6 Fasa Putaran Kekhalifahan Manusia

BAHAGIAN 7: KAUM AAD – CERMINAN UMAT AKHIR ZAMAN

Mac 21, 2025 267 0
Ongoing
Anggaran masa membaca
5 minit 52 saat

Bahagian 7: Kaum Aad – Cerminan Umat Akhir Zaman

Kisah Kaum Aad yang diazab, bukan sekadar sejarah silam, tetapi satu cermin masa hadapan tidak lama lagi. Ia adalah kisah yang hidup, bernafas dalam setiap inci kerosakan yang sedang berlaku di sekeliling kita hari ini. Dunia moden yang kita banggakan dengan adanya kemajuan teknologi, pendidikan tinggi, dan jaringan komunikasi global sebenarnya sedang mengulangi kisah tragis Kaum Nabi Hud.

Allah S.W.T tidak mencatatkan kisah ini dalam Al-Quran untuk diceritakan semata-mata. Ia adalah peringatan! Ia adalah isyarat tentang apa yang akan berlaku pada kita tidak lama lagi, kerana umat Nabi Muhammad S.A.W, kini terus memilih jalan kesombongan dan penolakan terhadap kebenaran.

ظَهَرَ ٱلْفَسَادُ فِى ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِى ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ ٱلَّذِى عَمِلُوا۟ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

"Telah nyata kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)." 

(Surah Ar-Rum 30:41)


Kaum Aad: Khalifah Selepas Kaum Nuh

Allah S.W.T menurunkan Kaum Aad sebagai khalifah selepas kehancuran Kaum Nuh. Mereka bukan bangsa biasa sebaliknya mereka diberi kekuatan luar biasa, tubuh yang besar, binaan yang megah, dan ketamadunan yang jauh melangkaui zaman. Allah S.W.T menyatakan:

أَوَعَجِبْتُمْ أَن جَآءَكُمْ ذِكْرٌۭ مِّن رَّبِّكُمْ عَلَىٰ رَجُلٍۢ مِّنكُمْ لِيُنذِرَكُمْ ۚ وَٱذْكُرُوٓا۟ إِذْ جَعَلَكُمْ خُلَفَآءَ مِنۢ بَعْدِ قَوْمِ نُوحٍۢ وَزَادَكُمْ فِى ٱلْخَلْقِ بَصْۜطَةًۭ ۖ فَٱذْكُرُوٓا۟ ءَالَآءَ ٱللَّهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

"Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu? Dan ingatlah ketika Dia menjadikan kamu sebagai khalifah-khalifah selepas Kaum Nuh, dan menambahkan kamu kekuatan dalam bentuk kejadian tubuh. Maka ingatlah nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya." 

(Surah Al-A’raf 7:69)

Namun, dengan semua nikmat itu, mereka menjadi terlalu angkuh. Mereka menyembah tuhan-tuhan lain selain Allah dan menolak seruan Nabi Hud. Mereka mempersenda, mencabar, dan menghina kebenaran. Ia situasi sama seperti yang sedang berlaku hari ini.


Kebenaran Ditolak Kerana Sumbernya Bukan 'Yang Layak'

Pemimpin-pemimpin agama dan orang-orang bijak pandai di kalangan Kaum Aad menolak Nabi Hud. Bukan kerana mereka tidak faham, tetapi kerana mereka tidak mahu mengaku bahawa kebenaran boleh datang dari seseorang seperti Hud. Mereka kata:

قَالَ ٱلْمَلَأُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِن قَوْمِهِۦٓ إِنَّا لَنَرَىٰكَ فِى سَفَاهَةٍۢ وَإِنَّا لَنَظُنُّكَ مِنَ ٱلْكَـٰذِبِينَ

"Sesungguhnya kami melihat kamu (wahai Hud) dalam kebodohan, dan kami fikir kamu adalah dari orang-orang yang berdusta."

(Surah Al-A’raf 7:66)

Inilah mentaliti zaman moden iaitu apabila kebenaran tidak datang daripada tokoh yang memiliki gelaran akademik atau kedudukan, ia mudah ditolak mentah-mentah. Apabila kebenaran disampaikan oleh mereka yang tidak sebulu dengan arus perdana, ia dipanggil "konspirasi", "bodoh", dan "ekstremis" atau "ajaran sesat". Kita selalu mendengar "tanya pada yang pakar!", yang benar itu benar tetapi hakikatnya kita sudah mewarisi dari generasi terdahulu kita sangka tidak salah, tetapi sebenarnya menyimpang.


Agama Warisan Menjadi Penghalang Kebenaran

Kaum Aad menolak seruan Nabi Hud kerana mereka terlalu terikat kepada apa yang diwarisi dari nenek moyang mereka.

قَالُوٓا۟ أَجِئْتَنَا لِنَعْبُدَ ٱللَّهَ وَحْدَهُۥ وَنَذَرَ مَا كَانَ يَعْبُدُ ءَابَآؤُنَا ۖ فَأْتِنَا بِمَا تَعِدُنَآ إِن كُنتَ مِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ

"Apakah kamu datang kepada kami supaya kami menyembah Allah semata-mata dan meninggalkan apa yang disembah oleh nenek moyang kami? Maka datangkanlah kepada kami azab yang kamu janjikan, jika kamu dari kalangan orang yang benar." 

(Surah Al-A’raf 7:70)

Begitu juga dengan kita hari ini. Ramai yang mewarisi Islam secara keturunan, tanpa hubungan ruh sebenar dengan Rabb. Ramai yang beramal tanpa kefahaman, bertauhid tanpa hakikat. Dan apabila datang seruan kepada tauhid yang sebenar, mereka menolak dengan keras. Kita beriman seperti mana kaum-kaum terdahulu beriman tetapi kita mewarisi perkara-perkara yang sebahagiannya telah diselewengkan tetapi kita sangka kita benar sungguh-sungguh.


Mencabar Allah S.W.T dan Menjemput Azab

Dalam kesombongan mereka, Kaum Aad mencabar Nabi Hud agar mendatangkan azab. Mereka menyangka kedudukan mereka terlalu kuat untuk dihancurkan kerana mereka menyangka kebenaran berpihak kepada mereka. Mereka lupa bahawa Allah tidak perlu tentera, tidak perlu senjata. Azab-Nya datang dalam bentuk angin sahaja namun cukup untuk memusnahkan segala-galanya.

وَأَمَّا عَادٌۭ فَأُهْلِكُوا۟ بِرِيحٍۢ صَرْصَرٍ عَاتِيَةٍۢ

"Dan Kami binasakan mereka dengan angin yang sangat dingin lagi kencang, (Ayat 6)

سَخَّرَهَا عَلَيْهِمْ سَبْعَ لَيَالٍۢ وَثَمَـٰنِيَةَ أَيَّامٍ حُسُومًۭا فَتَرَى ٱلْقَوْمَ فِيهَا صَرْعَىٰ كَأَنَّهُمْ أَعْجَازُ نَخْلٍ خَاوِيَةٍۢ

yang berhembus kepada mereka selama tujuh malam dan lapan hari secara terus-menerus, maka kamu lihat kaum itu bergelimpangan seperti batang-batang pohon kurma yang tumbang." (Ayat 7)

(Surah Al-Haqqah 69:6-7)

Tidakkah itu cukup untuk menggentarkan hati kita?


Pemutusan Jaringan Rahmat – Azab yang Paling Dahsyat

Allah S.W.T tidak sekadar memusnahkan jasad mereka. Yang lebih menakutkan, Dia memutuskan mereka daripada jaringan rahmat. Mereka tidak lagi disambung kepada asma'-asma' Allah. Mereka bukan sekadar mati tetapi mereka terputus daripada peluang untuk kembali. Inilah makna sebenar kehancuran.

فَأَنجَيْنَـٰهُ وَٱلَّذِينَ مَعَهُۥ بِرَحْمَةٍۢ مِّنَّا وَقَطَعْنَا دَابِرَ ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا ۖ وَمَا كَانُوا۟ مُؤْمِنِينَ

"Dan Kami selamatkan Nabi Hud dan orang-orang yang bersamanya dengan rahmat dari Kami, dan Kami musnahkan hingga ke akar orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami." (Surah Al-A’raf 7:72)

Nabi Hud dan golongan yang diselamatkan terselamat kerana rahmat. Rahmat ini adalah sesuatu yang mengalir melalui saluran tertentu yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar, ia bersambung melalui ruh. Antara saluran itu adalah jaringan Mahmuda. Orang-orang beriman semuanya bersaudara kerana jaringan ini, bukannya kerana jaringan keturunan dan genetik semata-mata. Dahsyatnya perbuatan membunuh seorang manusia itu, bandingannya adalah adalah seperti membunuh seluruh manusia. 
 
Ia sebagaimana dinyatakan Allah dalam Al Quran surah Al Maidah 5:32. Mengapakah sedemikian?

مِنْ أَجْلِ ذَٰلِكَ كَتَبْنَا عَلَىٰ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ أَنَّهُۥ مَن قَتَلَ نَفْسًۢا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍۢ فِى ٱلْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ ٱلنَّاسَ جَمِيعًۭا وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَآ أَحْيَا ٱلنَّاسَ جَمِيعًۭا ۚ وَلَقَدْ جَآءَتْهُمْ رُسُلُنَا بِٱلْبَيِّنَـٰتِ ثُمَّ إِنَّ كَثِيرًۭا مِّنْهُم بَعْدَ ذَٰلِكَ فِى ٱلْأَرْضِ لَمُسْرِفُونَ

Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi.

(Surah Al Maidah 5:32)

Ini kerana ruh dan rahmat itu bersambung dalam satu jaringan bezanya cumalah keakraban ruh tersebut. Orang-orang ingkar Kaum Hud ini telah diputuskan pertalian ini secara terus dan kekal lalu dimatikan mereka dengan azab bencana. Kesannya, mereka akan kekal di dalam neraka kerana sudah terputus segalanya mereka dengan rahmat. Orang-orang yang jahat sekalipun jika masih ada sedikit pertalian, walaupun ribuan tahun diazab di neraka maka Allah akan ampunkan jua. Itulah Allah menyelamatkan kerana rahmat Nya.

Umat Hari Ini: Mengulangi Nasib Kaum Aad

Lihat sekeliling kita, di dunia nyata atau media sosial:

❌ Kebenaran diperlekehkan, hanya kerana ia tidak popular.

❌ Islam diwarisi, bukan dihayati.

❌ Pemimpin agama berlumba mendapat pengaruh, bukan menegakkan tauhid.

❌ Manusia mula mencabar hukum Allah, menggantikan syariat dengan sistem buatan manusia.

Dan kini, ada juga sudah berani berkata:

"Jika benar azab Allah itu wujud, bawakanlah ia kepada kami!"

Tanpa sedar, kita sedang menjemput kehancuran.


Akhir Zaman: Azab dan Khalifah Baru

Umat Nabi Muhammad S.A.W juga tidak akan terkecuali daripada kitaran ini. Kita sedang menunggu giliran dan ketika saat itu tiba, hanya rahmat Allah mampu menyelamatkan.

Namun sebelum itu, akan berlaku kegelapan. Akan datang kehancuran. Dan hanya mereka yang masih bersambung dengan rahmat Allah melalui tauhid yang benar akan diselamatkan.

 

Kaum Aad telah menerima azab kerana mereka:

❌ Menolak kebenaran kerana sumbernya tidak glamor.

❌ Bertuhankan warisan, bukan dalil.

❌ Memandang rendah orang lain.

❌ Mencabar Allah secara terbuka.

 

Soalan untuk kita:

📌 Adakah kita sedang mengulangi kesilapan itu?

📌 Adakah kita masih dalam jaringan rahmat atau telah diputuskan?

📌 Adakah kita benar-benar Muslim, atau hanya pewaris agama?

 

❗ Jika kita tidak berubah, maka azab Allah bukan sekadar kemungkinan, ia adalah kepastian.

💥 Maka, bertaubatlah sebelum terlambat. Berimanlah sebelum rahmat diputuskan. Berubahlah sebelum angin azab menerpa tanpa amaran.

Kerana apabila hari itu tiba, tiada lagi hari esok. Hanya penyesalan yang kekal.

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (0):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.