan di AS. Tapi di tanah yang kita pijak ini.
Adakah ini sekadar gejala iklim?
Atau adakah ini isyarat dari Rabb, bahawa bumi ini akan menjadi pusat gegaran akhir zaman, sebagaimana Saba’ dahulu menerima azab banjir dan terpecah kepada kepulauan?
Taman Syurga Yang Musnah dan Bangkit Semula
Kita kembali kepada Surah Saba’. Selepas kewafatan Nabi Sulaiman AS, Allah terus ceritakan tentang satu kaum yang memiliki kemewahan luar biasa, bukan sekadar hasil bumi, tetapi juga susun atur kehidupan yang begitu sempurna.
لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍۢ فِى مَسْكَنِهِمْ ءَايَةٌۭ ۖ جَنَّتَانِ عَن يَمِينٍۢ وَشِمَالٍۢ ۖ كُلُوا۟ مِن رِّزْقِ رَبِّكُمْ وَٱشْكُرُوا۟ لَهُۥ ۚ بَلْدَةٌۭ طَيِّبَةٌۭ وَرَبٌّ غَفُورٌۭ
“Sesungguhnya ada (telah wujud dan masih ada) pada (terhadap) Saba' (nama bagi sebuah entiti) dalam tempat tinggal mereka (berupa) tanda (bukti, dalil), (iaitu) dua (di tengahnya ada sungai) jannah (kebun/taman) di sebelah kanan (kebun di kanan tempat tinggal) dan di sebelah kiri (kebun di kiri tempat tinggal), (Diserukan kepada mereka (Kaum Saba'), "Makanlah daripada rezeki Rabb (hasil BTWG) kamu dan bersyukurlah kepada Nya (Rabb), bandar (tempat yang didiami) kamu tayyib dan Rabb mengampuni (penduduknya)”
(Surah Saba’ 34:15)
BTWG - Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur (Kota Yang Baik Dan Rabb Memberi Maghfirah Penduduknya).
Perhatikan susunan ini; kanan dan kiri. Apa yang berada di tengah kalau bukan sungai?
Maka kita boleh bayangkan satu kawasan tanah lembah yang subur dan strategik, seperti yang sering menjadi pusat tamadun dunia umpamanya Mesir dengan Nil, Iraq dengan Furat dan Tigris, Indus dengan Punjab, dan... mungkinkah di sini juga ada satu yang serupa?
Tapi kemudian, datangnya kerosakan.
فَأَعْرَضُوا۟ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ سَيْلَ ٱلْعَرِمِ وَبَدَّلْنَـٰهُم بِجَنَّتَيْهِمْ جَنَّتَيْنِ ذَوَاتَىْ أُكُلٍ خَمْطٍۢ وَأَثْلٍۢ وَشَىْءٍۢ مِّن سِدْرٍۢ قَلِيلٍۢ
Lalu kemudian kami (telah) hantarkan atas (kepada) mereka banjir (berupa arus deras yang berpunca daripada) Al 'Arim (pecah atau rosaknya empangan atau bendungan atau tebatan), dan (kemudian) kami telah gantikan mereka dengan dua jannah (kebun/taman) mereka dengan dua kebun yang (masing-masing) mengandungi (berisi/menghasilkan) pohon yang menghasilkan buah yang pahit dan pohon asal (éshel/tamarix) dan sedikit pohon bidara.
(Surah Saba’ 34:16)
Allah tak hancurkan mereka dengan api, gempa atau kilat tapi dengan air. Air dari atas iaitu tsunami darat berupa banjir empangan pecah. Dan mungkin juga air dari bawah tsunami laut serta kenaikan aras laut. Inilah bencana dua arah yang membentuk wajah baru bumi. Perpecahan tanah, pemisahan daratan, penciptaan kepulauan.
Kemudian Allah tegaskan bahawa azab itu bukan kepada semua — hanya yang kufur:
ذَٰلِكَ جَزَيْنَـٰهُم بِمَا كَفَرُوا۟ ۖ وَهَلْ نُجَـٰزِىٓ إِلَّا ٱلْكَفُورَ
“Demikianlah Kami membalas mereka kerana kekufuran mereka. Dan tidaklah Kami membalas selain orang-orang yang sangat kufur.”
(Surah Saba’ 34:17)
Yang beriman diselamatkan. Tapi ke manakah mereka pergi?
Kita andaikan — mereka tidak musnah bersama. Mereka dipisahkan oleh bentuk muka bumi yang berubah. Sungai menjadi laut. Tanah menjadi pulau. Perhubungan terputus. Satu kaum menjadi banyak bangsa. Satu wilayah menjadi gugusan. Satu tamadun menjadi cebisan.
Dan itulah yang kita kenal hari ini sebagai Nusantara.
Bila kita lihat pohon cemara menggantikan flora tropika yang dulunya subur, ia bukan sekadar perubahan tanaman. Ia perubahan altitud dan iklim. Kawasan tinggi tidak akan tumbuh lagi pohon rendah. Ini geologi. Ini sains bumi. Ini qadar Allah yang ditentukan ke atas kaum yang berpaling setelah diberi nikmat syurga dunia.
Tetapi, kisah ini belum berakhir. Kaum yang beriman, saki-baki Hanif tidak hilang. Mereka menjadi penyimpan amanah. Mereka hidup dalam senyap, mungkin tanpa nama, mungkin tanpa sejarah rasmi. Tapi mereka ada. Menunggu. Menunggu detik kebangkitan.
Dan jika benar mereka adalah kita, maka tugas itu akan kembali kepada kita untuk membina semula taman yang musnah, bukan secara fizikal — tetapi dalam bentuk akidah, peradaban, dan khalifah.
Nusantara: Tanah yang Terpilih
Semua ini bukan kebetulan. Allah meletakkan banyak isyarat tentang timur, kebangkitan semula, dan sisa-sisa kaum yang beriman dalam tempat yang tersorok. Tempat yang jauh dari pusat kejatuhan tamadun besar.
وَءَاخَرِينَ مِنْهُمْ لَمَّا يَلْحَقُوا۟ بِهِمْ ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ
Dan juga (telah mengutuskan Nabi Muhammad kepada) orang-orang yang lain dari mereka (orang Arab), yang masih belum (datang lagi dan tetap akan datang) menghubungi mereka; dan (ingatlah), Allah jualah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(Surah Al-Jumu’ah 62:3)
Kaum yang belum sampai kepada Nabi pada waktu itu tetapi akan menerima risalah dan menyambung perjuangan. Tidakkah ini menggambarkan perjuangan akhir kaum Nusantara?
Kesimpulan: Di Sini Ia Akan Bermula
Nusantara adalah tempat yang terselamat daripada kehancuran besar. Tapi ia bukan tempat yang akan kekal selamat.
Ia adalah tanah kebangkitan. Tanah Panji Hitam akan bergerak. Tanah pejuang-pejuang akhir zaman akan dibangkitkan semula.
Tetapi sebelum itu, kita mesti sedar siapa kita. Kita akan dimusnahkan dahulu dengan As Sa'ah sebelum dibangkitkan semula.
Bangkitlah. Kita bukan sekadar umat biasa. Kita adalah pemegang rahsia terakhir sejarah manusia.
Balas kepada: