Amalan

SELAMAT MEMBURU LAILATUL QADAR

Mac 23, 2025 3332 0
Completed
Anggaran masa membaca
5 minit 47 saat

Selamat Memburu Lailatul Qadar

Saya ada sedikit pesanan. Insya-Allah, masih boleh dipakai pada baki Ramadan yang tinggal ini. Insya-Allah, saya yakin kita masih berpeluang selagi Ramadan belum melabuhkan tirainya. Jika tak sempat, ada rezeki praktik untuk tahun depan.

Saya ini berkongsi beberapa tip dan panduan persiapan harian dalam usaha mengejar Nuzul al-Quran di dalam diri kita dan sempena menyambut malam yang lebih baik daripada seribu bulan (Lailatul Qadar). Perlu difahami bahawa ini bukanlah persiapan bersifat “one-off”, tetapi persiapan yang bersifat menyeluruh, iaitu sepanjang hari dan sepanjang bulan.

Terlebih dahulu saya berikan link penulisan yang perlu dibaca untuk membantu memahami apa yang saya tuliskan dalam artikel ini:


1. Dua Penjagaan Asas di Siang Hari: Jasad dan Ruh

Pada siang hari ketika berpuasa, dua perkara utama perlu dijaga: jasad dan ruh. Jasad, semua orang sudah maklum. Saya tidak mahu hurai panjang. Namun, satu perkara penting yang ingin saya tekankan ialah bersahurlah dengan cukup, jangan terlepas atau bukan sekadar alas perut, tetapi bersahur sebagai persediaan untuk berbuka puasa.

Apabila berbuka nanti, kita cukup tenaga. Maka kita tidak akan gelojoh, kurang bernafsu. Cukup sekadar mengambil makanan yang ringan agar tidak terbeban ketika mendirikan solat Tarawih. Maka bersahur bukan hanya untuk siang, tetapi juga untuk malam. Begitu juga berbuka, bukan sekadar untuk melepaskan lapar, tetapi berbuka sebagai persiapan untuk solat.

Jika memakan sampai tahap mengganggu solat, maka ia sudah termasuk kerugian dalam konteks mengejar pertemuan dengan Rabb.


2. Tarawih: Proses Konstruksi Istana dan Takhta

Tarawih adalah momen yang sangat besar nilainya. Ia bukan sekadar rutin bulan Ramadan. Tarawih itu sendiri terdiri daripada huruf Ta, Ra, Waw dan Ha dan setiap huruf membawa makna mendalam:

  • Ta melambangkan tempat, iaitu ruang dalam diri yang sedang kita bina.
  • Ra merujuk kepada diri kita, khususnya pada ruh dan qalbu.
  • Waw ialah ketersambungan, iaitu hubungan antara kita (Ra) dan Dia (Hu).
  • Hu adalah Dia, Rabb, dan para malaikat-Nya.

Justeru, Tarawih ialah proses membina istana dan takhta dalam qalbu kita. Ia adalah sebagai sambutan kepada para tetamu dari langit.

Andai kita faham falsafah ini, pasti kita tidak akan lepaskan peluang ini dan akan solat dengan tertib dan sopan, penuh penghayatan.


3. Penjagaan Pancaindera, Memori dan Jiwa

Sepanjang hari ketika berpuasa, kita perlu menjaga pancaindera kita. Mulut, telinga, mata, kulit, hidung dan seluruh anggota daripada perkara lalai dan sia-sia. Ini penting kerana setiap perkara yang masuk ke dalam tubuh dan jiwa kita akan menjadi memori diri kita. Dan memori inilah yang akan hadir kembali ketika kita bersolat. Ia mengganggu khusyuk jika ia tidak bersih.

Jika aktiviti harian kita bersih, tidur kita juga akan bersih. Ini penting kerana kualiti tidur adalah kunci kepada persediaan malam. Kita mahu tidur yang berkualiti, tenang, bukan tidur yang diganggu sisa-sisa lagha siang hari.


4. Tidur: Saat Para Malaikat dan Ruh Turun ke dalam Diri

Tidur adalah saat di mana jasad masih hidup tetapi kesedaran ruh terangkat. Nyawa kita dalam pegangan Rabb. Pada waktu inilah nuzul para malaikat dan ruh berlaku ke dalam diri kita. Ya, waktu kita tidur. Jika menambahkan faham, boleh rujuk juga kisah tentera Islam mengantuk ketika Perang Uhud.

Oleh itu, dari siang hari, ke waktu berbuka, Maghrib, Isyak, Tarawih hingga ke waktu tidur, semuanya adalah rangkaian persiapan untuk huruf "Ta" dalam Tarawih.

Tidur bukan rehat biasa. Ia adalah fasa akhir sebelum pintu dalam diri kita benar-benar terbuka.


5. Bangun Qiyam: Puncak Pertemuan

Yang paling penting selepas itu adalah bangun Qiyam. Jika sebelum tidur kita berada dalam fasa Ta Ra Waw Ha, maka bangkit dari tidur adalah fasa Ta Ha Jim Dal (Tahajjud – Tahajada).

  • Ta melambangkan tempat, iaitu ruang dalam diri yang sedang kita bina.
  • Hu adalah Dia, Rabb, dan para malaikat-Nya.
  • Jim ialah ritual sujud dalam ibadat kita, iaitu hubungan antara kita iaitu Dada (Dal) di dalam Diri (Ra) terhadap Dia (Hu).
  • Dal adalah merujuk kepada Sadr atau ruang dada kita iaitu lokasi qalbu kita.

Dari fajar hingga malam, dari siang hingga tidur, semuanya adalah satu kitaran ibadah yang saling melengkapi.

Kita bertarawih (Ta, Ra, Waw dan Ha) adalah untuk bertahajjud (Ta Ha Jim dan Dal).


6. Sujud: Manifestasi Aku Hamba, Engkau Tuan

Kemuncak pada segala aktiviti kita adalah ketika sujud dalam tahajjud. Dalam solat kita melakukan pelbagai perbuatan semata-mata untuk menuju ke arah sujud kepada-Nya.

Sujud itu ada apabila kita meletakkan wajah kita di lantai iaitu di bawah tapak kaki kita.

Pada waktu sujud kita membaca:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ
Subḥana rabbiyal a‘lã wa biḥamdihi
Maha Suci Rabb-ku yang Maha Tinggi dan segala puji hanya bagi-Nya

Perhatikan baik-baik maksud bacaan pujian kita ketika sujud. Kita bersujud rapat ke bumi, yang mana pada waktu lain kita tidak berbuat demikian. Waktu lain wajah kita lebih tinggi dari dada (sadr). Tetapi waktu sujud kita menghinakan diri kita sendiri, merendahkan wajah kita lebih rendah dari dada. Lalu kita memuji Rabb kita:

Maha Suci Rabb-ku yang Maha Tinggi.

Nampak tak Rabb mengajar kita menjadi hamba yang baik, iaitu meletakkan diri kita sebagai hamba dan mengangkat diri-Nya dalam dada kita sebagai Tuan, Tuhan dan Raja bagi diri kita. Selama ini kita duduk kat atas. Kepala tinggi dari Dada dan kita sangka kita lah raja tetapi Dialah Raja segala Raja.

Waktu itu tak ramai orang qiyam kerana ramai yang nyenyak tidur. Waktu Qiyam inilah saat Rabb kita berbangga dengan kita di hadapan para malaikat-Nya yang telah turun ke dalam "istana qalbu" yang kita bina sejak siang. Ketika ini, para malaikat memuji-muji dan mendoakan kita, kerana kita telah memuliakan kehadiran mereka.

Namun untuk menghadirkan diri pada waktu ini, konsentrasi tinggi sangat diperlukan. Jangan lakukan Qiyam dengan leka dan lalai. Sebab itu tidur mesti mencukupi, berkualiti dan tepat, kerana tidur itu sendiri adalah persiapan untuk bangun.


7. Di Saat Ruh Turun, Mintalah Nur dan Hadi

Qiyam juga adalah saat kita memuji-muji Allah, dan memohon Nur dan Hadi. Nur dan Hadi biasanya disebutkan Nur Hidayah adalah 2 perkara berbeza.

  • Nur adalah cahaya yang menerangi kita dan menyuluh kita dari gelap kepada terang. Apabila terang barulah mata hati berfungsi dengan baik.
  • Hadi adalah petunjuk dari Rabb sebagai penunjuk atau pembimbing.

Nur dan Hadi ini datang daripada Ar-Ruh yang turun khusus pada malam tersebut.

Jika Allah berkenan dengan kita dalam keadaan diri yang suci dan hati yang ikhlas, Dia akan izinkan kita menyentuh Ruhul-Haq dalam Kitab yang Terpelihara (Kitabin Maknun). Itulah yang sebenarnya kita cari. Dan ia hanya berlaku pada malam-malam Ramadan, khususnya ketika Lailatul Qadar berlaku kepada diri kita.

Ingat, ada Nur tetapi tiada Hadi, terang tetapi sesat. Ada Hadi tetapi tiada Nur, tahu laluan tetapi buntu mencari arah.


8. Jangan Hanya Kejar Seribu Bulan

Jangan terlalu fokus pada kiraan "seribu bulan". Takut nanti kita diuji pada niat dan keikhlasan. Adakah kita beribadah kerana Allah, atau kerana ganjaran dari Allah?

Jika Rabb dan para malaikat-Nya sudah mencintai kita, itu sudah cukup. Maka, ikhlaskan diri. Sucikan hati. Sambutlah para malaikat dan Ruh yang turun. Biarkan Rabb berbangga dengan kita kerana Syurga kita adalah kerana Radiah dan Mardhiyah.


Penutup

Selamat memburu Lailatul Qadar.

Semoga kita termasuk dalam golongan yang dipilih dan dipuji oleh Rabb di langit.

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (0):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.