6 Fasa Putaran Kekhalifahan Manusia

BAHAGIAN 8: KAUM TSAMUD – PEMERINTAH YANG MENGUNDANG AZAB

Mac 22, 2025 197 0
Ongoing
Anggaran masa membaca
3 minit 25 saat

Bahagian 8: Kaum Tsamud – Pemerintah yang Mengundang Azab

Jika dalam Bahagian 7 kita melihat bagaimana pemimpin-pemimpin agama memimpin kaumnya menuju kehancuran, maka Bahagian 8 pula memperlihatkan pemerintah negara yang secara langsung membawa bangsanya kepada azab besar yang tidak tertanggung. Inilah kisah Kaum Tsamud, umat kepada Nabi Soleh A.S., yang menjadi satu lagi kesinambungan dalam kitaran kekhalifahan manusia, selepas kehancuran Kaum Nuh dan Kaum ‘Aad.

Kita perlu sedar, kisah-kisah ini bukan diceritakan dalam Al-Quran untuk sekadar diketahui, tetapi untuk direnung dan diambil iktibar agar umat akhir zaman tidak mengulangi kesilapan yang sama.


Kaum Tsamud: Khalifah Selepas Aad

Kaum Tsamud adalah pengganti yang diangkat oleh Allah S.W.T selepas kehancuran Kaum Aad. Mereka diberikan kedudukan sebagai khalifah di bumi sebagai pewaris tamadun sebelumnya. Mereka bukan bangsa primitif, tetapi membina istana di dataran dan memahat gunung sebagai tempat tinggal. Tamadun mereka hebat, maka sudah tentu ujian mereka juga berat.

وَٱذْكُرُوٓا۟ إِذْ جَعَلَكُمْ خُلَفَآءَ مِنۢ بَعْدِ عَادٍۢ وَبَوَّأَكُمْ فِى ٱلْأَرْضِ تَتَّخِذُونَ مِن سُهُولِهَا قُصُورًۭا وَتَنْحِتُونَ ٱلْجِبَالَ بُيُوتًۭا ۖ فَٱذْكُرُوٓا۟ ءَالَآءَ ٱللَّهِ وَلَا تَعْثَوْا۟ فِى ٱلْأَرْضِ مُفْسِدِينَ 

"Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Aad, dan di tempatkannya kamu di bumi, untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah. Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi"

(Surah Al-A'raf 7:74)

Allah mengutuskan Nabi Soleh kepada kaum ini. Mereka sudah mulai menyimpang, dan peringatan diturunkan agar mereka kembali ke jalan yang benar.


Ujian kepada Pemerintah

Berbeza dengan Kaum Aad yang dipimpin oleh tokoh-tokoh agama, Kaum Tsamud pula dikuasai oleh kerajaan yang zalim. Ketika Nabi Soleh membawa kebenaran, para pemerintah bukan sahaja menolak, malah memperlekehkan dan mencabar kerasulan baginda.

قَالَ ٱلْمَلَأُ ٱلَّذِينَ ٱسْتَكْبَرُوا۟ مِن قَوْمِهِۦ لِلَّذِينَ ٱسْتُضْعِفُوا۟ لِمَنْ ءَامَنَ مِنْهُمْ أَتَعْلَمُونَ أَنَّ صَـٰلِحًۭا مُّرْسَلٌۭ مِّن رَّبِّهِۦ ۚ قَالُوٓا۟ إِنَّا بِمَآ أُرْسِلَ بِهِۦ مُؤْمِنُونَ

Ketua-ketua yang sombong takbur dari kaumnya berkata kepada orang-orang yang dipandang lemah iaitu orang-orang yang telah beriman di antara mereka: "Tahukah kamu bahawa Soleh itu diutus dari Tuhannya?" Mereka menjawab: "Sesungguhnya kami beriman kepada apa yang ia diutus untuk menyampaikannya".

قَالَ ٱلَّذِينَ ٱسْتَكْبَرُوٓا۟ إِنَّا بِٱلَّذِىٓ ءَامَنتُم بِهِۦ كَـٰفِرُونَ

Orang-orang yang sombong takbur itu berkata: "Sesungguhnya kami tetap ingkar akan orang yang kamu beriman kepadanya".

(Surah Al-A'raf 7:75-76)

Lihat bagaimana golongan berkuasa mempermainkan isu kerasulan walaupun sudah tahu kebenarannya. Inilah tanda pemerintah yang mengundang kemurkaan Allah, tahu tetapi enggan tunduk.


Kesombongan Membawa Azab

Mereka tidak hanya menolak dengan kata-kata. Mereka menyembelih unta betina mukjizat yang menjadi tanda kerasulan Nabi Soleh sebagai satu tindakan mencabar secara langsung perintah Allah.

فَعَقَرُوا۟ ٱلنَّاقَةَ وَعَتَوْا۟ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِمْ وَقَالُوا۟ يَـٰصَـٰلِحُ ٱئْتِنَا بِمَا تَعِدُنَآ إِن كُنتَ مِنَ ٱلْمُرْسَلِينَ

Maka mereka pun menyembelih unta itu, dan mereka menderhaka terhadap perintah Tuhan mereka, sambil berkata: "Hai Soleh! Datangkanlah azab yang engkau telah janjikan kepada kami, jika betul engkau dari Rasul-rasul yang diutus (oleh Allah)".

(Surah Al-A’raf 7:77)

Akhirnya, Allah membalas dengan gempa bumi yang menggoncang seluruh peradaban mereka, meninggalkan mereka dalam keadaan mati bergelimpangan di rumah-rumah mereka.

فَأَخَذَتْهُمُ ٱلرَّجْفَةُ فَأَصْبَحُوا۟ فِى دَارِهِمْ جَـٰثِمِينَ

Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.

(Surah Al-A’raf 7:78)


6 Langkah Kitaran Kehancuran Khalifah

Kisah Kaum Tsamud mengukuhkan lagi pembuktian satu kitaran yang Allah tetapkan bagi umat manusia:

  1. Diberikan kekuasaan dan kekhalifahan selepas kehancuran umat terdahulu.
  2. Menyimpang dan menindas setelah berkuasa.
  3. Didatangkan Rasul dan peringatan.
  4. Menolak seruan, melakukan kezaliman dan pelampauan.
  5. Dikenakan azab dan dimusnahkan sepenuhnya.
  6. Digantikan dengan khalifah-khalifah baru yang beriman dan kitaran pun bermula semula.

Pengajaran untuk Umat Akhir Zaman

Kita kini berada di penghujung kitaran tersebut. Segala petanda sudah jelas di mana para pemimpin yang tidak lagi memimpin dengan tauhid, sistem yang menggantikan syariat, masyarakat yang memperlekehkan nasihat.

Peringatan dan amaran telah diberikan. Persoalannya yang kita patut tanya diri kita semua. Adakah kita sedang ulangi kesilapan Kaum Tsamud?

فَتَوَلَّىٰ عَنْهُمْ وَقَالَ يَـٰقَوْمِ لَقَدْ أَبْلَغْتُكُمْ رِسَالَةَ رَبِّى وَنَصَحْتُ لَكُمْ وَلَـٰكِن لَّا تُحِبُّونَ ٱلنَّـٰصِحِينَ

Maka Nabi Soleh pun meninggalkan mereka sambil berkata: "Wahai kaumku! Aku telah menyampaikan kepada kamu perutusan Tuhanku, dan aku telah memberi nasihat kepada kamu, tetapi kamu tidak suka kepada orang-orang yang memberi nasihat".

(Surah Al-A’raf 7:79)

Kisah ini bukan nostalgia. Ia adalah naskhah sejarah yang sedang berulang. Dan kitaran ini tidak akan tamat melainkan hingga munculnya Khalifah Nubuwwah, melalui Imam Mahdi dan Nabi Isa a.s sebagaimana yang dijanjikan Nabi S.A.W.

Kita tidak mahu menjadi golongan yang dibinasakan. Kita mahu menjadi golongan yang bersama Nabi Soleh dan orang-orang beriman diselamatkan oleh rahmat Allah. Jika kita mahu mendapat rahmat, maka kita mesti menjadikan diri kita bahagian dari orang-orang yang soleh.

Semoga kita bersama mereka yang menanti Imam Mahdi, dan bukan mereka yang terus menanti kehancuran.

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (0):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.