Siri Ahlul Kisa'

BAHAGIAN 1: MENGAPA RASULULLAH SAW MEMANGGIL AHLUL BAIT KE BAWAH KAIN DI RUMAH UMMU SALAMAH?

33 0
Ongoing
Anggaran masa membaca
2 minit 55 saat

Bahagian 1:

Mengapa Rasulullah SAW Memanggil Ahlul Bait ke Bawah Kain di Rumah Ummu Salamah?

Siri: Ahlul Kisa'


Ahlul Kisa' merujuk kepada lima individu yang diselubungi oleh Rasulullah SAW dengan sehelai kain, iaitu baginda sendiri, puterinya Fatimah, dua orang cucunya Hassan dan Hussin serta menantunya Saidina Ali KW yang juga merupakan sepupu baginda.

Istilah Ahlul Kisa' digunakan kerana kelima-lima mereka berada di bawah satu kain yang berfungsi sebagai penutup atau tabir dalam peristiwa tersebut.

Dalam perbincangan mengenai Ahlul Bait, peristiwa Ahlul Kisa' merupakan suatu perkara yang tidak boleh diketepikan.

Pelbagai penulisan telah membincangkan identiti Ahlul Kisa'. Namun demikian, perbincangan yang meneliti sebab Rasulullah SAW menyelubungi diri baginda bersama Ahlul Baitnya di bawah kain tersebut masih amat terbatas.


Persoalan di Sebalik Peristiwa Ahlul Kisa'

Persoalan utama yang perlu diteliti ialah mengapakah baginda Nabi memanggil setiap individu secara berasingan untuk masuk ke bawah kain tersebut?

Selain itu, mengapakah peristiwa tersebut berlaku di rumah Ummu Salamah sedangkan terdapat banyak rumah isteri Nabi yang lain?


Peringatan kepada Pembaca

Perlu ditegaskan bahawa penulisan ini mungkin berbeza daripada pandangan umum yang lazim dikemukakan. Sebahagian perbincangan dalam penulisan ini juga mungkin merupakan suatu gagasan baharu kerana belum pernah dibincangkan secara terbuka.


Tujuan Penekanan Topik Ahlul Bait dan Ahlul Kisa'

Penekanan terhadap topik Ahlul Bait dan Ahlul Kisa' dalam beberapa penulisan saya didorong oleh beberapa tujuan:

  1. Pemahaman tentang Ahlul Bait dan Ahlul Kisa' merupakan kunci penting untuk memahami fitnah tahap terakhir dalam konflik akhir zaman.
  2. Jejak Ahlul Kisa' ini akan menjadi sasaran untuk dimusnahkan oleh As Sufyani.
  3. Ketua As Sufyani dan Dajjal merupakan individu yang akan menyamar sebagai Ahlul Bait Nabi.
  4. Saya juga tidak mahu pembaca terpengaruh atau mengikuti penerangan versi Syiah.

Tanpa memahami rahsia Ahlul Kisa' secara mendalam, kita berkemungkinan besar terpedaya oleh hasutan dan gerak kerja As Sufyani serta Dajjal.


Ahlul Kisa' dalam Kerangka Tsaqalain

Perbincangan tentang Ahlul Kisa' yang dikemukakan di sini merupakan sebahagian daripada perbincangan yang lebih luas tentang Tsaqalain. Pembaca yang belum meneliti penulisan berkaitan Tsaqalain: 2 Perkara Yang Berat disarankan untuk membacanya terlebih dahulu.

Justeru, saya memohon agar para pembaca meneliti penjelasan ini dengan cermat serta menjalankan kajian peribadi secara lebih mendalam terhadap perkara-perkara yang dibincangkan dalam bahagian ini dan bahagian-bahagian seterusnya.

Sebagai asas kepada perbincangan, hadis berikut perlu diteliti terlebih dahulu.

Hadis Riwayat at-Tirmidhi 3787 (Sahih)

Versi Penuh dalam Bahasa Arab:

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ، قَالَ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ سُلَيْمَانَ الأَصْبَهَانِيُّ، عَنْ يَحْيَى بْنِ عُبَيْدٍ، عَنْ عَطَاءِ بْنِ أَبِي رَبَاحٍ، عَنْ عُمَرَ بْنِ أَبِي سَلَمَةَ، رَبِيبِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ نَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلمَّ ‏:‏ ‏(‏ إنمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا ‏)‏ فِي بَيْتِ أُمِّ سَلَمَةَ فَدَعَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فَاطِمَةَ وَحَسَنًا وَحُسَيْنًا فَجَلَّلَهُمْ بِكِسَاءٍ وَعَلِيٌّ خَلْفَ ظَهْرِهِ فَجَلَّلَهُ بِكِسَاءٍ ثُمَّ قَالَ ‏"‏ اللَّهُمَّ هَؤُلاَءِ أَهْلُ بَيْتِي فَأَذْهِبْ عَنْهُمُ الرِّجْسَ وَطَهِّرْهُمْ تَطْهِيرًا ‏"‏ ‏.‏ قَالَتْ أُمُّ سَلَمَةَ وَأَنَا مَعَهُمْ يَا نَبِيَّ اللَّهِ قَالَ ‏"‏ أَنْتِ عَلَى مَكَانِكِ وَأَنْتِ إِلَيَّ خَيْرٍ ‏"‏ ‏. وَفِي الْبَابِ عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ وَمَعْقِلِ بْنِ يَسَارٍ وَأَبِي الْحَمْرَاءِ وَأَنَسٍ بْنِ مَالِكٍ ‏.‏ وَهَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ مِنْ هَذَا الْوَجْهِ ‏.‏

Terjemahan Bahasa Melayu:

عَنْ عُمَرَ بْنِ أَبِي سَلَمَةَ، رَبِيبِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم

Daripada 'Umar bin Abi Salamah, anak tiri (yang dipelihara) Rasulullah SAW.

قَالَ نَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلمَّ ‏:‏

Beliau berkata: "Ayat ini diturunkan kepada Rasulullah SAW".

‏(‏ إنمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا ‏)‏

"Sesungguhnya Allah ingin menghilangkan kotoran dari kalian, wahai Ahlul Bait dan mensucikan kalian sesuci-sucinya. (al-Ahzab 33:33)

فِي بَيْتِ أُمِّ سَلَمَةَ فَدَعَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فَاطِمَةَ وَحَسَنًا وَحُسَيْنًا فَجَلَّلَهُمْ بِكِسَاءٍ وَعَلِيٌّ خَلْفَ ظَهْرِهِ فَجَلَّلَهُ بِكِسَاءٍ

"Di rumah Ummu Salamah, Nabi SAW memanggil Fatimah, Hassan dan Hussin lalu menutupi mereka dengan kain dan Ali berada di belakang Nabi lalu beliau menutup Ali dengan kain."

ثُمَّ قَالَ ‏"‏ اللَّهُمَّ هَؤُلاَءِ أَهْلُ بَيْتِي فَأَذْهِبْ عَنْهُمُ الرِّجْسَ وَطَهِّرْهُمْ تَطْهِيرًا ‏"‏ ‏.‏

Kemudian baginda berkata, "Ya Allah, inilah Ahlul Baitku. Hilangkanlah kotoran dari mereka dan sucikan mereka dengan penyucian yang sempurna."

قَالَتْ أُمُّ سَلَمَةَ وَأَنَا مَعَهُمْ يَا نَبِيَّ اللَّهِ

Ummu Salamah berkata, "Adakah saya termasuk bersama mereka, wahai Rasulullah?"

قَالَ ‏"‏ أَنْتِ عَلَى مَكَانِكِ وَأَنْتِ إِلَيَّ خَيْرٍ ‏"‏ ‏.

Baginda berkata, "Engkau berada di tempatmu dan engkau lebih baik bersamaku."


Penutup

Perbincangan ini akan diteruskan dalam bahagian yang seterusnya.

Sementara itu, para pembaca disarankan untuk meneliti kaitan antara Kisa' yang dilakukan oleh Nabi dalam hadis di atas dengan tiga metodologi komunikasi Allah. Baca semula penulisan-penulisan yang disenaraikan dalam pautan di bawah.

Itulah rahsia Ahlul Kisa' yang Allah letakkan dalam al-Quran. Insyaallah, anda akan memahami mengapakah baginda Nabi mendirikan tabir di dalam Bait Ummu Salamah.

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (0):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.