Bahagian 4: Simulasi As-Sa’ah Lembah Klang
Apabila Allah berjanji dalam Surah Saba’ bahawa Dia boleh menurunkan “kisfan” dari langit, tetapi tidak menurunkannya ke atas Kaum Saba’ ketika itu. Apakah itu bermakna janji itu telah dibatalkan?
Tidak. Janji itu hanya ditangguhkan.
Hari ini, kita berdiri di atas tanah yang pernah menyimpan sejarah kehancuran. Tanah ini tidak lupa. Langit pun tidak lupa. Dan janji itu — sedang menghampiri kita.
Langit Menghantar Petanda
Ia bermula seperti hari-hari biasa. Langit biru. Manusia masih tersenyum menatap skrin telefon. Jalan-jalan di Kuala Lumpur penuh sesak dengan urusan dunia. Tiada siapa menduga bahawa langit sedang menyimpan sesuatu yang akan merobohkan seluruh sistem.
Tiba-tiba, agensi angkasa di seluruh dunia mengeluarkan kenyataan tergempar. Satu juraian meteor gergasi sedang menghampiri bumi. Tidak dijangka. Tidak dapat dikesan lebih awal. Ia datang terlalu cepat. Berasal dari arah barat, meteor ini membawa unsur logam berat, gas panas dan sejuk, dan satu ekor api putih kebiru-biruan yang menjilat langit dari satu penjuru ke satu penjuru lain.
Ketika badan utama meteor mula menghampiri Timur, ekornya masih melintasi Barat. Langit menjadi merah. Bumi bergegar. Haba meningkat. Burung-burung terbang tanpa arah. Binatang-binatang hilang jejak. Manusia terpaku. Itulah kisfan telah turun dari langit.
أَفَلَمْ يَرَوْا۟ إِلَىٰ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُم مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ ۚ إِن نَّشَأْ نَخْسِفْ بِهِمُ ٱلْأَرْضَ أَوْ نُسْقِطْ عَلَيْهِمْ كِسَفًۭا مِّنَ ٱلسَّمَآءِ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَةًۭ لِّكُلِّ عَبْدٍۢ مُّنِيبٍۢ
(Setelah mereka mengejek-ejek dan membuat tuduhan-tuduhan itu) tidakkah mereka melihat apa yang ada di hadapan mereka dan yang ada di belakang mereka dari langit dan bumi (dapatkah mereka melarikan diri)? Jika Kami kehendaki nescaya Kami timbuskan mereka di bumi, atau Kami gugurkan atas mereka kisfan (ketul-ketul dan serpihan-serpihan) dari langit (yang akan membinasakan mereka). Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang memberi keinsafan) bagi tiap-tiap hamba Allah yang mahu kembali kepadanya (dengan taat dan berbakti).
(Surah Saba’, 34:9)
Bukan semua meteor terbakar di angkasa. Sebahagiannya menembusi atmosfera. Ada yang terhempas ke Laut Andaman. Ada yang jatuh ke dasar Laut China Selatan. Dan beberapa daripadanya menyebabkan gegaran bumi yang mengubah peta Nusantara dan sebahagian dunia.
Kisfan yang Ditangguhkan, Kini Telah Turun
Dahulu, Allah menangguhkan kisfan. Dia tahan langit daripada menghancurkan kita.
Dia beri masa. Hari-hari yang kita anggap biasa sebenarnya adalah ruang waktu sebelum kehancuran. Setiap pagi yang masih kita lihat matahari, setiap malam yang kita lelap dengan lena, semuanya adalah tangguhan As-Sa’ah. Sebuah jam yang terus berdetik, menunggu untuk tiba ke saatnya.
Dia beri rezeki. Setiap nikmat yang kita rasa sebenarnya adalah peluang terakhir untuk kembali ke jalan Tuhan sebelum langit terbuka dan bumi terbelah. Tapi kita leka. Kita terlalu yakin bahawa “esok masih ada”.
Dia beri peringatan. Gunung berapi mula aktif. Air laut makin panas. Gempa bumi muncul di tempat yang tak pernah tergoncang. Tapi kita anggap itu semua cuma gejala alam. Kita lupa bahawa alam juga tunduk kepada perintah Tuhan dan apabila langit diperintah, bumi akan menyahut.
Kisfan adalah Kunci Pembuka As-Sa’ah
As-Sa’ah bukan hanya Kiamat akhir. Ia adalah segala detik kehancuran baik secara peribadi (kematian), komuniti (kehancuran kaum), atau peradaban (azab massal seperti Saba’, Aad, Tsamud).
Dan kisfan adalah salah satu pencetusnya.
Apabila kisfan turun, serpihan langit memasuki ruang bumi, bumi akan bertindak balas. Ini bukan sekadar sains. Ini adalah pertembungan antara langit dan bumi yang sudah ditentukan sejak azali.
Langit menghantar isyarat. Bumi menyimpan amarah. Dan apabila kedua-duanya bersatu maka As-Sa’ah pun bermula.
Gempa dan Tsunami dari Dua Arah
Letusan bawah laut melepaskan tsunami yang ganas. Pantai barat Semenanjung Malaysia dari Langkawi hingga ke Port Dickson dilenyapkan dalam gelombang putih yang menggulung bangunan, manusia, dan seluruh binaan.
Di saat yang sama, gegaran dari laut Andaman merebak ke Banjaran Titiwangsa. Jajaran batuan kuarza yang selama ini kukuh mula retak. Kawasan Janda Baik, Bentong, dan Genting Highlands mengalami gegaran susulan. Di bawahnya di atas benteng kuarza ada dua empangan besar:
-
Empangan Batu (30,000 juta liter).
-
Empangan Klang Gates (25,000 juta liter).
Empangan itu kini retak, lalu pecah seperti dalam kisah Movie Noah 2014.
Tiada sempat siren berbunyi. Tiada amaran. Ketika asyik memeriksa media sosial deruman air yang datang dari langit dan tanah secara serentak. Air dari bawah dan air dari atas, bersatu dalam misi yang sama menenggelamkan Kuala Lumpur dan menghukum penghuninya yang telah diberiman amaran serta peringatan.
Kuala Lumpur Menjadi Lumpur
Dalam kurang dari satu jam kota yang selama ini dikenali sebagai jantung Malaysia, Kuala Lumpur, hilang dari peta.
Bermula dengan rempuhan air dari Empangan Batu, aliran derasnya tidak lagi tunduk kepada undang-undang kejuruteraan atau struktur kota. Ia menebuk segala yang ada di hadapannya, memecah banjaran bukit, menghanyutkan kampung-kampung yang sunyi, lalu mengganas ke arah Selayang. Gelombang itu memukul Batu Caves menghapuskan deretan rumah di lereng bukit, mengangkat kereta seperti permainan kanak-kanak, menyapu pasar dan masjid, dan menjadikan jalan-jalan raya sebagai sungai berarus deras.
Dari situ, air turun ke Kampung Batu, menyapu segala binaan, menenggelamkan hentian-hentian tren yang selama ini menjadi nadi harian penduduk. Sentul lumpuh. Laluan ke hospital tidak lagi dapat dicapai. PWTC menjadi kolam raksasa. SOGO tenggelam tanpa sempat pengunjung keluar. Air memecah dinding, menyelinap masuk ke setiap celah, tidak peduli status atau jenama.
Di sudut lain kota, Empangan Klang Gates pecah. Deruan air dari Taman Melawati turun seperti banjir dari langit. Melibas Zoo Negara. Memecahkan jalan-jalan utama di MRR2. Keramat dan Ampang jadi sungai. Bangunan tinggi seperti KLCC bukan lagi simbol kemegahan tetapi ia menjadi tiang penunjuk aras banjir, tempat manusia cuba berlindung tetapi akhirnya pasrah.
Air dari dua arah iaitu Sungai Batu dan Sungai Klang bertemu di Dataran Merdeka dan Masjid Jamek. Di sinilah titik kemusnahan paling dramatik berlaku. Simbol kebangsaan menjadi titik pusaran air.
Air tidak lagi mengalir ia memburu, seperti seekor naga raksasa yang lapar dan gila. Bertembung dengan kekuatan berganda, ia terus mara ke KL Sentral menenggelamkan rel, memusnahkan sistem keretapi elektrik, dan menutup seluruh laluan keluar dari ibu negara.
Mid Valley menjadi kolam kematian. Parkir bawah tanah penuh dengan manusia dan kenderaan yang tidak sempat menyelamatkan diri. Tiada siapa sangka air akan sampai secepat itu. Tiada siapa sangka lif akan menjadi perangkap maut.
Petaling Jaya, Puchong, dan Taman Sri Muda semuanya tenggelam satu demi satu. Air menyerap seluruh bandar dengan kejam dan senyap. Shah Alam yang selama ini dilihat sebagai kota pentadbiran moden rebah seperti kota lumpur Mesir Purba. Bangunan universiti, sekolah, stadium semuanya hilang.
Akhirnya, air sampai ke Bandar Klang, lalu melimpah ke Selat Melaka. Di sinilah daratan berakhir. Laut dan darat tidak dapat dibezakan lagi. Segala perbezaan geografi telah lenyap.
Bangunan setinggi 10 hingga 15 tingkat hilang dari pandangan mata. Tidak ada ruang untuk melarikan diri ke atas. Mereka yang berada di bumbung pun dihanyutkan bersama serpihan besi dan simen yang beterbangan.
Dan lebih menyedihkan tiada helikopter penyelamat.
Tiada suara dari polis trafik. Tiada ambulans yang menjerit di kejauhan. Tiada siaran langsung. Tiada “Breaking News”, tiada "Astro Awani", tiada "Berita Harian". Tiada wartawan yang sempat merakam atau menulis. Semua sistem lumpuh dan gagal.
Yang tinggal hanyalah air yang hitam dan deras, langit yang kelam, dan kematian yang tidak sempat diberikan salam.
Orang-orang tersayang hilang dalam sekelip mata. Suami kehilangan isteri. Ibu kehilangan anak. Anak kehilangan ibu bapa.
Yang tinggal hanya tubuh yang menggigil di atas sisa bangunan yang belum runtuh. Menangis dalam senyap. Bertanya pada diri sendiri apa yang telah kami lakukan? Mengapa kami tidak percaya sebelum ini?
Kuala Lumpur kini bukan lagi kota kemegahan. Ia telah menjadi Kota Lumpur kubur terbuka untuk mereka yang selama ini hidup dalam keselesaan dan kealpaan. Itulah ulangan kerajaan Saba' dan kota-kota sekelilingnya.
Rangkaian Kehidupan Terputus
Apabila air menelan bandar, segala rangkaian kehidupan runtuh bersama-sama. Sistem yang selama ini kita banggakan seperti paip, kabel, grid, pencawang, aplikasi, mesin, pelayan data semuanya lumpuh tanpa sempat bertahan.
Jambatan roboh satu demi satu. Di bawahnya mengalir paip-paip besar air terawat, nadi kepada jutaan manusia setiap hari. Sekali jambatan runtuh, bukan sahaja lalu lintas terputus, bekalan air bersih turut musnah. Tiada lagi pancuran dari paip, tiada lagi tangki yang mengalir. Kolah masjid kosong. Penapis air hanya tinggal perhiasan dapur.
Tiang-tiang elektrik tumbang, satu demi satu, seperti domino. Sebahagiannya patah terkena runtuhan bangunan. Sebahagiannya tenggelam dalam air. Bekalan elektrik seluruh Lembah Klang terpadam. Tiada lampu. Tiada peti sejuk. Tiada televisyen. Tiada kipas. Tiada mesin ATM. Tiada mesin pembayaran. Tiada apa-apa.
Telefon pintar, simbol moden gaya hidup kita menjadi hiasan beku dalam poket. Bateri perlahan-lahan merosot kepada 2%. Cuba dicari suis pengecas, namun tiada elektrik. Cuba buka data, tapi tiada talian. Cuba cari Wi-Fi, tapi semua pencawang senyap. Cuba hantar mesej kecemasan, tetapi mesej terakhir yang terpampang hanya satu:
“Ya Allah…”
Dan mesej itu kekal tergantung, selama-lamanya.
Pencawang komunikasi sudah lama tumbang. Sesetengahnya dibawa air deras. Yang lain runtuh akibat gegaran. Seluruh sistem komunikasi negara hampir senyap. Tiada siaran radio. Tiada makluman kecemasan. Dunia seolah-olah kembali ke zaman tanpa suara.
Stesen minyak semuanya mati. Tiada pam berfungsi kerana tiada kuasa. Tiada pekerja. Tiada lori tangki yang mampu masuk ke kawasan lumpuh. Jalan raya pecah, jambatan musnah, tidak ada penghantaran bahan api lagi. Generator hospital pun hanya bertahan tiga hari. Selepas itu, tiada siapa yang mampu hidupkan apa-apa. Bandar ini bergelap, dan akan terus bergelap.
Dan kemudian, air yang tenang mula bertukar warna.
Mayat manusia muncul satu demi satu, tersangkut di longkang, di dahan, di pintu rumah. Ada yang terapung di bumbung kenderaan. Ada yang terhempap serpihan besi. Ada yang sudah tidak dikenali bentuknya. Bangkai binatang bercampur lembu, anjing, kucing, ayam, semua ada.
Bau hanyir darah bercampur dengan bau lumpur, najis, bangkai dan kematian. Sungai yang dulu indah kini berubah menjadi longkang gergasi neraka.
Orang cuba mencari sumber air. Tetapi tasik dan lombong pun telah dicemari. Air tenang di lombong disangka selamat rupanya menyimpan racun kematian. Bakteria, virus, najis dan darah menyatu dalam setiap gelas air yang dicekup. Penyakit berjangkit mula merebak sebelum bantuan sempat tiba.
Hospital? Lumpuh. Doktor sendiri hanyut. Jururawat hilang. Bekalan ubat sudah musnah. Generator tidak lagi hidup. Mesin tidak boleh digunakan. Pesakit terlantar mati dalam gelap.
Pusat data?
Tidak berguna. Bangunan kalis gempa dan kalis banjir tetap rebah apabila banjir datang dengan kekuatan tsunami darat. Semua maklumat data kewangan, keselamatan, sistem kerajaan hilang begitu saja.
Dokumen “Business Continuity Plan” yang selama ini menjadi standard di setiap pejabat kerajaan dan syarikat besar hanya tinggal kertas dalam kabinet kalis api. Tiada siapa sempat membacanya. Semua rancangan kecemasan untuk bertahan 72 jam itu tamat sebelum jam ke-24.
Semua yang disangka akan menyelamatkan, GAGAL.
Dan kini, manusia berdiri di atas runtuhan dunia mereka, menatap langit yang kelam, bertanya dalam hati…
“Beginikah akhirnya Lembah Klang ini? Beginikah kami diadili?”
Orang Hidup Terperangkap, Orang Mati Berselerak
Anda mungkin hidup. Tetapi hidup dalam dunia yang sudah mati.
Bumbung rumah masih utuh, tetapi lantainya sudah retak. Tangga patah. Laluan keluar terhalang. Di luar, hanya ada air... dan mayat.
Keluarga terpisah. Ada yang tidak sempat bersuara sebelum diseret arus. Ada yang ditelan gelombang di hadapan mata. Hanya sempat melaungkan nama terakhir. Ada juga yang hilang dari pandangan dan tidak ditemui semula. Entah di mana jasad mereka, entah di mana kuburnya.
Kanak-kanak menangis. Mata mereka kosong. Suara mereka serak. Baju mereka koyak. Ada yang berpelukan dengan tubuh ibu yang sudah tidak bernyawa. Ada yang duduk menggigil, menggigit hujung baju, tidak tahu kepada siapa perlu meminta tolong.
Wanita meraung. Suami hilang. Anak-anak mati. Diri sendiri luka dan berdarah. Tiada tisu. Tiada ubat. Tiada air bersih untuk mencuci luka. Hanya suara esakan yang menyatu dengan bau bangkai dan tanah basah.
Orang tua terbaring. Tidak mampu bangun. Tidak mampu berlari. Tidak mampu bercakap. Mereka hanya memandang langit, sesekali menutup mata, menanti dengan pasrah ajal yang hampir tiba.
Di jalan-jalan yang dulu sesak dengan kereta dan bunyi enjin, kini hanya tubuh manusia terdampar, kaku dan membusuk. Ada yang tersangkut di besi pagar. Ada yang terapung di lopak air. Ada yang terperangkap dalam lif dan mati perlahan-lahan tanpa oksigen. Bau menjadi trauma. Siapa yang masih hidup, mereka menangis bukan hanya kerana kesedihan tetapi kerana hidung mereka tak mampu lagi menahan bau kematian.
Air mata tidak mampu berhenti. Tangisan menjadi senyap. Mata menjadi merah. Bahu menjadi lesu. Dan akhirnya, manusia hanya terduduk diam, kaku, tanpa suara.
Makanan terakhir hanyalah biskut yang tinggal di laci meja. Segenggam beras yang dicatu. Seteguk air hujan yang ditadah. Tiada dapur. Tiada api. Tiada gas. Tiada siapa pun datang membawa bantuan. Semua jalan sudah musnah.
Tiada polis. Mereka juga terkorban. Atau melarikan diri menyelamatkan keluarga sendiri.
Tiada askar. Kenderaan tentera tidak mampu menyeberangi jambatan yang sudah tenggelam.
Tiada pemimpin. Semua sistem kawalan telah hancur. Semua arahan tinggal dalam kertas. Tiada siapa mahu mendengar perintah apabila perut lapar dan keluarga mati.
Tiada siapa mahu berpolitik lagi. Tiada lagi debat. Tiada lagi mikrofon. Tiada lagi janji. Tiada lagi sidang media. Yang tinggal hanyalah kesedaran bahawa peringatan Allah telah pun tiba, dan kita telah mengabaikannya terlalu lama.
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱصْبِرُوا۟ وَصَابِرُوا۟ وَرَابِطُوا۟ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)."
(Ali 'Imran 3:200)
Simulasi Ini Bukan Ramalan Kosong
Simulasi ini bukan ilusi. Ia berdasarkan logik geologi, aliran air, kedudukan empangan, garis sesar bumi, dan sifat kerak bumi di Nusantara.
Apabila Allah mengizinkan satu hentakan semuanya akan runtuh.
وَإِن مِّن قَرْيَةٍ إِلَّا نَحْنُ مُهْلِكُوهَا قَبْلَ يَوْمِ ٱلْقِيَـٰمَةِ أَوْ مُعَذِّبُوهَا عَذَابًۭا شَدِيدًۭا ۚ كَانَ ذَٰلِكَ فِى ٱلْكِتَـٰبِ مَسْطُورًۭا
"Dan tiada sesebuah negeri pun melainkan Kami akan membinasakannya sebelum hari kiamat, atau Kami menyeksa penduduknya dengan azab seksa yang berat; yang demikian itu adalah tertulis di dalam Kitab"
(Surah Al-Isra', 17:58)
Bandar Kuala Lumpur adalah antara yang paling padat di Asia Tenggara. Dan ia dibina di tengah dua sungai, dua empangan, dua gunung batu, dan satu pertembungan nasib.
Satu ketika nanti ia tidak lagi akan disebut “Kuala Lumpur”. Tetapi akan dikenang sebagai "Kota Lumpur".
As-Sa’ah: Bencana Nusantara Sebelum Panji Hitam Bangkit
Inilah yang dimaksudkan dalam Bahagian 3, bahawa sebelum kebangkitan Panji Hitam dari Timur, umat ini akan melalui fasa kehancuran besar.
As-Sa’ah bagi Nusantara bukan sekadar kiamat. Tetapi satu detik kehancuran fizikal, sosial, dan kejiwaan. Sebagai pembersihan kepada yang layak menyambung perjuangan akhir zaman.
Tangisan Itu Bukan Lagi Dalam Hati
Tangisan tidak mampu ditahan lagi. Air mata bukan sekadar sedih. Tetapi kerana segala yang disebut dalam Al-Quran sedang berlaku di depan mata.
وَمَا خَلَقْنَا ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَآ إِلَّا بِٱلْحَقِّ ۗ وَإِنَّ ٱلسَّاعَةَ لَـَٔاتِيَةٌۭ ۖ فَٱصْفَحِ ٱلصَّفْحَ ٱلْجَمِيلَ
“Dan (ingatlah) tiadalah Kami mencipta langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya itu, melainkan dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat; dan sesungguhnya As Sa'ah itu tetap akan datang; oleh itu biarkanlah (golongan kafir yang mendustakanmu itu wahai Muhammad) serta layanlah mereka dengan cara yang elok.”
(Surah Al-Hijr, 15:85)
Masanya telah tiba. Mari kita kembali kepada Allah.
Balas kepada: