2 Perkara Yang Berat (Tsaqalain)

BAHAGIAN 1 KEPENTINGAN MEMAHAMI ISTILAH-ISTILAH PENTING

Mac 10, 2025 142 0
Ongoing
Anggaran masa membaca
2 minit 31 saat

Bahagian 1 Kepentingan Memahami Istilah-istilah Penting

Secara umumnya, siri penulisan ini bertujuan untuk membincangkan mengapa dua perkara dalam hadis Tsaqalain begitu berat serta kepentingan untuk memahaminya secara mendalam. Oleh yang demikian, setiap istilah penting yang terkandung dalam hadis ini akan dikupas dengan teliti.

Mengapa Kita Perlu Mendalami Maksud Setiap Perkataan dalam Hadis Tsaqalain?

Memahami maksud sebenar setiap perkataan dalam hadis ini sangat penting kerana setiap istilah yang digunakan mengandungi makna yang mendalam. Jika tidak difahami dengan betul, makna asal sesuatu perkataan boleh tersasar, menyebabkan kita gagal memahami mesej sebenar yang ingin disampaikan oleh Rasulullah SAW.

Tujuan saya bukanlah menyatakan bahawa pandangan saya merupakan satu-satunya kebenaran. Sebaliknya, saya ingin berkongsi perspektif yang lebih mendalam mengenai makna sebenar istilah seperti Kitabullah dan Itrati Ahlul Baiti, menurut kefahaman yang telah saya perolehi.

Saya berharap, selepas membaca penulisan ini, anda dapat membuat penilaian sendiri adakah kefahaman yang selama ini kita pegang benar-benar tepat serta selaras dengan maksud sebenar hadis Tsaqalain.

Perbezaan dalam Penggunaan Istilah

Sebagai contoh, dalam hadis Tsaqalain disebutkan ungkapan "Itrati Ahlul Baiti". Namun, kita lazimnya menggunakan istilah "Itrah Ahlul Bait" atau hanya "Ahlul Bait" dalam kehidupan seharian. Walaupun kelihatan serupa, sebenarnya terdapat perbezaan yang signifikan di antara ungkapan-ungkapan ini.

Apabila ungkapan "Itrah Ahlul Bait" diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, kebiasaannya ia diterjemahkan tanpa merujuk kepada istilah tepat iaitu "Itrati Ahlul Baiti" yang disebut dalam hadis. Bagi saya, kedua-dua istilah ini membawa makna dan implikasi yang amat berbeza.

Hadis Tsaqalain Sebagai Rujukan Utama

Sebagai rujukan utama dalam penulisan ini, berikut adalah petikan hadis Tsaqalain:

Hadis Riwayat at-Tirmidhi 3786

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ،

Daripada Jabir bin Abdullah

قَالَ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي حَجَّتِهِ يَوْمَ عَرَفَةَ وَهُوَ عَلَى نَاقَتِهِ الْقَصْوَاءِ يَخْطُبُ فَسَمِعْتُهُ يَقُولُ

Dia berkata: Aku melihat Rasulullah SAW semasa hajinya pada Hari Arafah, baginda berada di atas untanya Al-Qaswa' sedang menyampaikan khutbah dan aku mendengar baginda berkata:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي قَدْ تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا إِنْ أَخَذْتُمْ بِهِ لَنْ تَضِلُّوا كِتَابَ اللَّهِ وَعِتْرَتِي أَهْلَ بَيْتِي‏

"Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku telah meninggalkan kepada kamu sekalian sesuatu yang jika kamu berpegang teguh dengannya, kamu tidak akan sesat; Kitab Allah dan itrah ku, ahlul bait ku."

Gred: Sahih (Darussalam)
Rujukan: Jami` at-Tirmidhi 3786
Rujukan dalam kitab: Book 49, Hadith 185
Terjemahan Inggeris: Vol. 1, Book 46, Hadith 3786

Istilah-istilah yang Akan Dibincangkan

Dalam bahagian seterusnya, Insyaallah saya akan cuba mengupas beberapa istilah penting dalam hadis Tsaqalain secara khusus. Antara istilah-istilah tersebut adalah:

  1. Tsaqalain (dua perkara berat sebagai inti utama hadis)
  2. Khutbah Wida' (khutbah terakhir Nabi saw ketika Haji Wida')
  3. Al-Qaswa' (القصواء) (unta Nabi saw ketika khutbah)
  4. Wasiyyah (وصية) (wasiat atau pesanan terakhir Rasulullah saw)
  5. Kitabullah (Al-Quran sebagai panduan utama)
  6. Itrah dan Itrati (zuriat khusus Nabi saw)
  7. Bait dan Baiti (rumah atau keluarga Rasulullah saw)
  8. Ahlul Bait dan Ahlul Baiti (siapa keluarga Nabi yang dimaksudkan)
  9. Itrati Ahlul Baiti (ungkapan khusus dalam hadis)
  10. 'Itrah vs. Ahl (perbezaan antara keluarga umum dan zuriat khusus)
  11. Zuriat dan Nasab (kepentingan memahami garis keturunan Nabi saw)
  12. Ahlul Kisa' (keluarga khusus yang disucikan oleh Allah swt)
  13. Ismah (عصمة) (kesucian atau terpelihara daripada dosa)
  14. Tamassuk (تمسُّك) (bagaimana cara berpegang teguh kepada Tsaqalain)
  15. Tadillu (تَضِلُّوا) (makna sebenar kesesatan yang disebut hadis)
  16. Akhir Zaman (آخر الزمان) (kepentingan hadis Tsaqalain dalam menghadapi cabaran akhir zaman)

Dengan memahami setiap istilah ini dengan mendalam, barulah kita dapat memahami bagaimana Tsaqalain dapat menjadi senjata utama dalam menghadapi fitnah-fitnah besar yang bakal berlaku pada akhir zaman ini.

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (0):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.