Bab 6: Strategi Proxy War di Nusantara
“Bila kuasa besar tidak mampu menyerang secara langsung, mereka akan mencetuskan perang melalui tangan-tangan lain.”
Nusantara: Medan Subur untuk Perang Proksi
Rantau Asia Tenggara, khususnya kawasan Nusantara yang merangkumi Malaysia, Indonesia, Brunei dan Filipina, kini memasuki fasa paling berisiko dalam sejarah moden, bukan kerana perang terbuka, tetapi kerana ia sedang dipersiapkan menjadi medan perang proksi.
Perang proksi bukanlah konflik antara dua negara secara langsung. Ia ialah peperangan terselindung yang digerakkan oleh kuasa luar melalui wakil tempatan dalam bentuk pemberontakan bersenjata, rusuhan politik, krisis agama, atau pemisahan wilayah. Ia bermula dengan kelemahan dalaman, diikuti manipulasi dari luar, lalu dikembangkan menjadi konflik yang tampak sah dan berasaskan hak.
Di rantau ini, apabila kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China atau kuasa kolonial tidak dapat masuk secara langsung, mereka akan mencipta alasan. Ia boleh bermula dengan isu etnik, ketidakadilan ekonomi, diskriminasi agama, atau legasi sejarah. Dan seperti yang berlaku di Syria, Libya, Ukraine atau Sudan Selatan. Semua bermula dengan naratif simpati, berakhir dengan kehilangan negara.
Apa yang lebih membimbangkan ialah, bahan mentah untuk konflik ini telah pun ada, menyala perlahan di bawah permukaan masyarakat.
Di Malaysia, isu semasa yang melibatkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, menjadi contoh bagaimana sensitiviti agama dan kaum boleh dieksploitasi. Kuil yang dikatakan berusia lebih 130 tahun ini dibina di atas tanah yang kini dimiliki oleh syarikat swasta, Jakel Trading Sdn Bhd, selepas pembelian daripada DBKL pada 2014. Walaupun pihak kuil tidak dimaklumkan mengenai penjualan tersebut, rundingan telah dijalankan antara Jakel, DBKL, dan jawatankuasa kuil untuk mencari penyelesaian terbaik. Namun, pengumuman mengenai majlis pecah tanah bagi pembinaan Masjid Madani di tapak yang sama telah mencetuskan kebimbangan dan bantahan daripada pelbagai pihak, termasuk peguam dan aktivis hak asasi manusia, yang melihat tindakan tersebut sebagai tergesa-gesa dan berpotensi menjejaskan keharmonian antara kaum.
Begitu juga dengan isu pencerobohan dan pengusiran pekebun Musang King di Pahang, yang pada permukaannya adalah soal pemilikan tanah, tetapi telah dijadikan medan percanggahan antara kaum Melayu dan bukan Melayu. Naratif ketidakadilan, diskriminasi ekonomi dan isu hak asasi dibentuk dalam ruang maya dan dilontarkan semula ke dunia nyata menimbulkan retak halus dalam kepercayaan antara rakyat dan institusi.
Di Indonesia pula, ketegangan antara komuniti majoriti dan minoriti masih menjadi barut luka yang belum sembuh. Sejarah rusuhan 1998 masih menghantui hubungan antara etnik pribumi dan komuniti Cina yang menguasai sektor ekonomi. Walaupun negara itu kini stabil dari segi politik, isu seperti pertembungan di Papua, diskriminasi di beberapa wilayah pedalaman terhadap komuniti Kristian, serta ketegangan agama yang disemarakkan semasa pilihan raya tempatan, menunjukkan bahawa potensi untuk ketidakstabilan masih sangat tinggi.
Apa yang sedang berlaku hari ini adalah proses pembinaan skrip. Isu-isu setempat digerakkan ke skrin antarabangsa, persepsi dibentuk, dan simpati dibina. Dan apabila satu titik lemah meletus sama ada bencana alam, kemelesetan ekonomi atau krisis politik. Jalan masuk telah tersedia untuk satu bentuk penjajahan baharu yang tidak perlukan peluru, hanya cukup dengan naratif.
Warisan Perpecahan: Pecahan Bangsa dan Wilayah
Nusantara ialah rantau yang paling kompleks dari segi identiti etnik, agama, bahasa dan sejarah penjajahan di dunia. Ia bukan sekadar rumah kepada lebih 600 juta penduduk, tetapi juga medan pertembungan budaya dan ideologi yang telah wujud sejak berabad-abad lamanya. Dalam zaman penjajahan, kuasa kolonial seperti Belanda, British dan Sepanyol telah memanfaatkan perbezaan ini untuk meneruskan agenda "pecah dan perintah". Selepas kemerdekaan, legasi itu terus hidup dalam bentuk perpecahan struktur dan dasar yang diwarisi.
Di Malaysia, struktur masyarakat dibina atas asas kaum: Melayu sebagai kaum dominan politik, Cina menguasai ekonomi bandar, India menumpukan kepada sektor pekerja profesional dan estet, dan Bumiputera Sabah–Sarawak dengan identiti tersendiri. Ketidakseimbangan sosioekonomi yang berlarutan sejak zaman penjajahan menjadikan naratif ketidakadilan dan diskriminasi sangat mudah dibangkitkan. Ketika negara dilanda krisis, konflik identiti ini akan timbul kembali. Isu seperti ketidakseimbangan kekayaan, kebebasan agama, hak pribumi, dan pengagihan kuasa politik sering menjadi bahan api yang menunggu untuk dinyalakan.
Lebih membimbangkan, pelbagai insiden seperti rusuhan kaum 13 Mei 1969, isu pengusiran pekebun durian Musang King di Pahang yang disulam dengan naratif kaum, dan ketegangan sekitar kuil Hindu Dewi Sri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur baru-baru ini, menunjukkan bahawa jurang ini belum benar-benar dipulihkan. Media sosial mempercepatkan penyebaran kebencian dan persepsi berat sebelah, sementara media asing pula dengan mudah menjadikan isu dalaman ini sebagai bukti kegagalan integrasi.
Di Indonesia, lebih 300 kumpulan etnik dan ratusan bahasa tempatan menjadikan negara itu antara yang paling beragam di dunia. Namun, ia juga menjadi salah satu negara yang paling terdedah kepada perpecahan dalaman. Wilayah seperti Aceh telah beberapa kali bangkit dengan tuntutan pemisahan, memuncak dengan konflik bersenjata selama hampir 30 tahun sebelum damai ditandatangani pada 2005. Di Papua, sentimen kemerdekaan masih kuat hingga kini, diiringi laporan pencabulan hak asasi dan operasi ketenteraan yang berulang saban tahun. Maluku, satu masa dahulu menjadi medan pertempuran berdarah antara Muslim dan Kristian, juga masih menyimpan trauma sejarah yang belum sembuh sepenuhnya.
Dalam semua kes ini, agama dan etnik menjadi naratif utama, walaupun punca sebenar kerap kali berpunca daripada ketidakadilan ekonomi, eksploitasi sumber asli, atau marginalisasi politik. Ketika krisis ekonomi atau pilihan raya menjelang, kelompok-kelompok radikal akan muncul kembali, membawa panji identiti dan perjuangan yang sering kali dijadikan topeng oleh kuasa luar untuk mencetuskan kekacauan.
Di Filipina, perpecahan antara kelompok Kristian yang dominan di utara dan kelompok Islam di selatan Mindanao telah berakar sejak zaman Sepanyol. Pemberontakan bersenjata oleh kumpulan seperti Moro National Liberation Front (MNLF), Moro Islamic Liberation Front (MILF) dan kemudian Abu Sayyaf, telah menjadikan rantau itu medan konflik berterusan selama lebih 50 tahun. Rundingan damai yang disaksikan dunia sering dicemari dengan keganasan susulan dan serangan balas kerana struktur sosial dan ekonomi yang tidak berubah, dan kerana ada kuasa luar yang masih berminat untuk ‘menjaga’ kawasan ini.
Di semua negara ini, struktur kenegaraan yang dibina secara paksa selepas penjajahan, tanpa pembentukan identiti nasional yang benar-benar kuat dan bersatu, menjadikan negara moden sangat rentan kepada konflik dalaman. Isu-isu seperti autonomi wilayah, kewarganegaraan, pengiktirafan identiti etnik, dan pengagihan hasil sumber sering menjadi pencetus ketegangan dan menjadi peluang keemasan kepada kuasa asing untuk masuk dan mencatur.
Kepelbagaian ini memang satu kekayaan budaya, tetapi dalam keadaan sistem yang rapuh dan pentadbiran yang lemah, ia adalah bahan letupan yang sangat mudah dipicu. Satu kenyataan provokatif, satu video manipulatif, atau satu tindakan pentadbiran yang dianggap menindas, sudah cukup untuk mencetuskan rusuhan berdarah. Dan lebih memburukkan keadaan, dunia luar kini memerhati bukan untuk membantu, tetapi untuk menilai bila masa yang sesuai untuk masuk dan ‘menguruskan’ konflik itu demi kepentingan mereka sendiri.
Inilah sebabnya kenapa Nusantara menjadi sasaran utama perang proksi global. Kekayaan sumber, keragaman sosial, dan sejarah penjajahan yang berpanjangan telah membentuk rantau ini sebagai wilayah yang paling mudah digoncang dan paling sukar dipertahankan jika rakyatnya sendiri tidak sedar bahawa perpecahan bukanlah hak, tetapi umpan kepada penjajahan bentuk baharu.
Strategi Kuasa Besar: Pecah dan Perintah Versi Baharu
Dalam era geopolitik moden, penjajahan tidak lagi datang dengan armada dan panji-panji. Ia datang dalam bentuk strategi tersembunyi, melalui kuasa wakil, pemanipulasian wacana, dan eksploitasi krisis. Kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China, dan Rusia tidak lagi perlu menyerang secara langsung. Sebaliknya, mereka membina pengaruh melalui pelbagai saluran politik, ekonomi, sosial dan media lalu menanam benih ketidakstabilan agar negara sasaran runtuh dari dalam.
Antara taktik yang paling berkesan dan sering digunakan ialah:
1. Penggunaan Gerakan Pemisah dan Minoriti Etnik
Mana-mana wilayah yang memiliki latar belakang konflik sejarah, diskriminasi ekonomi, atau marginalisasi politik akan menjadi sasaran utama untuk dijadikan medan proksi. Kumpulan yang memiliki rasa tidak puas hati, akan dikenalpasti dan mula dijinakkan melalui tajaan, latihan, dan pelbagai bentuk galakan kononnya untuk membela hak dan memperjuangkan autonomi.
Di peringkat antarabangsa, inilah yang berlaku di Donetsk dan Luhansk di Ukraine, apabila gerakan pemisah disokong senjata dan media oleh kuasa luar atas nama "mempertahankan hak penutur bahasa Rusia". Di Aleppo dan Idlib, kumpulan militan pelbagai nama wujud seakan-akan bebas, tetapi hakikatnya menjadi alat dalam konflik proksi antara Barat dan Rusia. Benghazi pula menjadi medan runtuhnya Libya, bukan kerana rakyat bangkit, tetapi kerana satu kumpulan dijadikan alat untuk menjatuhkan sistem sedia ada.
Di Sabah dan Mindanao, senarionya sudah lama wujud. Moro National Liberation Front (MNLF), Moro Islamic Liberation Front (MILF), Abu Sayyaf, dan waris Kesultanan Sulu telah memainkan peranan penting dalam mencorakkan geopolitik rantau ini. Mereka menggunakan naratif “warisan tanah”, “kedaulatan nenek moyang” dan “penghinaan terhadap etnik” untuk mengabsahkan perjuangan mereka. Namun, dalam banyak kes, keupayaan mereka bukanlah datang dari kekuatan sendiri tetapi dari jaringan antarabangsa yang menyokong mereka dengan senjata, dana, dan pengaruh media.
2. Penanaman Agensi Media dan Perang Naratif
Peperangan zaman kini tidak lagi bermula dengan letupan senjata. Ia bermula dengan perang persepsi melalui berita, dokumentari, video viral, atau laporan NGO. Minda masyarakat perlu dibentuk terlebih dahulu sebelum sesuatu tindakan boleh diluluskan oleh dunia.
Apabila satu kerajaan mahu dijatuhkan, caranya ialah dengan mencipta gambaran bahawa kerajaan itu menindas rakyat, melanggar hak asasi, atau meminggirkan satu kelompok. Rakyat yang melawan pula digambarkan sebagai pejuang kebebasan dan reformis. Dari situlah naratif dibentuk.
Di Libya, saluran seperti Al-Jazeera memainkan peranan penting dalam mencipta naratif bahawa Gaddafi ialah diktator kejam. Sedangkan di sebalik laporan tersebut, wujud agensi asing yang telah lama merancang perubahan rejim. Di Ukraine, naratif Barat disampaikan melalui BBC, CNN dan pelbagai saluran untuk membina sokongan terhadap satu pihak, dan menjustifikasikan campur tangan NATO. Di Afghanistan, media asing mencipta imej Taliban sebagai ancaman tunggal, tetapi gagal mendedahkan permainan geopolitik di sebalik kehadiran Amerika selama dua dekad.
Jika taktik ini sampai ke Nusantara, maka dunia luar tidak akan melihat konflik sebagai krisis dalaman. Mereka akan melihat ia sebagai kegagalan kerajaan menjaga rakyat. Dan seperti yang telah berlaku di tempat lain, campur tangan asing akan datang atas nama “penyelamatan”.
3. Krisis Ekonomi, Bencana dan Manipulasi Bantuan
Salah satu cara paling licik untuk melemahkan negara ialah dengan memanfaatkan waktu paling rentan iaitu saat rakyat kelaparan, bencana melanda, dan sistem tidak lagi stabil. Pada saat inilah, kuasa besar akan muncul sebagai “penyelamat”, menawarkan bantuan, pelaburan, atau pelan pemulihan ekonomi.
Namun semua ini bukanlah ihsan tanpa syarat. Ia datang dengan terma dan agenda.
Di banyak negara, bantuan luar telah membuka pintu kepada penempatan agensi asing. Kononnya mereka hanya datang untuk bantuan kemanusiaan, tetapi akhirnya membina “koridor logistik” yang tidak lagi dikawal sepenuhnya oleh kerajaan tempatan. Pelaburan asing pula membentuk penguasaan terhadap sektor strategik seperti air, tenaga, atau telekomunikasi sehingga dasar awam pun perlu diluluskan oleh pihak luar.
Bencana juga sering menjadi pintu masuk. Ketika berlaku gempa, banjir besar atau pandemik, negara-negara terbuka menerima bantuan. Namun dalam sesetengah kes, bantuan itu menjadi "kuda Trojan" membawa masuk bukan sahaja barangan dan kepakaran, tetapi juga pengaruh ideologi, tekanan politik dan infrastruktur pengawasan.
Dalam konteks ini, jika Sabah atau mana-mana wilayah Nusantara dilanda bencana besar seperti yang telah disimulasikan dalam bab-bab terdahulu, maka bantuan luar mungkin akan datang bukan sekadar untuk menyelamat, tetapi untuk menguasai. Dan semua ini dilakukan dengan dokumen yang sah, tandatangan yang lengkap dan naratif yang “mulia”.
Ketiga-tiga strategi ini telah berjaya digunakan di pelbagai medan perang proksi di seluruh dunia. Yang berbeza hanyalah nama kumpulan, jenis senjata dan wajah tokoh. Tetapi naratifnya tetap sama bahawa semua ini bermula kononnya untuk membela hak, dan berakhir dengan kehilangan kedaulatan.
Nusantara, jika tidak bersedia, akan mengulangi sejarah yang sama tetapi kali ini bukan kerana kelemahan tentera, tetapi kerana kita sendiri yang tidak mengenal bentuk baharu penjajahan.
Malaysia dan Sabah: Calon Medan Proksi?
Sabah bukan sekadar negeri di timur Malaysia. Ia kini berada di ambang menjadi medan pertembungan kuasa besar yang tidak berlaku secara terang-terangan, tetapi melalui proksi, rangkaian tidak rasmi, dan manipulasi naratif. Apa yang menjadikan Sabah sangat berisiko bukanlah keinginan rakyatnya untuk memberontak, tetapi kerana gabungan ciri-ciri geografi, politik dan sosial yang menjadikannya sasaran paling mudah dan logik dalam strategi kuasa besar.
Antara faktor utama yang membuka ruang kepada Sabah sebagai medan proksi adalah:
1. Kedudukan Geografi Bersebelahan Kawasan Konflik
Sabah berkongsi perairan dan laluan sejarah dengan Laut Sulu, yang menjadi medan bergolak selama berdekad. Di sebelah utaranya, terletak selatan Filipina yang tidak pernah benar-benar aman daripada konflik bersenjata. Kumpulan pemisah seperti Abu Sayyaf, MNLF, dan MILF masih wujud dalam pelbagai bentuk, walaupun perjanjian damai telah dimeterai.
Rantau ini sentiasa menjadi lompatan sempadan bagi penyeludupan senjata, pemerdagangan manusia, dan militan. Sabah, sebagai wilayah yang paling dekat dengan kawasan ini, menjadi pintu masuk paling sesuai untuk operasi proksi jika konflik Laut China Selatan atau perebutan kuasa antara AS–China memuncak. Apa-apa bentuk pangkalan tidak rasmi atau titik pelancaran operasi mudah disembunyikan di kawasan yang sudah pun mempunyai sejarah ketenteraan tidak rasmi.
2. Sejarah Tuntutan Wilayah yang Belum Dimuktamadkan
Tuntutan Kesultanan Sulu yang masih dijadikan naratif oleh pihak tertentu termasuk kerajaan Filipina dalam beberapa kenyataan tidak rasmi menjadikan Sabah rapuh dari sudut undang-undang antarabangsa. Walaupun Malaysia telah mengurus dan membangunkan negeri ini selama puluhan tahun, sentimen bahawa Sabah masih “disengketakan” digunakan sebagai dalih undang-undang bagi mana-mana kuasa luar untuk mencampuri urusan dalaman negara atas nama mediasi atau pemeliharaan keamanan.
Lebih membimbangkan, tribunal timbang tara antarabangsa yang cuba dikenakan ke atas Malaysia pada 2022–2023 menunjukkan bahawa saluran undang-undang juga sedang dijadikan senjata untuk membuka jalan masuk bukan untuk penyelesaian, tetapi untuk pengaruh.
3. Komposisi Demografi yang Pelbagai dan Rentan
Sabah mempunyai komposisi penduduk yang sangat majmuk merangkumi Melayu, Bajau, Suluk, Cina, Kadazan-Dusun, dan pelbagai kumpulan etnik lain. Di samping itu, kewujudan komuniti Islam dan bukan Islam yang agak seimbang menjadikan Sabah berpotensi besar untuk dimanipulasi melalui isu agama, bahasa, dan identiti wilayah.
Jika sentimen tertentu digerakkan contohnya melalui isu keagamaan, hak tanah adat, atau ketidakseimbangan ekonomi, ia boleh menjadi percikan yang membakar api perpecahan. Dalam konflik proksi, inilah yang dicari oleh kuasa luar iaitu perpecahan dalaman yang boleh ditaja dan dikawal dari jauh.
4. Kemasukan Pendatang Tanpa Kawalan
Isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah bukanlah perkara baharu. Sejak beberapa dekad lalu, laporan rasmi dan tidak rasmi mengesahkan bahawa ribuan warga asing khususnya dari selatan Filipina dan Indonesia telah menetap, malah ada yang diberi kerakyatan melalui pelbagai saluran.
Keadaan ini mencipta dua risiko besar:
-
Penyusupan militan dan ejen asing yang tidak dapat dikesan.
-
Perubahan demografi yang tidak terkawal dan boleh digunakan sebagai alasan untuk campur tangan sama ada atas nama pelarian, hak asasi, atau “pengiktirafan etnik”.
Apabila jumlah pendatang melebihi kemampuan pentadbiran untuk mengurus, maka kestabilan politik dan keselamatan akan goyah membuka ruang kepada kuasa luar untuk menawarkan ‘bantuan’ dan ‘pengurusan krisis’.
5. Lemahnya Penguasaan Naratif dan Ruang Siber
Dalam era digital, perang tidak bermula di medan, tetapi dalam minda. Sabah berdepan cabaran besar dari segi penguasaan naratif, terutamanya dalam ruang media sosial dan media alternatif. Tidak ada cukup sistem kawalan yang memantau berita palsu, propaganda luar atau pencerobohan ideologi melalui internet.
Dengan akses internet yang meluas dan capaian ke media asing, sentimen boleh dihidupkan dari luar tanpa perlu wakil tempatan pun. Pelbagai naratif boleh dijaja bahawa Sabah ditindas, bahawa hak penduduk asal dirampas, bahawa kuasa luar perlu masuk untuk “menyelamatkan keamanan”.
Dalam suasana begini, peperangan persepsi boleh berlangsung sepenuhnya tanpa sebarang tembakan tetapi akibatnya jauh lebih merosakkan.
6. Usaha Senyap Membina Naratif “Negara Sabah”
Dalam diam, media sosial telah menjadi pentas utama kepada pembentukan persepsi yang sangat berbahaya iaitu idea bahawa Sabah bukan lagi milik Malaysia secara sah, tetapi wajar dijadikan satu entiti bebas atau dipulangkan kepada pihak luar. Naratif ini tidak muncul secara organik, tetapi dibina secara sistematik oleh akaun-akaun tertentu, selalunya tanpa identiti yang jelas, tetapi aktif menanam idea bahawa Sabah boleh berdiri sendiri atau harus merdeka daripada Persekutuan Malaysia.
Beberapa taktik yang digunakan termasuk:
-
Menyebarkan petikan sejarah separuh benar tentang perjanjian 1878, tribunal Sulu dan MA63.
-
Menonjolkan ketidakpuasan rakyat Sabah terhadap Putrajaya dari segi ekonomi, infrastruktur dan autonomi.
-
Menyelitkan visual bendera rekaan “Negara Sabah”, peta sempadan baharu, dan lambang negara berdaulat rekaan.
-
Mempromosikan slogan-slogan seperti “Sabah for Sabahans”, “Restore our sovereignty” dan “Sabah was never Malaysia” secara berulang.
Apa yang lebih membimbangkan, naratif ini tidak hanya disasarkan kepada warga Sabah, tetapi turut ditujukan kepada masyarakat antarabangsa khususnya melalui platform seperti Twitter (X), Facebook dan YouTube bagi mewujudkan persepsi global bahawa Sabah adalah wilayah yang disengketakan dan patut diperjuangkan kemerdekaannya.
Ini bukan kebetulan. Ia adalah sebahagian daripada strategi perang maklumat atau information warfare, yang membina suasana psikologi bahawa satu wilayah itu telah pun “bersedia untuk bebas” sebelum sebarang tindakan fizikal pun berlaku. Dan apabila naratif ini diterima, campur tangan asing atas nama “pemulihan hak” atau “perlindungan minoriti” akan lebih mudah dijustifikasi.
Perkara yang sama pernah berlaku di Timur Timor, Kosovo, dan Crimea semuanya dimulakan dengan media, diteruskan dengan tekanan diplomatik, dan diselesaikan dengan kehilangan wilayah.
Jika konflik Laut China Selatan tercetus, atau jika krisis global memerlukan titik gangguan baharu, Sabah adalah kawasan yang cukup strategik, cukup rapuh, dan cukup terlindung daripada perhatian umum. Ia akan menjadi soft spot yang sangat sesuai untuk dijadikan pangkalan perang proksi.
Dan seperti yang berlaku di banyak negara lain, perang ini tidak akan dimulakan oleh askar berpakaian seragam, tetapi oleh militia tanpa bendera, pasukan khas bertopeng, atau kumpulan masyarakat awam yang tiba-tiba mengangkat senjata. Semuanya kelihatan seperti pemberontakan dalaman, tetapi sebenarnya digerakkan dari luar.
Apa Yang Akan Berlaku Seterusnya?
Jika konflik proksi benar-benar bermula di Sabah atau mana-mana wilayah di Malaysia, ia tidak akan segera dikenali sebagai peperangan antara negara. Dunia akan melihatnya sebagai isu dalaman, satu konflik etnik atau pergolakan politik tempatan yang perlu diselesaikan oleh Malaysia sendiri walhal di sebalik semua itu, wujud tangan-tangan luar yang sedang menarik tali.
Kerajaan pusat pula akan berada dalam keadaan serba salah. Jika bertindak tegas, mereka akan dituduh sebagai rejim yang menindas. Jika bertindak perlahan, mereka akan dituduh gagal mengawal keselamatan rakyat. Setiap tindakan akan dirakam, ditafsir, dan diadili di medan antarabangsa yang dikawal naratif barat.
Media asing akan segera masuk bukan untuk melapor secara objektif, tetapi untuk membina persepsi global. Mereka akan memilih gambar-gambar yang membangkitkan simpati, menyiarkan testimoni sebelah pihak, dan mencipta tekanan agar kerajaan Malaysia bertolak ansur atas nama hak asasi manusia dan kebebasan rakyat. Maka tekanan bukan datang dari medan perang, tetapi dari layar kaca dan sidang PBB.
Dan apabila pintu diplomasi terbuka luas, bantuan asing akan datang bersama syarat. Bantuan kemanusiaan akan diiringi dengan penasihat politik. Pelaburan pemulihan akan disertai dengan perjanjian baharu. NGO akan mula mengambil alih fungsi-fungsi kerajaan dari pendidikan kepada pentadbiran sosial. Sedikit demi sedikit, kedaulatan akan diganti dengan ketergantungan.
Akhirnya, Sabah tidak akan jatuh kerana perang. Ia akan tergelincir tanpa letupan, tanpa penjajah, tanpa proklamasi. Tetapi ia akan tergelincir kerana jalan kejatuhannya dibuka dari dalam, disambut dengan diam, dan dilegalkan atas nama kemanusiaan.
"Penjajahan hari ini tidak memerlukan tentera. Ia hanya perlukan naratif, simpati, dan pintu yang dibuka oleh tangan kita sendiri."
Penutup Bab 6: Perang Tidak Selalu Bermula dengan Tentera
Nusantara kini sedang diperhatikan bukan untuk dilindungi, tetapi untuk ditundukkan. Bila satu-satu krisis tidak ditangani, ia akan menjadi retakan. Bila retakan tidak diperbaiki, ia akan menjadi lubang untuk dimasuki. Dan bila musuh masuk, mereka tidak akan datang dengan kapal perang. Mereka mungkin akan datang sebagai dermawan, peguam, pelabur dan penyelamat.
“Musuh tidak perlu masuk dengan tentera, jika kita sendiri membuka pintu kepada kebodohan dan perpecahan.”
Balas kepada: