Bani Israel

BILA PENGANUT HINDU MENGKLAIM LEMBAH BUJANG, MEREKA SEBENARNYA MEMBUKA BUKTI TAUHID YANG LEBIH PURBA

September 12, 2026 16 0
Completed
Anggaran masa membaca
9 minit 27 saat

Bila Penganut Hindu Mengklaim Lembah Bujang, Mereka Sebenarnya Membuka Bukti Tauhid yang Lebih Purba


Klaim Hindu dan Lapisan Sejarah yang Lebih Awal

Isu Lembah Bujang yang dikaitkan dengan Hindu memang popular. Isu sebahagian penganut Hindu membuat klaim terhadap tempat-tempat tertentu juga bukan perkara baharu. Bagi saya, kewujudan klaim seperti ini mempunyai sisi kebaikannya kerana setiap klaim sebenarnya membuka ruang untuk kita meneliti semula lapisan sejarah yang lebih awal.

Malah, apabila wujud klaim sebegitu, ia boleh menjadi pintu untuk membuktikan bahawa agama tauhid sudah wujud sebelum kesyirikan datang menutupinya. Tidak faham? Kena baca sampai habis lah.

Banyak kali saya ditanya berkenaan perkara ini, tetapi saya tidak terus menjawab. Sebabnya mudah sahaja. Kita belum benar-benar membaca apa yang ada dalam al-Quran dengan teliti.

Saya tahu ada yang membaca. Masalahnya, mereka tidak semestinya membaca dengan betul. Sekadar membaca kupasan orang Arab belum tentu kita mampu memahami apa yang berlaku di Nusantara dan apa yang dilakukan oleh agama Hindu dalam sejarahnya. Bukan semua orang Arab datang ke Nusantara.

Allah telah menyediakan jawapan kepada semua manusia, bukan untuk orang Arab sahaja. Sebab itulah saya mementingkan pendekatan Anbiya’-centric, bukan semata-mata Arab-centric.

Hanya pendekatan Anbiya’-centric yang membolehkan kita memahami permasalahan ini dengan lebih luas.

Klaim sebahagian penganut Hindu bahawa mereka bukan berhijrah, sebaliknya merekalah orang asal di sini, memang banyak. Mereka juga mendakwa sudah berada di sini sejak beribu-ribu tahun dahulu. Memang merimaskan apabila mendengar klaim sebegini, tetapi dalam kerangka kajian al-Quran, ia boleh menjadi rahmah jika kita tahu cara membacanya.

Jika kita sekadar mahu menegakkan pendapat sendiri, pendapat, hujah, bukti sejarah, manuskrip dan patung-patung tidak cukup untuk menjadi asas yang kukuh. Semua itu memang boleh dianggap sebagai bukti, tetapi asal usul bukti itu perlu difahami dengan lebih mendalam.

Mereka boleh mengklaim patung. Setiap patung pula akan terus dikaitkan dengan Hindu. Kita seolah-olah tidak boleh mengklaim apa-apa kerana patung memang dilarang dalam tauhid. Cara membaca seperti ini tidak tepat.


Siri Enam Fasa Putaran Kekhalifahan Manusia

Sebab itulah saya menulis satu siri khusus bertajuk:

6 Fasa Putaran Kekhalifahan Manusia

Boleh klik link di atas. 

Untuk makluman semua, inilah antara artikel yang paling kurang diminati berdasarkan statistik. Mungkin kerana ia tidak bersifat sensasi. Mungkin juga kerana ia terlalu ilmiah. Hakikatnya, artikel itu ialah asas untuk memahami cara sesuatu umat muncul, berkembang, melampaui batas, dihukum dan digantikan. Ia bukan artikel hasil akhir semata-mata, tetapi artikel tentang kaedah.

Tidak ramai yang membacanya kecuali “Mat Salleh”. Orang kita lebih suka membaca kesimpulan akhir, tetapi kurang berminat membaca proses yang membawa kepada kesimpulan itu.


Enam Fasa dalam Kitaran Umat

Hari ini saya mahu menggunakan kerangka artikel tersebut untuk menjelaskan tuntutan sebahagian penganut Hindu terhadap tempat-tempat tertentu, termasuk Candi Lembah Bujang. Saya juga mahu menjawab sebahagian pembaca Muslim yang terlalu mudah mengaitkan semua penemuan lama dengan Hindu.

Sikit-sikit Hindu. Sedikit sahaja menjumpai struktur lama, terus Hindu. Sedikit sahaja menjumpai candi, terus Hindu. Ini berlaku kerana kita terlalu banyak terpengaruh dengan bacaan luar, sedangkan bacaan al-Quran sendiri belum dikuasai dengan kemas.

Dalam al-Quran, setiap bangsa, umat, kaum, bani, ashab atau apa-apa sahaja kelompok yang disebut dalam teks Arab al-Quran melalui proses masing-masing. Setiap umat ada kitarannya. Kita juga sedang berada dalam kitaran itu. Begitu juga penganut Hindu kerana pada zaman Nabi Muhammad SAW semua manusia termasuk dalam umat dakwah Baginda.

Dalam kitaran itu, dari dahulu hingga sekarang, setiap umat akan melalui pola besar yang sama:

  1. Diberi peluang sebagai khalifah.
  2. Bermula dengan keimanan, kemudian semakin melampaui batas.
  3. Diutuskan nabi dan rasul untuk mengingatkan.
  4. Melakukan kezaliman secara berterusan.
  5. Allah SWT membinasakan mereka dengan azab.
  6. Dibangkitkan khalifah yang baharu.

Untuk memahami kerangka ini, kena baca siri tersebut secara penuh. Ada 10 artikel sahaja termasuk artikel induk. Tidak panjang sangat pun jika dibandingkan dengan besarnya isu yang sedang kita bincangkan.


Tuntutan Hindu Terhadap Lokasi Lama

Sekarang mari kita kembali kepada tuntutan sebahagian penganut Hindu terhadap beberapa lokasi di Semenanjung Malaysia.

Apabila mereka membuat tuntutan, kita tidak perlu terus melenting. Jika kita faham 6 fasa ini, kita akan melihat perkara itu dari sudut yang lebih besar. Bahkan, dalam keadaan tertentu, kita boleh bersyukur kerana tuntutan mereka sendiri membuka ruang untuk kita meneliti kewujudan agama tauhid sebelum lapisan Hindu muncul di tempat tersebut.

Begini.


Nabi Adam dan Permulaan Tauhid

Nabi Adam diturunkan ke dunia sebagai khalifah di bumi. Adakah Nabi Adam beragama Hindu? Adakah Nabi Adam mensyirikkan Allah? Tidak.

Adam dan Hawa ialah khalifah. Mereka mentadbir diri dan kehidupan mereka di atas al-ard ini dengan tauhid. Apakah agama mereka? Mereka berada di atas penyerahan diri kepada Allah, iaitu Islam dalam makna asalnya. Mereka bertauhid kepada Allah.

Itulah fasa pertama dalam kitaran.

Pernah dengar kaum Nabi Adam dimusnahkan dalam al-Quran? Tiada. Sebab mereka berada pada fasa awal. Fasa pertama dan fasa kedua bukan fasa hukuman besar. Ia merupakan fasa manusia bermula, berkembang dan diuji.


Dari Keimanan kepada Syirik

Apa yang berlaku selepas itu kepada keturunan Adam?

Pada awalnya, mereka berkembang dengan keimanan. Lama-kelamaan, berlaku pelanggaran. Pelanggaran hukum itu sendiri sudah berat. Melampaui batas lebih berat lagi kerana ia menggambarkan perbuatan yang melepasi had secara berterusan.

Di sinilah nabi-nabi dan rasul-rasul mula diutuskan.

Allah memperbaharui seruan tauhid melalui para utusan-Nya. Para rasul datang membawa dua perkara besar, iaitu amaran dan peringatan. Amaran ialah seruan agar manusia kembali ke jalan Allah. Peringatan pula mengingatkan manusia tentang akibat, azab dan pembalasan jika mereka tetap ingkar.

Amaran dan peringatan diturunkan pada fasa ketiga. Namun bukan semua manusia mahu menerima. Dalam spektrum kerosakan manusia, antara kelompok yang paling keras dibenci dalam al-Quran ialah golongan yang mensyirikkan Allah.

Ini kerana syirik bukan sekadar kesalahan kecil. Ia ialah pelanggaran terhadap asas paling utama dalam kehidupan manusia. Allah ialah Ilah yang sebenar, tetapi manusia mengambil ilah lain selain Allah. Ada yang menyembah berhala. Ada yang tidak menyembah patung, tetapi tetap mengambil selain Allah sebagai sumber ketaatan, ketakutan, pengharapan dan pergantungan tertinggi.

Semua itu termasuk dalam pelampauan.


Syirik dan Lapisan Tauhid

Sekarang lihat semula realiti hari ini. Ada tuntutan dibuat ke atas tanah tertentu. Ada usaha untuk menghidupkan semula simbol-simbol penyembahan. Ada tempat yang mahu dikaitkan semula dengan dewa, berhala dan sistem ritual tertentu. Dalam beberapa keadaan, simbol penyembahan berhala kelihatan lebih menonjol daripada tanda tauhid.

Inilah fasa keempat, iaitu fasa pelampauan.

Maka jika fasa keempat wujud di atas tanah ini, apakah yang disahkan oleh perkara itu?

Ia menunjukkan bahawa fasa pertama, kedua dan ketiga telah pun berlaku sebelumnya. Inilah kitarannya. Syirik tidak muncul secara tiba-tiba. Penyembahan berhala tidak muncul tanpa sejarah sebelumnya. Ia biasanya datang selepas manusia menyimpang daripada tauhid yang asal.

Dahulu, perkara ini sudah berlaku. Sekarang, ia sedang berlaku semula.

Sebab itu kita melihat candi-candi di seluruh Nusantara mempunyai kesan penyembahan berhala. Pembaca biasa akan terus berkata, “Ini bukti Hindu.” Namun bagi saya, itu belum cukup. Kita kena tanya lagi, sebelum lapisan Hindu itu datang, apa yang wujud di situ?

Apabila sesuatu tempat akhirnya dipenuhi unsur penyembahan berhala, itu menunjukkan telah berlaku proses pelampauan. Jika pelampauan berlaku, maka sebelumnya pasti ada seruan tauhid, ada manusia yang diberi amanah, ada umat yang diuji dan ada peringatan yang pernah sampai kepada mereka.


Pemisahan Orang yang Bertauhid

Ke mana perginya orang-orang baik yang bertauhid?

Di sinilah kita perlu membaca pola para nabi. Apabila sesuatu masyarakat semakin melampaui batas, orang-orang yang beriman akan dipisahkan. Ada yang berhijrah. Ada yang diselamatkan. Ada yang keluar daripada pusat kerosakan. Pola ini berulang dalam kisah para nabi.

Perkara yang sama sedang berlaku kepada kita sekarang. Apabila sesuatu tempat semakin dipenuhi pelampauan, orang-orang bertauhid akan mula dipaksa memilih jalan. Ada yang kekal dan diuji. Ada yang keluar untuk menyelamatkan agama. Ada yang bersedia untuk berhijrah apabila keadaan sudah sampai ke tahap yang tidak boleh dikompromikan lagi.


Klaim sebagai Pintu Kajian

Sebab itu, apabila sebahagian penganut Hindu mengklaim Lembah Bujang atau mana-mana tempat lama, saya tidak melihatnya semata-mata sebagai ancaman. Saya melihatnya sebagai satu pintu kajian.

Klaim mereka bukan semestinya membuktikan bahawa merekalah yang paling awal. Klaim mereka mungkin hanya membuktikan bahawa pada satu zaman, lapisan syirik telah menumpang, menutup atau menggantikan lapisan tauhid yang lebih awal.

Itulah yang perlu kita bongkar.

Jangan terlalu cepat menyerahkan seluruh sejarah kepada Hindu hanya kerana ada candi. Jangan terlalu cepat menyerahkan seluruh tapak lama kepada penyembahan berhala hanya kerana ada patung. Jangan terlalu cepat menganggap semua yang tua itu Hindu, sedangkan al-Quran mengajar bahawa manusia bermula dengan tauhid, kemudian menyimpang, kemudian diutuskan peringatan, kemudian melampaui batas, kemudian dihukum dan digantikan.

Inilah asas yang ramai orang terlepas pandang.

Mereka melihat candi, lalu berhenti pada Hindu.

Saya melihat candi, lalu bertanya:

“Sebelum syirik datang, siapa yang bertauhid di tanah ini?”

Itulah soalan yang sepatutnya kita tanya.


Fasa Ketiga dan Jejak Para Nabi

Jika ada bukti Hindu pada Candi Lembah Bujang dari sudut binaan, simbol, struktur atau kesan penyembahan, maka itu berada pada fasa keempat. Fasa keempat ialah fasa pelampauan.

Jadi, fasa ketiga apa?

Fasa ketiga ialah fasa diutuskan nabi dan rasul untuk mengingatkan manusia. Sebab itu, dalam kerangka bacaan saya, kita perlu melihat kembali jejak para nabi yang pernah hadir dalam fasa peringatan masing-masing. Ada Sulaiman dan Daud. Ada Harun dan Musa. Ada Luth dan Ibrahim. Bahkan jalur ini perlu ditelusuri sampai kepada Nuh.

Semua pasangan nabi ini mempunyai fasa peringatan masing-masing. Jika fasa ketiga dapat dibaca dengan jelas dalam al-Quran, maka fasa kedua dan fasa pertama juga tidak boleh dinafikan begitu sahaja.


Fasa Pertama dan Fasa Kedua

Fasa pertama bermaksud ada manusia yang pernah diberi peluang menjadi khalifah di tanah ini. Siapakah kelompok terakhir yang diberi peluang dalam kerangka ini? Bani Israel melalui Musa dan Harun untuk mewarisi wilayah yang berkait dengan Lembah Bujang.

Itulah fasa pertama.

Fasa kedua pula ialah perkembangan mereka. Bani Israel berkembang dalam tempoh yang panjang di wilayah ini. Pada masa yang sama, keturunan Ibrahim dan Luth serta keturunan Daud dan Sulaiman, bahkan keturunan Nabi Muhammad SAW, juga sudah mempunyai jalur yang lebih awal dan perlu diteliti di sini.

Itulah fasa kedua.


Hukuman sebelum Kebangkitan

Maka setiap kali ada klaim yang disertakan dengan bukti tertentu, ingatlah bahawa Allah sudah memberikan kita jalan untuk membaca perkara ini. Klaim itu bukan semestinya menutup hujah tauhid. Klaim itu boleh menjadi bukti bahawa pernah ada tamadun yang lebih tua sebelum tamadun itu rosak, diselewengkan dan ditutup oleh lapisan syirik.

Tidak lama lagi, Candi Lembah Bujang yang dikatakan sebagai warisan Hindu itu akan bangkit semula. Kebangkitan ialah fasa keenam.

Sebelum fasa keenam berlaku, fasa kelima mesti berlaku dahulu. Fasa kelima ialah Allah SWT membinasakan kita semua dengan azab.

Serangan kedua ke atas Bani Israel di atas tanah yang mempunyai Lembah Bujang itu akan berlaku kelak. Pada waktu itu, tidak perlu lagi mencari terlalu banyak bukti sejarah kerana terbongkarnya perkara ini bermaksud Sepuluh Perintah atau The Ten Commandments telah sampai ke fasa hukuman. Hukuman itu nanti akan menjadi bukti yang tidak mampu ditolak.

Sesiapa yang terselamat kelak ialah orang-orang yang diberikan rahmat oleh Allah. Itulah peluang untuk kebangkitan.

Pada waktu itulah kita perlu berhijrah, sebagaimana pemilik-pemilik tuyure dahulu berhijrah.

Jadi, orang mahu mengklaim, biarlah mereka mengklaim. Sebab itulah sebelum ini saya katakan bahawa tanah ini akan dikuasai semula oleh penyembah berhala dan akan menjadi tanah Hind yang baharu. Di situlah kelak akan berlangsung Ghazwatul Hind.

Selepas itu, dua titik utama, Makkah dan Bakkah, akan bersinar kembali bersama-sama.

Catatan tentang Masjid dan Bayt

Masjid pertama yang diletakkan di bumi ialah al-Masjid al-Haram. Masjid kedua yang diletakkan di bumi ialah al-Masjid al-Aqsa. Perbezaan antara kedua-duanya ialah 40 tahun.

Bayt pertama yang diletakkan untuk manusia ialah bayt yang berada di Bakkah berdasarkan lafaz al-Quran:

“أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ”

dalam Surah Ali ‘Imran 3:96.

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (0):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.