Allah, Malik, Rabb dan Ilah, Jalan Hamba Mengenal Raja
ALLAH
Kita manusia dilahirkan ke dunia sebagai seorang insan yang tak tahu apa. Putih, suci bersih seperti sebuah kanvas yang rata. Yang mencorakkan kita adalah ibu dan bapa kita. Setelah kita membesar, kita yang mencorakkan diri kita.
Kita diberikan pancaindera. Dari situ kita tahu apa ertinya cahaya. Dari situ kita tahu apa ertinya suara. Dari situ kita tahu apa ertinya rasa. Dari situ kita tahu apa ertinya aroma. Dari situ kita tahu apa ertinya haba. Dari situ kita tahu apa ertinya luka.
Apa jua yang kita tahu daripada hasil pengalaman kehidupan kita di dunia, menjadikan kita mengetahui akan wujudnya satu kuasa. Kuasa yang mengawal akan sesuatu perkara.
Kegagalan untuk melihat dan mengenal punca kuasa menyebabkan proses mengagung dan memuja kuasa menjadi tersalah arah. Sebab itu ada manusia menyembah berhala, ada yang menyembah matahari, ada manusia yang menyembah gunung, ada yang menyembah nenek moyang dan sebagainya. Semua itu adalah memuja akan wujudnya kuasa.
Manusia tidak tahu apa-apa melainkan apa yang dilihatnya, difahami dan dianalisis setelah diketahui oleh pancaindera.
Maka, Pencipta tidak akan membiarkan manusia berada di dunia terpinga-pinga. Dia mengutus nabi demi nabi, rasul demi rasul menjalankan tugas menyampaikan mesej daripada-Nya.
Lalu diturunkan pelbagai kitab untuk kita mengenali-Nya. Sebagai panduan yang membantu kita tidak setakat kita menganalisis melalui pancaindera. Al-Kitablah panduan untuk kita mengenali akan wujudnya kuasa.
Wujud itu perlu dicerita dari cara Dia memperkenalkan diri-Nya kepada kita, bukan cara kita cuba memahami siapa diri-Nya dari pancaindera dan akal fikiran kita semata-mata.
Allah tahu kita ini sentiasa memerhatikan dunia yang Dia cipta. Namun Dia tidak boleh bersama kita dalam dunia ciptaan-Nya, kerana Dia tidak setara dengan apa jua yang diciptakan-Nya.
Lalu Dia mengajar kita, Dialah Allah yang istiwa' di atas sana, luar dari segala makhluk ciptaan-Nya.
Dialah Allah, suatu nama yang tidak layak bagi-Nya, untuk difikirkan dengan cara pancaindera. Dialah Esa, tidak beribu bapa seperti kita, tidak beranak-pinak seperti kita. Wujudnya Dia tidak sama dengan wujudnya kita.
Dia tunggal, jauh, tinggi, perkasa, agung, berkuasa dan Dia maharaja. Dia tidak kita nampak kerana terlalu jauh daripada kita. Sejauh mana besarnya alam ciptaan-Nya.
Dari itulah Dia mengajar kita bagaimana Dia ciptakan apa jua ciptaan-Nya agar kita tahu wujudnya kuasa di sebalik setiap segalanya.
Dialah Allah, Pencipta bagi kita. Dia wujud dengan cara-Nya, tidak seperti, tidak sama, tidak sebanding dan tidak setara akan wujudnya kita.
Dialah Allah yang memperkenalkan wujudnya Kuasa. Dia yang mesti dijadikan segala punca dan kita cuma perlu percaya kerana kita hidup di dunia hanya untuk disesatkan agar kita kembali kepada Dia dengan sebenar-benarnya. Allah, itulah Dia.
MALIK
Kita di dunia selalu suka untuk berkuasa. Kita mahu memiliki keupayaan atas setiap perkara. Ia bukan kehendak semata-mata, tetapi ia adalah fitrah kejadian kita.
Kita suka makan dan kita perlu makan. Dari hal itu kita mengawal tangan untuk mencedok, membubuh kuah, menggaul dan menyuap ke mulut. Kita mengawal tangan kita. Kitalah malik bagi tangan kita.
Jika kita suka berjalan, kita akan bersiap dengan pakaian lalu kita keluar melangkah. Pergi ke mana-mana destinasi yang kita suka. Kita kawal kaki kita. Kitalah malik bagi kaki kita.
Jika kita suka menonton cerita, kita ambil remote televisyen, kita buka dan pilih channel yang kita suka. Kita yang kawal cahaya yang masuk ke mata kita. Kitalah malik bagi mata kita.
Cahaya boleh terlalu gelap, cahaya boleh terlalu terang. Kitalah yang mengawal kelopak mata, agar jumlah cahaya masuk ke dalam retina, tidak terlalu terang juga tidak terlalu kelam. Kitalah malik bagi kelopak mata kita.
Kita suka menghidu aroma wangi-wangian yang menyedapkan. Kita memilih minyak wangi, kita juga memilih untuk mencium bunga yang kita suka di taman. Kita berjumpa aroma yang kita suka, kita melarikan diri dari aroma yang kita tak suka. Kitalah malik bagi hidung kita.
Apa sahaja yang kita mampu kawal, kita akan cuba untuk kawal. Itu sifat malik yang Pencipta kita letak pada ciptaan-Nya, iaitu kita.
Kita adalah sebuah alam. Ada yang kita kawal, ada yang tak mampu kita kawal. Setiap yang kita kawal, kitalah yang berkuasa, kita tinggi, kita jauh, kita wangi, kita kuat, kita cantik dan kita urus diri kita sehendak dan semahu kita. Jadi kitalah al-Malik, raja bagi diri kita.
Namun kadangkala dalam kita kuat, kita menjadi lemah apabila kita sakit. Rupanya kita tiada kawalan ke atas demam dan sakit. Rupanya ada satu lagi kuasa dalam diri kita iaitu al-Malik, Allah, Pencipta bagi kita. Tuhan Allah yang pernah kita tahu Dia istiwa' luar dari ciptaan-Nya rupanya ada dalam kita. Dia yang kawal antibodi. Dia yang kawal diri kita agar sembuh seperti sedia kala.
Kita semakin dewasa lalu berkehendak kepada pasangan pula. Kita mahu yang kita suka, indah di mata kita, cantik dan sempurna ikut tanggapan kita. Tetapi bukan semua yang kita mahu kita dapat segalanya. Dia yang aturkan kita, pilih yang sesuai dan cocok bagi kita. Kita malik tetapi Dia juga Malik yang lagi berkuasa mengatur jodoh dan pertemuan kita.
Apabila kita di jalan raya. Kita mahu sampai cepat ke destinasi kita. Kita tekan pedal minyak kereta, ia meluncur lebih laju daripada kadar biasa. Enjin berderum agar kita lebih cepat sampai kerana kita tahu, jarak masa akan lebih cepat jika kita tambah halaju kita. Namun sampai atau tidak bukan kuasa kita. Kita malik yang mengawal kaki kita dan halaju kereta. Tetapi ada al-Malik yang lagi berkuasa menentukan kita sampai atau kita tergendala.
Sampai satu masa kita makin menua. Wajah kita bertambah garis-garis menandakan kita makin berusia. Lutut kita makin sakit menandakan sendi dan otot makin kurang daya upaya. Kehendak kita sebagai malik itu ada tapi Allah al-Malik menarik sedikit demi sedikit keupayaan malik kita.
Sampai satu masa kita sudah terbaring di katil hanya mampu melihat jam dan menghitung masa. Mata boleh melihat, tetapi hendak pejam dan buka belum tentu ada daya. Nafas ada tetapi tidak cukup oksigen hingga perlu tangki oksigen tambahan juga. Paru-paru ada, hirup udara tapi bernafas yang tidak lega. Kita malik tapi kita sudah bukan raja, Dia Malik, kita pula makin sedar diri kita, ada al-Malik yang lebih berkuasa dari kita.
Barulah kita tahu, kita malik dan raja bagi diri kita. Tapi kita mesti patuh kepada Raja yang lebih berkuasa. Raja yang merupakan Tuhan Allah, Pencipta kita yang melantik kita menjadi malik yang sementara untuk mengurus jasad semasa kita di dunia setakat mana diamanahkan kepada kita. Kita rasa kita berkuasa tapi ada kuasa atas kuasa.
Sampai satu masa hanya tinggal kita dan dunia kita. Kita keseorangan juga bila kita di hujung nyawa baru kita tahu selepas kita kehilangan kawalan anggota rupanya ada satu lagi kuasa. Tidak nampak di mata kita tapi wujudnya ada.
RABB
Rupanya ada satu lagi kuasa. Kita tidak sedar tetapi kita boleh berfikir dengan kuasa yang ada pada kita.
Dahulu ketika kita dalam perut ibu kita, kita telah berjanji kepada-Nya tetapi kita telah lupa. Dia membimbing kita dari sel sperma hingga menjadi bayi lengkap anggota.
Ketika dalam rahim ibu kita, mak kita adalah malik bagi kita. Apa yang dia makan kita turut merasa, apa yang dia minum kita turut mencuba. Setiap nafas ibu kita adalah nafas kita.
Waktu itu kita suci, Dia dalam perut kita yang menemani kita. Dialah kuasa itu, Pencipta kita yang wujud ketika kita ke dunia belum tentu terjamin bagi kita. Dia Rabb yang berikan kita nyawa. Kerana Dia kita hidup dalam perut ibu kita.
Cukup masa kita lahir ke dunia. Sekali hidung kita menyedut udara, paru-paru kita mula terbuka, kita kenal erti nafas, lalu menangislah kita.
Kita menangis kerana dua perkara. Dahulu kita ada Dia, Rabb bagi kita dan Dia telah mengikat janji dengan kita. Namun setelah menghirup oksigen kali pertama kita kehilangan Dia. Lalu menangislah kita kali pertama. Kita menangis juga kerana kita tiada daya dan upaya. Semuanya atas ibu bapa kita.
Ibu bapa kita lah yang menjaga kita. Merekalah malik bagi kita. Allah al-Malik juga menjaga kita dalam apa yang ibu bapa kita tak boleh jaga. Allahlah sebenarnya Malik bagi kita.
Sampai suatu ketika Malik perlahan-lahan memberikan kita kuasa. Tangan dan kaki kita sudah boleh digerakkan. Kita dari merangkak, bertatih dan berjalan. Dunia kita semakin besar jauh berbanding dalam rahim ibu kita.
Ibu kita dan ayah kita adalah Rabb bagi kita. Merekalah yang mencorakkan kita untuk ikut mereka atau ikut kehendak kita. Merekalah yang mencorakkan kita dari putih hingga bercahaya. Dari kita tidak tahu apa-apa hingga kita pandai membeza.
Sampai masa sampai ketika, cukup umur baligh kita. Dahulunya semua tanggungjawab ibu bapa kita. Selepas itu semua kita yang bertanggungjawab atas perbuatan kita. Ibu ayah kita masih Rabb kita tapi kita lebih bebas memilih untuk lakukan apa sahaja kita suka.
Dahulu ibu ayah adalah malik bagi kita, sekarang kita lebih berkuasa, kita pula malik bagi kita sendiri.
Namun Rabb yang pernah kita berjanji dalam rahim ibu kita ketika Dia memberikan kita nyawa, tidak pernah membiarkan kita bersendirian. Selepas kita lepas dari tanggungjawab ibu bapa, dalam hati kita hanya ada kita dan Dia. Dialah Rabb kita yang memandang kita sepanjang masa.
Setiap yang kita buat Dia ada. Setiap yang kita lakukan Dia ada. Semua yang kita mahukan Dia tahu.
Sebenarnya Dia adalah Raja yang bertakhta dalam diri kita, beristana di singgahsana qalbu kita. Namun Dia yang telah memberikan kita kuasa biarkan kita menjadi malik menguasai diri kita sesuka-suka kita.
Kita barangkali lupa, setiap malam Dia mengambil nyawa kita, lalu paginya Dia mengembalikan semula. Kita kembali menjadi malik yang berkuasa atas diri kita dan berkuasa untuk menikmati dunia. Dia tetap ada kerana Dia Rabb dalam diri kita.
Sampai satu masa, kita akan merasa kosong. Kita mungkin ada segalanya yang dicintai di dunia. Kita ada keluarga, kereta dan harta benda. Tapi kita kosong, jiwa kita tiada makna. Jika itu berlaku maka itu tandanya Rabb kita masih sayang kita.
Duduk merenung diri tengok ke dalam dada carilah Dia. Bermonologlah dengan Dia nanti kita akan jumpa banyak suara. Dia tiada yang lain hanya satu bila yang lain sudah tiada.
Untuk mentiadakan diri kita bukan kerja yang senang bukan kerja sehari dua. Kita adalah raja bagi diri kita, sungguh susah untuk lepaskan mahkota menjadi rakyat jelata dan hamba sahaya. Tiada jalan lain bagi kita melainkan tundukkan kepala, muka lebih rendah dari dada.
Ulanglah berkali-kali sehingga sudah tidak kenal kuantiti, sudah tidak mahu menghitung dan mengira. Lakukan semahunya sehingga sudah tidak pernah memikirkan pahala.
Dunia dijaga, kita al-Malik tetap raja. Tapi dengan orang kita tetap menjaga hubungan kita. Kita nampak setiap orang sekeliling kita. Kita kenal nama mereka setiap dari saudara dan rakan sekeliling kita. Namun jika kita masih nampak manusia dalam mereka maka kita takkan nampak Rabb dalam diri kita dan dalam diri mereka.
Kita mesti tahu, sedar dan percaya, mereka sebuah alam dan mereka juga raja bagi diri mereka. Namun dalam diri mereka ada Rabb, Allah bagi diri kita semua. Maka kita mesti memandang mereka, nampak memang mereka manusia, tapi juga nampak Allah yang mengatur mereka.
Jika di luar kita nampak semuanya Allah, al-Malik dan Rabb bagi kita dan bagi mereka, maka tengok ke dalam diri kita, kita akan mula nampak cahaya.
Rupanya Dia tak pernah jauh dari kita tetapi sejak kita menangis kali pertama di dunia, ada ribuan hijab memisahkan kita dengan Dia. Dia lebih dekat dari urat leher kita.
Jika sepanjang hidup kita, kita mampu menyelak sehelai demi sehelai hijab yang memisahkan kita dengan Rabb kita, maka kita akan menjadi orang yang paling berjaya. Orang yang bertemu dengan Rabb kita semasa kita masih hidup di dunia.
Akan sampai masa Dia ingin mengambil nyawa kita setelah tamat ujian kita di dunia. Maka apabila hanya tinggal kita dan Dia tatkala sakarat pada seluruh jasad dan ruh kita, maka pasti kita akan redha. Kerana kita telah bertemu dengan Rabb kita di dunia.
Dia akan bertemu kita, membimbing kita untuk meninggal dunia. Bertukar alam dari insan ke alam kubur pula.
Jadi sepanjang kita berada di dunia. Carilah Rabb kita bukan sekadar tahu sekadar dan sedar Dia ada. Carilah sedaya upaya kita agar kita dapat bertemu dengan-Nya dan Dia berkalam pula kepada kita. Kalam-Nya yang seluruh pokok dijadikan pena seluruh laut dijadikan tinta.
Lalu kita bersatu dengan-Nya, nafas Dia nafas kita, kalam-Nya kalam kita, redha-Nya redha kita, perbuatan-Nya perbuatan kita. Tapi kita sedar sesedar-sedarnya, Dia Malik dan Raja, kita cuma hamba dan abdi yang taat kepada-Nya. Dia Allah Pencipta kita, kita Malik yang tiada kuasa. Dia dalam diri kita, Dialah Rabb pendidik bagi kita.
ILAH
Setiap hari setiap masa khususnya ketika orang tidur kita kena berjaga. Jadikan kita hamba yang tertib menyusun langkah dan sembah semata-mata untuk bertasyahud kepada-Nya dari berdiri, niat, rukuk, iktidal, sujud hingga duduk menghadap Dia dengan muka lebih rendah dari dada.
Ia adalah rukun untuk kita berbicara kepada-Nya. Bangunlah kita lalu kita mengucapkan Attahiyatul mubarokatus salawatu ttoyyibatulillah. Ucapan kita kepada Raja segala raja sepertimana nabi kita mengucapkan kepada Dia tatkala berjumpa dengan-Nya di atas sana. Sesungguhnya segala penghormatan, pengagungan, selawat dan toyyib hanyalah berpusat kepada-Nya, Allah iaitu Ilah bagi kita.
Berselawatlah kita kepada junjungan mulia. As-salamu 'alaika ayyuhan-nabiyyu wa rahmatullahi wa barakatuh. Selawat atasmu wahai nabi yang dirahmati dan diberkati Allah. Kasihnya kita kepada nabi kerana Dia kekasih Allah. Sayangnya Allah kepada kita jika kita mengasihi kekasih-Nya.
Ucapkanlah Assalāmu ‘alainā wa ‘alā ‘ibādillāhis-sōliḥīn. Kesejahteraan atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Diri kita sebuah alam. Kita khalifah dan malik kepada diri kita tetapi kita bersujud bersama-sama kepada Rabb. Alam diri kita akan aman damai jika kita memimpin alam ini kepada kesejahteraan dan keselamatan.
Lalu bersaksilah kita kepada Allah. Ashhadu an lā ilāha illallāh. Aku bersaksi bahawa tiada ilah selain Allah. Aku bersaksi akan wujud-Nya Allah yang istiwa' di atas sana. Aku juga bersaksi akan wujudnya Allah pada sekalian alam semesta dan diriku sebagai al-Malik. Aku juga bersaksi Dialah Rabb yang membimbing aku sehingga aku mengilahkan diri-Nya selayak-layak bagi Dia dan sesuai tempat sebagai hamba bagi aku.
Kita hamba Dia yang Raja. Kita dimiliki Dia yang memiliki. Kita diperintah Dia yang memerintah. Kita meminta Dia yang memberi. Kita bersalah Dia yang mengampuni. Kita lemah Dia yang berkuasa.
Sembahlah Dia, Dia Ilah kita. Tak sembah Dia yang rugi kita, bukan Dia. Dia tetap Raja walaupun kita tidak sujud padaNya. Dia tetap Malik walaupun kita berlagak memiliki dunia. Dia tetap Rabb walaupun kita melarikan diri dari didikan-Nya nak ikut kepala kita. Dia tetap Ilah walaupun kita tidak menyembah diriNya.
Kita tetap hamba walau kita berlagak macam raja. Kita tetap makhluk walau kita mendabik dada. Kita tetap lemah walau kita menghimpun segala kuasa. Kita tetap akan kembali kepada Nya walau kita terlupa jalan pulang kepada Dia.
Balas kepada: