Diri

QALBUN SALIM ADALAH PENDAHULU KE JANNAH

September 23, 2026 238 1
Completed
Anggaran masa membaca
11 minit 2 saat

Qalbun Salim Adalah Pendahulu Ke Jannah


Pendahuluan

Topik Qalbun Salim merupakan antara perbahasan yang luas dan sering dibincangkan. Banyak buku, kuliah, penulisan dan rujukan berkaitan topik ini boleh ditemui di kedai buku serta di pelbagai platform online.

Dahulu, saya juga pernah beranggapan bahawa membina qalbu melalui pembacaan semata-mata sudah mencukupi. Saya menyangka bahawa apabila seseorang banyak membaca, banyak mendengar dan banyak mengumpul ilmu, maka hatinya akan terbina dengan sendirinya.

Saya juga pernah beranggapan bahawa qalbu akan menjadi semakin bercahaya hanya dengan zikir yang banyak dan istiqamah. Seolah-olah zikir itu berdiri sendiri tanpa perlu dibuktikan melalui amal baik, akhlak mulia, ketaatan, kesolehan dan perubahan hidup.

Namun, hakikatnya tidak begitu. Pembinaan qalbu tidak cukup dengan pencarian ilmu semata-mata. Ia memerlukan pengalaman rohani yang sebenar dalam kehidupan. Ia memerlukan amal, ketaatan, kesolehan dan proses panjang seorang hamba berjalan menuju Rabbnya.

Minda dibina dengan ilmu, tetapi qalbu dibina dengan amal.

Apa yang saya tulis di sini hanyalah hasil daripada penelitian saya terhadap ayat-ayat al-Quran yang menyebut konteks Qalbun Salim secara langsung, di samping pandangan peribadi saya berdasarkan perjalanan membina qalbu sendiri.

Sekiranya terdapat kekurangan atau ketidaktepatan dalam kupasan saya tentang Qalbun Salim ini, ambillah pandangan yang lebih baik sebagai gantinya.

Tulisan ini bukan bertujuan untuk menutup perbahasan, tetapi untuk berkongsi satu susunan faham yang saya temui melalui al-Quran dan pengalaman rohani dalam kehidupan. Walaupun ringkas saya ingin kongsikan kepada anda.


Cara Membaca Artikel Ini

Jikalau mahu memahami Qalbun Salim mengikut al-Quran, saya cadangkan pembaca membaca ayat-ayat ini mengikut urutan yang saya susun.

Baca artikel ini sedikit demi sedikit. Kemudian selang-selikan dengan membaca al-Quran dan terjemahan. Jangan hanya baca artikel. Jangan juga hanya ambil kesimpulan saya. Rujuk kembali ayat-ayat al-Quran yang disebut.

Urutannya begini:

  1. Surah as-Saffat 37:83-84
  2. Surah as-Saffat 37:85-98
  3. Surah as-Saffat 37:99-100
  4. Surah asy-Syu‘ara’ 26:83-89
  5. Surah al-Waqi‘ah 56:10-12
  6. Surah al-Waqi‘ah 56:25-26
  7. Surah Yasin 36:58

Daripada urutan ini, kita akan nampak satu perjalanan. Ia bermula daripada kisah Nabi Ibrahim, bergerak kepada doa, kesolehan, maqam orang yang mendahului dalam kebaikan, suasana salam di syurga, lalu berakhir dengan salam daripada Rabb Yang Maha Penyayang.


Nabi Ibrahim dan Permulaan Qalbun Salim

Ayat pertama yang perlu dibaca ialah Surah as-Saffat 37:83-84.

وَإِنَّ مِن شِيعَتِهِۦ لَإِبْرَٰهِيمَ ٨٣

Dan sesungguhnya di antara orang-orang yang menegakkan (ajaran yang dibawa oleh) Nabi Nuh ialah Nabi Ibrahim.

إِذْ جَآءَ رَبَّهُۥ بِقَلْبٍۢ سَلِيمٍ ٨٤

Ketika ia mematuhi perintah Rabbnya dengan hati yang selamat.

Surah as-Saffat 37:83-84

Dalam al-Quran, Nabi Ibrahim antara nabi yang paling banyak melalui perjalanan jiwa dengan Rabb. Baginda dididik sejak muda dalam suasana kaumnya kufur kepada Allah. Baginda berada dalam masyarakat yang menyembah selain Allah, sedangkan jiwanya mencari kebenaran dan keselamatan yang datang daripada Rabb.

Perjalanan jiwa inilah yang membentuk Nabi Ibrahim memiliki Qalbun Salim. Disebabkan baginda sudah memiliki Qalbun Salim, barulah baginda memiliki kekuatan untuk menghadapi ujian-ujian yang lebih besar selepas itu.

Qalbun Salim bukan hati yang hanya tahu bercakap tentang agama. Ia bukan hati yang hanya pandai menyusun dalil demi dalil. Ia bukan hati yang hanya mengumpul maklumat demi maklumat. Qalbun Salim ialah hati yang benar-benar selamat bersama Rabb.

Nabi Ibrahim merasakan bahawa keselamatan itu mutlak milik Rabb, bukan milik manusia, bukan milik kaumnya, bukan juga milik orang yang berkuasa dan bukan sesekali milik api yang panas membara. Keselamatan bukan milik sesiapa makhluk.


Qalbun Salim Melahirkan Keberanian Berdakwah

Selepas itu, marilah kita membaca Surah as-Saffat 37:85-98 pula.

إِذْ قَالَ لِأَبِيهِ وَقَوْمِهِۦ مَاذَا تَعْبُدُونَ ٨٥

Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: " Apa yang kamu sembah?

أَئِفْكًا ءَالِهَةًۭ دُونَ ٱللَّهِ تُرِيدُونَ ٨٦

"Patutkah kamu menyembah tuhan-tuhan yang lain dari Allah, kerana kamu memutar belitkan kebenaran semata-mata (bukan kerana benarnya)?

فَمَا ظَنُّكُم بِرَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ ٨٧

"Maka bagaimana fikiran kamu pula terhadap Allah Rabb sekalian alam?"

فَنَظَرَ نَظْرَةًۭ فِى ٱلنُّجُومِ ٨٨

Kemudian ia memandang dengan satu renungan kepada bintang-bintang (yang bertaburan di langit),

فَقَالَ إِنِّى سَقِيمٌۭ ٨٩

Lalu berkata: "Sesungguhnya aku merasa sakit (tak dapat turut berhari raya sama)".

فَتَوَلَّوْا۟ عَنْهُ مُدْبِرِينَ ٩٠

Setelah (mendengar kata-katanya) itu, mereka berpaling meninggalkan dia.

فَرَاغَ إِلَىٰٓ ءَالِهَتِهِمْ فَقَالَ أَلَا تَأْكُلُونَ ٩١

Lalu ia pergi kepada berhala-berhala mereka secara bersembunyi, serta ia bertanya (kepada berhala-berhala itu, secara mengejek-ejek): "Mengapa kamu tidak makan?

مَا لَكُمْ لَا تَنطِقُونَ ٩٢

"Mengapa kamu tidak menjawab?"

فَرَاغَ عَلَيْهِمْ ضَرْبًۢا بِٱلْيَمِينِ ٩٣

Lalu ia memukul berhala-berhala itu dengan tangan kanannya (sehingga pecah berketul-ketul).

فَأَقْبَلُوٓا۟ إِلَيْهِ يَزِفُّونَ ٩٤

(Setelah kaumnya mengetahui hal itu) maka datanglah mereka beramai-ramai kepadanya.\

قَالَ أَتَعْبُدُونَ مَا تَنْحِتُونَ ٩٥

(Bagi menjawab bantahan mereka), ia berkata: "Patutkah kamu menyembah benda-benda yang kamu pahat?

وَٱللَّهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ ٩٦

"Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu!"

قَالُوا۟ ٱبْنُوا۟ لَهُۥ بُنْيَـٰنًۭا فَأَلْقُوهُ فِى ٱلْجَحِيمِ ٩٧

(Setelah tak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: "Binalah untuk Ibrahim sebuah tempat (untuk membakarnya), kemudian campakkan dia ke dalam api yang menjulang-julang itu".

فَأَرَادُوا۟ بِهِۦ كَيْدًۭا فَجَعَلْنَـٰهُمُ ٱلْأَسْفَلِينَ ٩٨

Maka mereka (dengan perbuatan membakar Nabi Ibrahim itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang terkebawah (yang tidak berjaya maksudnya).

Surah as-Saffat 37:85-98

Dalam ayat-ayat di atas, kita dapat melihat bagaimana Nabi Ibrahim mempunyai keberanian untuk berdakwah. Baginda bermula dengan keluarganya, kemudian kepada kaumnya.

Ini penting untuk kita fahami. Keberanian Nabi Ibrahim bukan lahir daripada emosi semata-mata. Ia lahir daripada qalbu yang sudah selamat. Hati yang sudah tunduk kepada Allah tidak lagi terlalu takut kepada manusia. Hati yang sudah menyerahkan keselamatan kepada Rabb tidak lagi menjadikan ancaman manusia sebagai ukuran tertinggi.

Kemuncak ujian Nabi Ibrahim ialah apabila baginda dibakar oleh kaumnya dalam api. Namun, di dunia pun Allah sudah membuktikan bahawa Nabi Ibrahim boleh diselamatkan daripada api. Maka apakah susahnya bagi Allah untuk memberikan keselamatan dan kebahagiaan di akhirat?

Di sini kita mula nampak bahawa Qalbun Salim bukan sekadar keadaan hati. Ia melahirkan tindakan. Ia membentuk keberanian. Ia menggerakkan dakwah. Ia mewujudkan kesanggupan untuk berdiri di atas kebenaran walaupun seluruh kaumnya menentang dirinya.


Kesolehan Sebagai Kunci Qalbun Salim

Seterusnya, mari kita baca Surah as-Saffat 37:99-100.

وَقَالَ إِنِّى ذَاهِبٌ إِلَىٰ رَبِّى سَيَهْدِينِ ٩٩

Dan Nabi Ibrahim pula berkata: "Aku hendak (meninggalkan kamu) pergi kepada Rabbku, Ia akan memimpinku (ke jalan yang benar).

رَبِّ هَبْ لِى مِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ ١٠٠

" Wahai Rabbku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!"

Surah as-Saffat 37:99-100

Apa yang perlu jika mahu mencapai keadaan seperti Nabi Ibrahim? Kita kena lihat kepada doa baginda.

Dalam ayat ini, Nabi Ibrahim berdoa agar diberikan anak-anak yang soleh. Ini sangat penting. Baginda tidak hanya meminta zuriat. Baginda tidak hanya meminta keturunan. Baginda meminta kesolehan. Inilah kuncinya. Kesolehan merupakan jalan untuk memperoleh Qalbun Salim. 

Perhatikan aliran ayat sebelum ini. Mula-mula Nabi Ibrahim mengajak kepada ketaatan kepada Allah. Baginda menyeru manusia agar menjadi orang yang beriman. Kemudian baginda berdoa kepada Allah agar dikurniakan zuriat yang soleh.

Maka jalannya jelas. Iman membawa kepada ketaatan. Ketaatan membawa kepada kesolehan. Kesolehan membina qalbu. Qalbu yang dibina dengan amal akan bergerak menuju keselamatan bersama Rabb.

Inilah jalan menuju maqam mahmuda. Ketaatan dan kesolehan adalah pra-syarat kepada kedudukan yang mulia. Seseorang hamba perlu duduk dalam ketaatan dan kesolehan itu sehingga dijemput oleh Rabbnya.


Doa Nabi Ibrahim Merangkumi Dunia dan Akhirat

Qalbun Salim sangat penting dalam hala tuju kita menuju alam seterusnya. Selepas memahami Surah as-Saffat di atas, barulah kita sama-sama membaca Surah asy-Syu‘ara’ 26:83-89.

رَبِّ هَبْ لِى حُكْمًۭا وَأَلْحِقْنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ ٨٣

"Wahai Rabbku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh;

وَٱجْعَل لِّى لِسَانَ صِدْقٍۢ فِى ٱلْـَٔاخِرِينَ ٨٤

"Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian;

وَٱجْعَلْنِى مِن وَرَثَةِ جَنَّةِ ٱلنَّعِيمِ ٨٥

"Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim;

وَٱغْفِرْ لِأَبِىٓ إِنَّهُۥ كَانَ مِنَ ٱلضَّآلِّينَ ٨٦

"Dan ampunkanlah bagi bapaku, kerana sesungguhnya ia adalah dari orang-orang yang sesat;

وَلَا تُخْزِنِى يَوْمَ يُبْعَثُونَ ٨٧

"Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنفَعُ مَالٌۭ وَلَا بَنُونَ ٨٨

"Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun,

إِلَّا مَنْ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلْبٍۢ سَلِيمٍۢ ٨٩

"Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan qalbun salim;

Surah asy-Syu‘ara’ 26:83-89

Dalam ayat 83, Nabi Ibrahim berdoa agar diberikan hikmah dan dimasukkan bersama orang-orang soleh. Ini doa untuk kehidupan di dunia. Kita memohon ilmu, kefahaman dan kedekatan dengan orang-orang soleh supaya kita boleh belajar daripada mereka, meneladani mereka dan bergerak bersama mereka.

Kemudian pada ayat 84, Nabi Ibrahim berdoa agar dikurniakan sebutan yang baik dalam kalangan generasi kemudian. Ini doa untuk masa depan selepas kita tiada. Apabila kita sudah meninggalkan dunia, anak-anak masih mengingati kita. Orang-orang soleh yang mendapat manfaat daripada ilmu kita juga masih mengingati kita.

Harta benda tidak lagi berguna selepas mati, kecuali apa yang Allah jadikan sebagai amal yang berterusan. Doa orang soleh, khususnya anak-anak yang soleh, sangat berharga. Sebab itu Nabi Ibrahim berdoa agar diberikan anak-anak yang soleh.

Sampai hari ini, kita masih mengingati Nabi Ibrahim. Nama baginda terus harum dalam solat. Itulah doa baginda. Itulah juga susunan yang Allah ajarkan kepada kita melalui rakaman al-Quran. 

Pada ayat 85 pula, Nabi Ibrahim berdoa agar dimasukkan ke dalam Jannatun Na‘im. Ini doa untuk akhirat. Baginda tidak hanya memikirkan dunia. Baginda memohon tempat kembali yang penuh nikmat di sisi Allah.

Pada ayat 86, Nabi Ibrahim juga memohon kepada Allah untuk keselamatan dan kesejahteraan bapanya. 

Di sini kita melihat kesempurnaan doa Nabi Ibrahim. Doanya merangkumi dirinya, generasi selepasnya dan generasi sebelumnya. Doanya meliputi dunia dan akhirat.

Baginda mahukan Qalbun Salim. Hati yang bersih. Hati yang sejahtera. Hati yang selamat.


Dari Qalbun Salim Di dunia Menjadi Golongan As-Sabiqun Di Akhirat

Selepas yang kita lihat susunan di atas, mari kita membaca Surah al-Waqi‘ah 56:10-12 pula.

Di sini kita membaca tentang golongan As-Sabiqun, iaitu golongan pendahulu, kumpulan hadapan atau orang-orang yang mendahului di akhirat.

وَٱلسَّـٰبِقُونَ ٱلسَّـٰبِقُونَ ١٠

Dan (puak yang ketiga pula ialah) orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia), - yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak);

أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلْمُقَرَّبُونَ ١١

Mereka itulah orang-orang yang didampingkan (di sisi Rabb),

فِى جَنَّـٰتِ ٱلنَّعِيمِ ١٢

(Tinggal menetap) di dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat.

Surah al-Waqi‘ah 56:10-12

Allah menegaskan bahawa golongan yang benar-benar mendahului dalam iman, taqwa, ketaatan dan kesolehan, mereka itulah As-Sabiqun.

Apakah balasan mereka?

Allah menyebut dengan jelas bahawa mereka adalah al-Muqarrabun, iaitu orang-orang yang paling hampir dengan Rabb. Bahasa Melayu senang ingat dengan perkataan karib atau akrab. Keakraban ini adalah hubungan dengan Rabb di dunia.

Akhirnya mereka ditempatkan dalam Jannatun Na‘im, taman syurga yang penuh kenikmatan.

Inilah kesinambungan daripada doa Nabi Ibrahim tadi. Baginda berdoa untuk zuriat yang soleh. Baginda mengikat doa itu dengan permohonan syurga Na‘im.

Maka kita nampak kaitannya. Doa seorang nabi tidak berhenti sekadar memohon anak soleh atau nama yang harum. Jalan akhirnya ialah menuju maqam As-Sabiqun dalam Jannatun Na‘im.

Sesiapa yang bercita-cita mahu mencapai Qalbun Salim tidak boleh hanya menjadi orang yang ikut-ikutan. Dia tidak boleh hanya menjadi orang yang duduk di belakang. Dia mesti mahu menjadi orang di hadapan dalam segala kebaikan. Dia mesti menjadi pelopor, peneraju dan orang yang lebih dahulu menghadap Allah dengan penuh ikhlas. Itulah ciri As-Sabiqun. Itulah tanda bahawa qalbunya mulai selamat.


Bahasa Syurga Adalah Salam

Seterusnya, mari kita baca Surah al-Waqi‘ah 56:25-26.

Dalam ayat ini, Allah menerangkan suasana mereka di syurga. Allah menggambarkan ucapan-ucapan yang lahir daripada mulut orang yang sudah memiliki Qalbun Salim.

لَا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا وَلَا تَأْثِيمًا ٢٥

Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa; -

إِلَّا قِيلًا سَلَـٰمًا سَلَـٰمًا ٢٦

Mereka hanya mendengar ucapan: " Selamat! Selamat! " (dari satu kepada yang lain).

Surah al-Waqi‘ah 56:25-26

Di syurga, tidak ada lagi perkataan lagha. Tidak ada perkataan sia-sia. Tidak ada perkataan dosa. Yang ada hanyalah ucapan salam.

Ucapan mereka bersih. Penuh doa kesejahteraan. Penuh ketenangan.

Mengapa begitu? 

Mengapa mereka mengucapkan Selamat! Selamat! antara sesama mereka.

Kerana di dunia dahulu mereka telah berjaya menundukkan qalbu. Mereka berjaya menjinakkan nafsu. Mereka berjaya mengawal lidah. Mereka berjaya menyelamatkan hati daripada riya’, hasad, dendam, ujub dan sombong.

Sifat-sifat mazmumah ditekan. Sifat-sifat mahmudah dijulang.

Maka apabila qalbu sudah selamat, hasilnya mereka menjadi pendahulu di syurga kerana mereka telah berusaha menjadi pendahulu di dunia. Mereka kumpulan yang pertama sampai. Mereka mendahului sedangkan kumpulan-kumpulan lain singgah ke neraka terlebih dahulu. Bahasa syurga itulah yang menjadi ucapan salam sesama mereka.

Ucapan Salaman Salama bukan sekadar kata-kata. Ia adalah refleksi hati yang benar-benar telah menjadi salim.

Dunia adalah tempat kita menjinakkan qalbu. Akhirat adalah tempat qalbu yang jinak itu diangkat ke maqam tertinggi.


Kemuncak Qalbun Salim Adalah Salam Daripada Rabb

Akhir sekali, bacalah Surah Yasin 36:58.

سَلَـٰمٌ قَوْلًا مِّن رَّبٍّ رَّحِيمٍ ٥٨

(Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.

Bayangkan di syurga nanti, Rabb sendiri memberi ucapan salam kepada hamba-hamba-Nya.

Salam itu bukan daripada malaikat. Bukan daripada sesama penghuni syurga. Bukan daripada manusia yang memuji manusia.

Ia adalah salam daripada Rabb Yang Maha Penyayang.

Inilah kemuncak perjalanan Qalbun Salim.

Di dunia, dia berdoa. Di dunia, dia melawan hawa nafsu. Di dunia, dia mengawal lidah. Di dunia, dia membersihkan hati. Di dunia, dia mendahului dalam kebaikan.

Lalu di akhirat, Allah memuliakannya dengan ucapan salam secara langsung daripada-Nya.


Penutup

Di sini kita nampak satu susunan yang sangat indah dalam memahami Qalbun Salim.

Kita perlu mengambil pengajaran daripada kisah Nabi Ibrahim kerana itulah rakaman perjalanan pertemuan seorang hamba dengan Rabbnya di dunia hingga bertemu Rabbnya di akhirat. Itulah juga rakaman pembinaan Qalbun Salim.

Nabi Ibrahim bermula dengan doa untuk diri, generasi selepasnya dan generasi sebelumnya. Doanya merangkumi dunia dan akhirat.

Doanya kepada Rabb berpuncak kepada Qalbun Salim, iaitu hati yang bersih, sejahtera dan selamat dunia serta akhirat.

Allah mengikat perjalanan itu dengan maqam As-Sabiqun, iaitu golongan terawal menuju Allah. Mereka ialah al-Muqarrabun, golongan yang akrab dengan Rabb mereka.

Allah menggambarkan bahasa mereka di syurga hanyalah salam kerana hati mereka sudah selamat. Mereka berada dalam keadaan gembira, tenang dan sejahtera. Allah sendiri mengucapkan salam kepada mereka.

Mana lagi nikmat yang mahu didustakan?

Inilah perjalanan Qalbun Salim.

Daripada doa Nabi Ibrahim, menuju barzakh, menuju syurga, hinggalah mendapat salam daripada Rabb Yang Maha Penyayang.

Maka marilah kita mula membina qalbu dengan amal. Bukan sekadar dengan kata. Bukan sekadar dengan ilmu yang berhenti di minda. Bukan sekadar dengan bacaan yang tidak melahirkan perubahan.

Binalah qalbu dengan ketaatan. Binalah qalbu dengan kesolehan. Binalah qalbu dengan amal.

Mudah-mudahan kita termasuk dalam kalangan al-Muqarrabun, dan satu hari nanti turut menerima ucapan salam daripada Rabb Yang Maha Penyayang. Semoga kita menjadi golongan 1 daripada 73.

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (1):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.