Muhkamat dan Mutasyabihat
Bahagian 6 : Induk Jaringan Makna al-Qur’an
Kita kini sampai kepada bahagian yang lebih halus dan mendalam. Di sinilah kita akan melihat rupa sebenar ayat muhkamat yang selama ini kita ulang dalam solat setiap hari tanpa benar-benar menyedarinya.
Ayat-ayat dalam surah al-Fatihah bukan sekadar lafaz rutin yang lidah kita ulang siang dan malam. Ia adalah tiang seri yang menjadi paksi kepada seluruh jaringan makna al-Qur’an. Dalamnya tersembunyi rahsia besar tentang kekuasaan, masa dan perhitungan. Tiga aspek inilah yang menentukan seluruh wujud.
Kita semua menghafal al-Fatihah sejak kecil, tetapi berapa ramai yang benar-benar memahami apa maksud “Maliki yaumid-dīn” selain sekadar terjemahan umum yang selalu didengar. Adakah cukup hanya tahu ertinya di permukaan. Sedangkan Allah sendiri menegaskan bahawa ayat-ayat muhkamat itu ialah induk bagi seluruh kitab. Tempat segala makna kembali dan berpaut.
Jika muhkamat itu induk, maka setiap lafaz di dalamnya pasti memiliki peranan besar. Ia mengikat seluruh jaringan makna al-Qur’an. Daripada tujuh ayat dalam al-Fatihah, kita pilih satu sahaja untuk difokuskan, iaitu ayat keempat. Melaluinya kita akan melihat bagaimana induk itu berfungsi, bagaimana ia menjadi paksi kepada ayat-ayat lain, dan bagaimana ia menjaga jaringan mutasyabihat agar tidak terlerai.
Ayat ini sering dibaca tanpa direnungi maksudnya. Ramai hanya memahami ia sebagai “Yang Menguasai Hari Pembalasan”. Benar, terjemahan itu tidak salah. Tetapi adakah ia sudah cukup untuk menggambarkan keluasan makna yang terkandung di dalamnya.
Apakah ayat muhkamat yang Allah jadikan sebagai induk itu sekadar mengulang apa yang telah manusia tahu. Atau sebenarnya ia membawa kita ke satu hakikat yang jauh lebih dalam, tersimpan di sebalik susunan lafaznya yang halus.
Setiap perkataan dalam al-Fatihah berdiri pada tempatnya dengan penuh hikmah. Maka apabila Allah meletakkan ayat ini selepas tiga ayat pertama yang memuji dan mengagungkan-Nya, tentu ada rahsia besar yang menanti untuk diperlihatkan.
Ayat ini bukan sekadar menyebut tentang “hari pembalasan”. Ia membuka satu pintu kefahaman tentang siapa Pemilik hakiki, apa makna Hari dalam pandangan Allah, dan apakah maksud sebenar ad-Deen yang mengikat seluruh sistem kehidupan.
Itulah yang kita mahu selami. Sekarang mari kita lihat terjemahan perkata bagi al-Fatihah ayat keempat.
مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ
“Maliki yaumid-dīn”. Ayat ini kelihatan ringkas, namun di dalamnya terkandung makna yang sangat dalam. Ia bukan sekadar satu pengakuan bahawa Allah menguasai Hari Pembalasan, tetapi satu pernyataan menyeluruh tentang hubungan antara Pemilik, masa, dan sistem kehidupan.
Ia terdiri daripada tiga perkataan utama yang menjadi tunjang makna yang teguh.
مَٰلِكِ
Pemilik / Raja / Penguasa mutlak mutlak yang memiliki segala sesuatu tanpa pengecualian.يَوْمِ
Hari / Masa / Fasa. Titik ukuran bagi setiap kejadian yang telah ditetapkan oleh Allah sejak azali.ٱلدِّينِ
Pembalasan / Agama / Perhitungan (yakni hari semua makhluk dihisab amalnya)
Dalam satu ayat sahaja, tiga perkataan berdiri seperti tiga tiang yang menegakkan satu binaan yang agung. Malik menggambarkan sumber kekuasaan. Yaum menggambarkan ruang masa yang menjadi tempat segala urusan berlaku. Ad-Deen pula menggambarkan sistem hukum yang menentukan nilai setiap perbuatan. Apabila ketiga-tiganya digabungkan, ia melahirkan satu gambaran menyeluruh tentang bagaimana Rabb memerintah seluruh wujud dengan hikmah yang sempurna.
Persoalannya sekarang,
Adakah benar مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ itu hanya cukup difahami sebagai “Yang Menguasai Hari Pembalasan”?
Adakah cukup sekadar berhenti di situ tanpa menyelami hakikat kekuasaan, masa dan sistem perhitungan yang sedang diungkapkan oleh ayat ini.
Cukupkah bagi kita hanya membaca tanpa merenung, sedangkan setiap lafaz dalam al-Qur’an tidak pernah berdiri sendiri. Bukankah kita telah pelajari bahawa muhkamat ialah induk yang teguh, manakala mutasyabihat ialah jaringan makna yang berpaut kepadanya. Maka setiap kali kita membaca satu ayat muhkamat, kita sebenarnya sedang berada di tengah-tengah pusat makna yang dihubungkan oleh ratusan ayat lain di sekelilingnya.
Dengan memahami asas tiga perkataan ini, iaitu Malik (4a), Yaum (4b) dan Ad-Deen (4c), kita akan menelusuri ayat-ayat lain yang menjadi jaringan mutasyabihatnya. Dari situ kita akan melihat sendiri, walau hanya dengan satu contoh ayat, bagaimana al-Qur’an membina dirinya sebagai satu sistem yang teguh, saling melindungi, saling menegaskan dan tidak membiarkan maknanya terpisah.
Apabila kita selesai memahami ketiga-tiga induk ini, barulah kita boleh menilai dengan adil, adakah مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ benar-benar sekadar bermaksud “Yang Menguasai Hari Pembalasan”. Atau adakah ia sebenarnya lebih luas daripada itu. Adakah ia mengandungi rahsia yang menembusi hakikat wujud dan perjalanan manusia itu sendiri.
Bagi yang masih keliru, tanyakan kepada diri sendiri. Mengapa dalam ayat ini Ad-Deen diterjemahkan sebagai “Hari Pembalasan” dan bukan “Hari Agama”. Sedangkan pada ayat-ayat yang lain, Ad-Deen jelas diterjemahkan sebagai agama, seperti dalam firman-Nya seperti berikut:
إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلْإِسْلَـٰمُ ۗ وَمَا ٱخْتَلَفَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلْعِلْمُ بَغْيًۢا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ فَإِنَّ ٱللَّهَ سَرِيعُ ٱلْحِسَابِ
Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. — Abdullah Muhammad Basmeih
Adakah perbezaan ini satu kelemahan bahasa. Tidak. Ia adalah tanda kehalusan susunan kalam Allah. Lafaz yang sama, apabila berpindah konteks, membuka dimensi makna yang baru. Ia membuktikan bahawa al-Qur’an bukan teks statik, tetapi ruh yang hidup dan berinteraksi dengan hati dalam qalbu orang yang membacanya.
Malangnya, ramai yang tidak berani mendekati lapisan makna ini. Kita sering ditakutkan dengan kata-kata, “jangan tafsir al-Qur’an sendiri, nanti sesat”. Akibatnya kita berhenti berfikir, lalu membiarkan akal dan hati terkurung di pinggir-pinggir daerah pemahaman. Sedangkan Allah sendiri menyeru manusia agar mentadabbur ayat-ayat-Nya, supaya mereka dapat memahami dan melihat hikmah yang tersembunyi.
Di sinilah letaknya rahsia yang telah lama kita abaikan. Kita lebih takut kepada larangan manusia daripada panggilan Allah untuk memahami kitab-Nya. Maka tertutuplah banyak pintu ilmu yang sebenarnya telah terbuka luas.
Dalam bahagian-bahagian seterusnya, kita akan meneliti satu persatu makna tiga perkataan ini. Kita akan melihat bagaimana Malik, Yaum dan Ad-Deen saling mengikat antara satu sama lain. Kita akan lihat bagaimana setiap satu dihubungkan oleh ratusan ayat mutasyabihat yang saling menyokongnya. Dan akhirnya kita akan menyaksikan bagaimana al-Qur’an itu menjadi satu jaringan makna yang sempurna dan hidup.
Bersambung
Setiap sumbangan membantu kami hasilkan lebih banyak pendedahan dan bahan ilmiah. Sertai sebagai penaja melalui link di bawah
Balas kepada: