Yahudi dan Nasrani Bukan Nama Agama Wahyu Yang Allah Tetapkan Untuk Para Nabi Tetapi Nama Ciptaan Manusia
Allah memang menyebut istilah "Yahudi" dan "Nasrani" dalam al-Quran tetapi Allah tidak pernah menetapkan “Yahudi” dan “Nasrani” sebagai nama asal bagi agama wahyu yang dibawa para nabi. Al-Quran menyebut kedua-dua istilah itu diciptakan oleh segolongan manusia dan Allah mematahkan lalu membetulkan dakwaan itu dalam al-Quran.
Premis 1: Agama para nabi dalam al-Quran ialah Islam, bukan Yahudi atau Nasrani
Dalil paling tepat dalam isu ini ialah ayat tentang Ibrahim a.s.:
مَا كَانَ إِبۡرَٰهِيمُ يَهُودِيّٗا وَلَا نَصۡرَانِيّٗا وَلَٰكِن كَانَ حَنِيفٗا مُّسۡلِمٗا وَمَا كَانَ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ
“Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang Yahudi, dan bukan pula seorang Nasrani, tetapi dia adalah seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim, dan dia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.”
Surah Ali ‘Imran 3:67
Ayat ini tidak memberikan ruang langsung kepada Yahudi dan Nasrani. Allah menafikan dua label itu berasal daripada Ibrahim a.s. walaupun kedua-dua pihak itu telah menyandarkan pegangan mereka kepada Ibrahim a.s.
Sebaliknya Allah menggantikan kedua-duanya "Yahudi" dan "Nasrani" dengan dua sifat yang Allah redai, iaitu "hanif" dan "muslim".
Ini jelas membuktikan bahawa nama asal jalan wahyu para nabi bukan Yahudi dan bukan Nasrani. Nama yang Allah tonjolkan ialah penyerahan diri kepada-Nya, iaitu Islam.
Premis 2: Nabi Musa sendiri menyeru kaumnya menjadi muslimin, bukan menjadi Yahudi
Perhatikan lafaz Nabi Musa a.s. dalam al-Quran:
وَقَالَ مُوسَىٰ يَٰقَوۡمِ إِن كُنتُمۡ ءَامَنتُم بِٱللَّهِ فَعَلَيۡهِ تَوَكَّلُوٓاْ إِن كُنتُم مُّسۡلِمِينَ
“Dan Nabi Musa berkata: Wahai kaumku! Kalau betul kamu beriman kepada Allah maka berserahlah kepada-Nya, jika kamu benar-benar orang-orang Islam.”
Surah Yunus 10:84
Ayat ini sangat penting. Nabi Musa a.s. tidak berkata, “jika kamu Yahudi.” Sebaliknya Nabi Musa menyebut kaumnya adalah "muslimin.
Maka dari sudut nas al-Quran, jalan yang diseru Musa kepada kaumnya ialah, tunduk kepada Allah sebagai muslimin, bukan berhimpun di bawah label agama ciptaan bernama Yahudi.
Premis 3: Dakwaan “hanya Yahudi atau Nasrani masuk syurga” datang daripada manusia, bukan daripada Allah
Allah SWT berfirman:
وَقَالُواْ لَن يَدۡخُلَ ٱلۡجَنَّةَ إِلَّا مَن كَانَ هُودًا أَوۡ نَصَٰرَىٰۗ تِلۡكَ أَمَانِيُّهُمۡۗ قُلۡ هَاتُواْ بُرۡهَٰنَكُمۡ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ
“Dan mereka berkata tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang menjadi Yahudi atau Nasrani. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah: Bawalah bukti kamu jika betul kamu orang-orang yang benar.”
Surah al-Baqarah 2:111
Di sini struktur ayat sangat besar maknanya dalam menerangkan kepada kita.
Ayat ini bermula dengan وَقَالُواْ iaitu “Dan mereka berkata”. Maknanya, al-Quran sedang merakam dakwaan golongan manusia itu sendiri, bukan memberi ketetapan nama agama wahyu yang asal.
Allah malah menyifatkan dakwaan itu sebagai "angan-angan mereka" dan memerintahkan agar bukti dituntut daripada mereka. Ini sekaligus mematikan hujah bahawa “Yahudi” dan “Nasrani” ialah nama agama asal yang Allah turunkan kepada para nabi.
Premis 4: Apabila mereka mengajak manusia menjadi Yahudi atau Nasrani, Allah membatalkan dakwaan itu dan mengarahkan manusia kepada millah Ibrahim.
Allah SWT berfirman:
وَقَالُواْ كُونُواْ هُودًا أَوۡ نَصَٰرَىٰ تَهۡتَدُواْۗ قُلۡ بَلۡ مِلَّةَ إِبۡرَٰهِـۧمَ حَنِيفٗاۖ وَمَا كَانَ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ
“Dan mereka berkata: Hendaklah kamu menjadi orang-orang Yahudi atau Nasrani, maka kamu akan mendapat petunjuk. Katakanlah: Bahkan kami menurut agama Nabi Ibrahim yang tetap di atas dasar Tauhid, dan bukanlah dia dari orang-orang musyrik.”
Surah al-Baqarah 2:135
Ayat ini sangat menusuk. Mereka mengajak manusia masuk ke dalam dua kelompok label, iaitu Yahudi atau Nasrani.
Allah tidak pernah menyuruh Nabi menjawab, “Ya, pilih salah satu.”
Allah menyuruh Nabi menjawab dengan penafian yang jelas: بَلۡ مِلَّةَ إِبۡرَٰهِـۧمَ حَنِيفٗا.
Maknanya, petunjuk sebenar langsung tidak diikat pada label Yahudi atau Nasrani. Petunjuk sebenar dikembalikan kepada jalan Ibrahim yang hanif.
Ini sekali lagi menunjukkan bahawa kedua-dua istilah itu bukan nama asal agama wahyu para nabi.
Premis 5: Al-Quran sendiri menunjukkan “Nasrani” ialah label yang diucapkan oleh satu kelompok manusia
Allah SWT berfirman:
وَمِنَ ٱلَّذِينَ قَالُوٓاْ إِنَّا نَصَٰرَىٰٓ أَخَذۡنَا مِيثَٰقَهُمۡ فَنَسُواْ حَظّٗا مِّمَّا ذُكِّرُواْ بِهِۦ فَأَغۡرَيۡنَا بَيۡنَهُمُ ٱلۡعَدَاوَةَ وَٱلۡبَغۡضَآءَ إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلۡقِيَٰمَةِۚ وَسَوۡفَ يُنَبِّئُهُمُ ٱللَّهُ بِمَا كَانُواْ يَصۡنَعُونَ
“Dan di antara orang-orang yang berkata: Bahawa kami ini orang-orang Nasrani, Kami juga telah mengambil perjanjian setia mereka, maka mereka melupakan sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka dengannya. Lalu Kami timbulkan permusuhan dan kebencian di antara mereka hingga hari kiamat, dan Allah akan memberitahu mereka apa yang mereka telah kerjakan.”
Surah al-Ma’idah 5:14
Perhatikan sekali lagi cara al-Quran menyampaikan istilah itu.
Allah menyebut: “orang-orang yang berkata: sesungguhnya kami ini Nasara.”
Ini menunjukkan bahawa “Nasrani” tampil hanya sebagai identiti yang dipakai dan diucapkan oleh satu kelompok manusia.
Ayat ini tidak pernah berbunyi: “Aku namakan agama yang benar itu Nasrani.” Tidak.
Ia hanya dinyatakan Allah sebagai identiti yang diakui oleh mereka sendiri, kemudian Allah menilai keadaan mereka.
Premis 6: Taurat memang wahyu Allah, tetapi para nabi yang berhukum dengannya disebut sebagai orang yang berserah diri, bukan pembawa agama Yahudi
Allah berfirman:
إِنَّآ أَنزَلۡنَا ٱلتَّوۡرَىٰةَ فِيهَا هُدٗى وَنُورٞۚ يَحۡكُمُ بِهَا ٱلنَّبِيُّونَ ٱلَّذِينَ أَسۡلَمُواْ لِلَّذِينَ هَادُواْ وَٱلرَّبَّٰنِيُّونَ وَٱلۡأَحۡبَارُ بِمَا ٱسۡتُحۡفِظُواْ مِن كِتَٰبِ ٱللَّهِ وَكَانُواْ عَلَيۡهِ شُهَدَآءَۚ
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi. Dengan Kitab itu nabi-nabi yang menyerah diri kepada Allah menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi, dan dengannya juga ulama mereka dan pendita-penditanya menjalankan hukum Allah...”
Petikan Surah al-Ma’idah 5:44
Ayat ini sangat jelas dan kuat. Taurat itu benar-benar wahyu Allah. Itu tidak dipertikaikan. Tetapi para nabi yang berhukum dengannya disebut sebagai ٱلَّذِينَ أَسۡلَمُواْ iaitu para nabi yang menyerah diri kepada Allah.
Mereka berhukum bagi orang-orang Yahudi, bukan kerana agama para nabi itu bernama Yahudi. Perbezaan ini sangat penting.
Wahyu itu daripada Allah. Nabi-nabi itu Muslim.
Yang disebut “orang-orang Yahudi” dalam ayat ini ialah kelompok yang dikenali dengan nama itu.
Maka istilah Yahudi dalam ayat ini tampil sebagai nama satu komuniti yang menerima hukum, bukan nama asal agama para nabi yang menghakimi dengan wahyu tersebut.
Premis 7: Al-Quran menyebut Yahudi dan Nasrani sebagai kelompok yang membuat dakwaan akidah tertentu
Allah SWT berfirman:
وَقَالَتِ ٱلۡيَهُودُ عُزَيۡرٌ ٱبۡنُ ٱللَّهِ وَقَالَتِ ٱلنَّصَٰرَى ٱلۡمَسِيحُ ٱبۡنُ ٱللَّهِۖ ذَٰلِكَ قَوۡلُهُم بِأَفۡوَٰهِهِمۡۖ يُضَٰهِـُٔونَ قَوۡلَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن قَبۡلُۚ قَٰتَلَهُمُ ٱللَّهُۖ أَنَّىٰ يُؤۡفَكُونَ
“Dan orang-orang Yahudi berkata: Uzair ialah anak Allah, dan orang-orang Nasrani berkata: Al-Masih ialah anak Allah. Demikian itulah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, mereka menyamai perkataan orang-orang kafir yang terdahulu. Semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh dipalingkan dari kebenaran?”
Surah at-Tawbah 9:30
Ayat ini mengesahkan sekali lagi bahawa al-Quran sedang bercakap tentang kelompok-kelompok yang membuat dakwaan tertentu dengan mulut mereka sendiri.
Ini bukan sesekali penetapan nama agama wahyu. Ini adalah penyingkapan dan pembongkaran terhadap komuniti yang telah membina identiti serta akidah tertentu dengan label mereka sendiri.
Rumusan dan Penafian
Selepas semua dalil ini dalam 7 premis di atas, rumusan yang paling konkrit seperti berikut:
Tidak benar untuk berkata bahawa Allah menetapkan Yahudi dan Nasrani sebagai nama asal agama para nabi.
Yang benar ialah al-Quran menyebut kedua-dua istilah itu sebagai label ciptaan golongan manusia, yang membuat dakwaan tertentu, lalu Allah membetulkan, mencabar dan membantah dakwaan mereka.
Kesimpulan
Ibrahim a.s. tidak disebut Yahudi dan tidak disebut Nasrani. Allah menyebut baginda hanifan musliman.
Musa a.s. pula menyeru kaumnya menjadi muslimin.
Apabila manusia mendakwa bahawa syurga hanya untuk Yahudi atau Nasrani, Allah pula menyifatkannya sebagai "angan-angan mereka".
Apabila mereka mengajak orang lain menjadi Yahudi atau Nasrani, Allah mematahkan dakwaan itu dan mengembalikan manusia kepada "millah Ibrahim".
Apabila al-Quran menyebut Nasrani, ia menyebut bahawa orang-orang yang berkata: "kami ini Nasara".
Apabila al-Quran menyebut Taurat, ia menyebut para nabi yang berhukum dengannya sebagai "orang-orang yang berserah diri kepada Allah".
Itu semua cukup untuk sedar dan yakin bahawa:
Agama para nabi ialah Islam. Yahudi dan Nasrani bukan nama asal risalah wahyu para nabi.
Balas kepada: