Bahagian 2 Istilah Tsaqalain
Istilah Tsaqalain (الثقلين) berasal daripada perkataan Arab "thaqal" (ثقل) yang bermaksud "berat" atau "beban". Apabila digunakan dalam bentuk dwi (dual), "tsaqalain" bermaksud "dua perkara yang berat" atau "dua beban yang penting".
Apakah yang Dimaksudkan dengan Tsaqalain?
Dalam konteks hadis Rasulullah SAW, istilah Tsaqalain merujuk kepada dua pusaka besar yang ditinggalkan oleh baginda kepada umat Islam, iaitu:
- Kitabullah (Wahyu dari Allah melalui rasul-rasul Allah)
- Itrati Ahlul Baiti (Orang khusus daripada keluarga Nabi saw)
Rasulullah saw menegaskan bahawa kedua-dua perkara ini merupakan warisan terpenting yang mesti dipegang teguh oleh umat Islam agar terhindar daripada kesesatan.
Kedua-duanya dianggap sebagai perkara yang "berat" kerana tanggungjawab umat terhadapnya amat besar, di samping sifat serta kedudukannya yang mulia di sisi Allah swt.
Konsep Hubungan Erat Antara Tsaqalain
Konsep Tsaqalain tidak hanya menggambarkan dua entiti berasingan semata-mata. Sebaliknya, ia mencerminkan satu hubungan yang erat serta saling bergantungan antara wahyu (Kitabullah) dengan keluarga pilihan Nabi SAW (Itrati Ahlul Baiti). Keduanya bergandingan dan bersama-sama memberikan petunjuk serta panduan kepada umat Islam agar tidak tersesat.
Penjelasan Lebih Mendalam Tentang Tsaqalain
Saya ingin jelaskan dan tegaskan kepada para pembaca mengenai pandangan saya secara umum terhadap dua pusaka berat ini:
-
Kitabullah bukanlah semata-mata sebuah buku yang dicetak, disimpan, dibaca atau dikaji sebagai teks sahaja. Jika Kitabullah hanya dianggap sebagai buku biasa cetakan manusia, maka ia tidak akan mampu melindungi manusia daripada kesesatan secara hakiki.
-
Begitu juga dengan Itrati Ahlul Baiti, yang bukan sekadar merujuk kepada keturunan Nabi saw secara biologi semata-mata. Sebaliknya, ia mencakupi hubungan rohani yang tersambung kepada Nabi Muhammad saw melalui maqam mahmuda (maqam terpuji).
Hakikatnya, dua pusaka ini iaitu Kitabullah dan Itrati Ahlul Baiti hendaklah sentiasa disandingkan bersama-sama. Hanya apabila Kitabullah dibuzulkan dan difahami melalui Itrah Nabi yang sebenar, barulah petunjuk wahyu itu dapat disampaikan ke dalam hati semua orang, menjadi benteng kukuh yang mampu melindungi umat Islam daripada kesesatan, serta menjamin terpeliharanya ajaran Islam yang murni, sesuai sebagai wasiat yang bernama tsaqalain.
Balas kepada: