Pertukaran Kiblat

BAHAGIAN 3: KIBLAT YAHUDI, BAYT AL-MAQDIS DAN NARATIF JERUSALEM

124 0
Ongoing
Anggaran masa membaca
8 minit 56 saat

Bahagian 3: Kiblat Yahudi, Bayt al-Maqdis dan Naratif Jerusalem

Siri: Pertukaran Kiblat


Dalam bahagian sebelum ini, kita sudah melihat bahawa frasa قِبْلَتِهِمُ الَّتِي كَانُوا عَلَيْهَا (qiblatihimu allatī kānū ʿalayhā) yang bermaksud “Kiblat mereka yang dahulu mereka berada di atasnya” adalah merujuk kepada kiblat yang pernah dihadap oleh Nabi Muhammad S.A.W. dan umat Islam sebelum pertukaran kiblat berlaku ke Masjidil Haram.

Hadis-hadis juga menjelaskan bahawa kiblat terdahulu itu ialah Bayt al-Maqdis. Dalam kefahaman sejarah yang biasa, Bayt al-Maqdis itu dikaitkan dengan Jerusalem. Arah ini juga dikaitkan dengan kiblat Yahudi.

Adakah kita perlu berhenti setakat itu sahaja? Jika ia setakat isu yang melibatkan perubahan arah, mengapa Yahudi begitu kuat membantah? Mengapa sampai tahap pertukaran kiblat dijadikan bahan untuk mempersoalkan Nabi S.A.W.? Lalu mengapa Allah menjawab bantahan itu dengan lafaz khusus:

لِلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ

“Milik Allah timur dan barat.”

Jawapan Allah ini bukan sekadar jawapan umum tentang arah. Ia membawa kita memikirkan satu persoalan yang lebih besar tentang Bani Israel, tanah yang diwariskan dan kedudukan Jerusalem dalam naratif Yahudi. Sekiranya anda mengabaikan topik ini, kemungkinan besar anda tersasar dalam menafsirkan banyak perkara fitan.


Yahudi Bukan Sama Dengan Bani Israel Yang Taat

Perkara pertama yang perlu kita pisahkan ialah antara Bani Israel dan Yahudi. Perkara ini kita kena faham betul-betul. Tidak semua Bani Israel ialah Yahudi. Tidak semua yang membawa nama Yahudi pula mewakili Bani Israel yang taat kepada nabi-nabi Allah.

Bani Israel asal ialah umat yang pernah dipimpin oleh para nabi. Mereka pernah dipimpin oleh Nabi Musa A.S. dan Nabi Harun A.S. Mereka menerima perintah, petunjuk dan perjalanan yang telah ditetapkan oleh Allah.

Namun dalam perjalanan sejarah itu, tidak semua Bani Israel taat. Sebahagian sahaja yang mengikuti nabi. Sebahagian yang lain membantah. Sebahagian lagi pula berpaling. Sebahagian daripada mereka membina kerangka agama mereka sendiri setelah terputus daripada jalan asal yang dibawa oleh para nabi.

Di sinilah kita perlu memahami bahawa millah Yahudi bukan semestinya millah murni yang datang terus daripada Allah. Ia adalah satu kerangka yang telah dibentuk oleh sebahagian Bani Israel setelah mereka menyusun semula arah, tanah, identiti dan kitab menurut kerangka mereka sendiri.

Maka apabila kita menyebut “kiblat Yahudi”, kita bukan sedang bercakap tentang perintah asal Allah kepada Nabi Musa A.S. secara murni. Kita sedang bercakap tentang kiblat dalam kerangka millah Yahudi yang telah terbentuk kemudian. Sila baca artikel Yahudi dan Nasrani Bukan Nama Agama Wahyu Yang Allah Tetapkan Untuk Para Nabi Tetapi Nama Ciptaan Manusia untuk mendapatkan kefahaman yang lebih jelas.


Bani Israel dan Pewarisan Mashriq Maghrib

Al-Quran telah memberi satu isyarat besar kepada kita tentang Bani Israel dan tanah yang diwariskan kepada mereka.

Allah S.W.T. berfirman:

وَأَوْرَثْنَا الْقَوْمَ الَّذِينَ كَانُوا يُسْتَضْعَفُونَ مَشَارِقَ الْأَرْضِ وَمَغَارِبَهَا الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا

“Dan Kami wariskan kepada kaum yang dahulu ditindas itu timur-timur bumi dan barat-baratnya yang telah Kami berkati padanya.”

Surah al-A‘raf 7:137

Ayat ini tidak menggunakan lafaz Jerusalem. Ayat ini tidak mengatakan bahawa pewarisan itu hanya berpusat pada satu kota yang bernama Jerusalem.

Sebaliknya ayat ini menggunakan lafaz yang lebih luas:

مَشَارِقَ الْأَرْضِ وَمَغَارِبَهَا

“Timur-timur bumi dan barat-baratnya.”

Ini penting kerana apabila Allah menjawab bantahan kiblat kepada nabi dalam Surah al-Baqarah 2:142, dimana Allah juga menggunakan lafaz yang berkaitan dengan arah:

لِلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ

“Milik Allah timur dan barat.”

Di sini kita boleh melihat hubungan makna yang sangat siginifikan di sebalik jawapan Allah kepada para pembantah. Bantahan kiblat datang daripada pihak yang mempunyai sejarah panjang dengan Bani Israel. Bani Israel pula dalam Al-Quran pernah dikaitkan dengan pewarisan mashriq dan maghrib bumi. Maka jawapan Allah tentang al-mashriq dan al-maghrib ketika menjawab bantahan kiblat bukan sesuatu yang kecil.

Ia seolah-olah membawa kita kembali kepada peta asal Bani Israel bukannya Jerusalem. Perkara ini akan mudah difahami jikalau anda membaca perjalanan Bani Israel bersama Nabi Musa dan Nabi Harun selepas dikejar Firaun hingga sampai ke tanah yang dijanjikan dalam siri Melaka Adalah Tanah Yang Dijanjikan.


Masalah Besar Yahudi Ialah Orientasi Jerusalem

Dalam kerangka Yahudi, Bayt al-Maqdis di Jerusalem menjadi pusat orientasi agama, tanah dan identiti mereka. Tanpa Jerusalem mereka tiada identiti sendiri. Tetapi kita tidak boleh menerima dakwaan ini secara melulu begitu sahaja. Kita perlu kembali melihat sendiri bagaimana Jerusalem dibina dalam teks Old Testament.

Sebagai maklumat Old Testament atau Perjanjian Lama ialah bahagian awal dalam Bible yang digunakan oleh Yahudi dan Kristian. Di dalamnya terdapat kitab-kitab yang mereka nisbahkan kepada sejarah Bani Israel, para nabi terdahulu, hukum Taurat, kisah kerajaan Israel, Zion dan Jerusalem. Bagi umat Islam, Old Testament bukan sumber akidah yang mengatasi Al-Quran.

Kita merujuknya di sini hanya untuk melihat bagaimana naratif Yahudi dan Kristian membina kefahaman mereka tentang Jerusalem, kemudian kita akan bandingkan dengan petunjuk Al-Quran yang lebih terpelihara. Dalam Old Testament, perkataan "Jerusalem"  disebut secara sangat jelas dan literal. Sebagai contoh, boleh lihat kepada ayat-ayat di bawah:

Dalam 2 Tawarikh / 2 Chronicles 6:6, disebut bahawa Jerusalem dipilih supaya nama Tuhan berada di sana.

Dalam 2 Raja-Raja / 2 Kings 21:7, disebut tentang “this temple and in Jerusalem” sebagai tempat yang dipilih daripada semua suku Israel untuk meletakkan nama Tuhan.

Dalam Mazmur / Psalm 132:13, Zion disebut sebagai tempat yang dipilih.

Dalam Yesaya / Isaiah 2:3, disebut bahawa hukum keluar dari Zion dan kalam Tuhan keluar dari Jerusalem.

Dalam Daniel 6, lihat sekitar ayat 10-11, Daniel digambarkan berdoa dengan tingkap yang terbuka menghadap Jerusalem.

Ini menunjukkan bahawa dalam teks Old Testament yang sampai kepada Yahudi dan Kristian hari ini, Jerusalem bukan sekadar nama tempat. Jerusalem telah menjadi pusat ibadah, pusat tanah, pusat identiti, pusat hukum, pusat harapan agama dan hala tuju mereka khususnya akhir zaman.

Di sinilah kita mesti perhatikan betul-betul dan kita akan nampak masalahnya termasuk kepada kita. Apabila kita kembali kepada Al-Quran, ayat tentang pewarisan Bani Israel tidak menyebut Jerusalem. Allah tidak menyebut langsung bahawa kaum yang dahulu ditindas itu diwariskan Jerusalem. Sebaliknya Allah berfirman:

وَأَوْرَثْنَا الْقَوْمَ الَّذِينَ كَانُوا يُسْتَضْعَفُونَ مَشَارِقَ الْأَرْضِ وَمَغَارِبَهَا الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا

“Dan Kami wariskan kepada kaum yang dahulu ditindas itu timur-timur bumi dan barat-baratnya yang telah Kami berkati padanya.”

Surah al-A‘raf 7:137

Perbezaan ini sangat besar dan ini menafikan Jerusalem dalam Old Testament. Old Testament yang ada pada hari ini membawa pembacanya agar percaya kepada Jerusalem secara literal dan berulang-ulang. Sebaliknya Al-Quran, ketika menyebut pewarisan Bani Israel, membawa kita kepada lafaz mashariq al-ard dan magharibaha, iaitu tempat-tempat terbit matahari di bumi dan tempat-tempat terbenam matahari di bumi.

Jadi anda semua sepatutnya mula bertanya kepada diri sendiri mengapa Old Testament begitu jelas mengikat Bani Israel kepada Jerusalem? Mengapa pula Al-Quran tidak menggunakan lafaz Jerusalem dalam ayat pewarisan itu? Mengapa Al-Quran menggunakan lafaz mashariq al-ard dan magharibaha?

Di sinilah orientasi kiblat Jerusalem dalam millah Yahudi mula kelihatan sebagai satu isu besar. Jika Bani Israel yang taat telah diarahkan kepada mashriq bumi, maka Jerusalem tidak boleh terus dibaca sebagai pusat kepada kisah Bani Israel. Jerusalem berada dalam lingkungan Syam di Jazirah Arab dan di tengah bumi. Ia bukan mashriq bumi dalam gambaran besar perjalanan ke timur.

Adakah Jerusalem telah dijadikan pusat baharu dalam teks dan naratif Yahudi setelah sebahagian mereka kehilangan jejak Bani Israel yang taat? Dalam pembacaan kami, masalah Yahudi bukan sekadar mereka menghadap Bayt al-Maqdis. Masalah yang lebih besar ialah seluruh naratif agama mereka telah dibina dengan orientasi Jerusalem, sedangkan Al-Quran membawa kita kepada peta yang lebih luas, iaitu mashriq dan maghrib bumi.


Lost Tribes atau Left Tribes?

Dalam naratif Yahudi dan sejarah arus umum, kita sering mendengar istilah Lost Tribes of Bani Israel, iaitu suku-suku Bani Israel yang dikatakan hilang daripada rekod mereka. Namun dalam penulisan yang anda sedang baca ini, saya minta anda bertanya semula samada adakah mereka benar-benar hilang atau sebenarnya mereka hanya hilang daripada pengetahuan Yahudi?

Jika Bani Israel yang taat telah bergerak menuju mashriq bumi dan sampai ke Nusantara, maka mereka bukanlah “hilang” dalam makna sebenar. Mereka hanya hilang daripada rekod Yahudi yang berpusatkan Jerusalem.

Mereka hilang daripada kerangka Yahudi, tetapi tidak hilang daripada pengetahuan Allah. Dengan menggunakan Al_Quran apa yang lebih menarik untuk diperhatikan ialah kemungkinan sebaliknya. Kelompok Yahudi itulah sebenarnya sebahagian daripada Left Tribes of Bani Israel, iaitu kelompok Bani Israel yang tertinggal daripada perjalanan asal.

Merekalah yang tidak sampai ke mashriq bumi. Merekalah yang telah kehilangan jejak Bani Israel yang taat. Mereka tidak bersama kelompok yang bergerak jauh ke wilayah timur. Lalu mereka membina semula identiti, tanah, kiblat dan millah mereka di sekitar Jerusalem.

Dengan kata lain, dunia sekarang banyak mendengar kisah Bani Israel daripada kelompok yang tertinggal, bukan semestinya daripada kelompok yang benar-benar sampai ke destinasi yang diperintahkan.

Yang digelar Yahudi sebagai Lost Tribes sebenarnya bukan suku yang hilang. Mereka hanya hilang daripada rekod Yahudi sahaja. Sebaliknya, Yahudi itu sendiri merupakan Left Tribes, iaitu kelompok yang tertinggal daripada perjalanan asal Bani Israel yang taat.

Di sinilah kisah kiblat dalam naratif Jerusalem mula kelihatan masalah yang sangat ketara. Jika kelompok yang tertinggal membina orientasi agama mereka di Jerusalem, maka tidak pelik langsung jika mereka kemudian membaca seluruh kisah Bani Israel melalui Jerusalem. Orang Islam yang terkemudian juga mengikuti mereka.

Akan tetapi jika kelompok Bani Israel yang taat telah terbukti bergerak ke mashriq bumi, maka pusat cerita itu tidak lagi boleh difahami semuanya berorientasikan kepada Jerusalem semata-mata.


Mengapa Yahudi Sangat Membantah Pertukaran Kiblat?

Saya rasa sekarang anda boleh faham mengapa bantahan Yahudi terhadap pertukaran kiblat bukan bantahan yang kecil. Selagi Nabi S.A.W. dan umat Islam menghadap Bayt al-Maqdis, mereka masih boleh melihat umat Islam berada pada arah yang sama dengan orientasi mereka. Tetapi apabila Allah memerintahkan Nabi S.A.W. menghadap al-Masjid al-Haram, umat Islam tidak lagi berada berkongsi kiblat Yahudi. Allah sedang membuka penyelewengan mereka.

Sebab itu Allah menjawab bantahan mereka dengan lafaz:

لِلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ

“Milik Allah timur dan barat.”

Jawapan ini bukan sekadar memutuskan umat Islam daripada orientasi Jerusalem. Ia juga membuka semula persoalan berkenaan tanah milik Allah di mashriq dan maghrib yang diwariskan kepada Bani Israel.

Pembohongan Yahudi mula terdedah. Sebab itu mereka membantah pertukaran kiblat kerana pertukaran itu bukan sekadar memindahkan arah umat Islam. Ia menggoncang kedudukan Jerusalem dalam kerangka millah mereka.


Penutup

Selepas melihat semua ini, kita perlu lebih berhati-hati apabila menyebut Bayt al-Maqdis dalam perbincangan kiblat. Hadis menyebut Nabi S.A.W. pernah menghadap Bayt al-Maqdis. Tafsir juga menyebut Yahudi menghadap Bayt al-Maqdis. Kita tidak menolak riwayat ini. Namun yang sedang kita semak ialah cara Bayt al-Maqdis itu difahami dan bagaimana ia telah dikunci dalam naratif Jerusalem.

Old Testament membawa pembacanya kepada Jerusalem secara jelas dan berulang. Tetapi Al-Quran, ketika menyebut pewarisan Bani Israel, tidak menyebut Jerusalem. Al-Quran membawa kita kepada lafaz mashariq al-ard dan magharibaha.

Di sinilah pertukaran kiblat menjadi lebih besar daripada sekadar perubahan arah solat. Ia membuka semula persoalan tentang peta Bani Israel, tanah yang diwariskan, dan kedudukan Jerusalem dalam millah Yahudi. Maka perbezaan antara Lost Tribes dan Left Tribes menjadi penting. Siapakah sebenarnya suku yang hilang, dan siapakah sebenarnya suku yang tertinggal?

Dalam bahagian seterusnya, kita akan melihat mengapa Nasrani tidak membantah dengan cara yang sama. Ini kerana Nasrani tidak berorientasikan kiblat Jerusalem seperti Yahudi. Kiblat Nasrani dalam tafsir dikaitkan dengan timur atau mashriq dan ini akan lebih menarik.

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (0):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.