HAKIKAT SELAWAT: AMALAN YANG PASTI SAMPAI, MERENTAS ALAM DENGAN KUASA RABB
🌿 Selawat bukan sekadar lafaz mulut. Ia adalah penghantaran hadiah dari makhluk fana kepada kekasih Allah di alam barzakh, melalui penghantaran Rabb yang dijamin sampai.
1. Selawat: Amalan Yang Tidak Ditolak
Antara ribuan amalan yang kita lakukan setiap hari dari solat, zikir, doa, puasa, infak dan sebagainya, hanya ada satu amalan yang disebut Allah SWT secara langsung menyatakan bahawa Dia sendiri dan para malaikat turut lakukannya:
إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّ ۚ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ صَلُّوا۟ عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًا
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu kepadanya dan ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”
Surah Al-Ahzab, 33:56
Ini bukan hanya perintah, tetapi satu realiti yang sedang berlaku bahawa Allah dan para malaikat berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W dan kita diperintah untuk turut serta dalam sistem tersebut.
2. Mengapa Selawat Lebih Tinggi Dari Pujian Kepada Allah?
Persoalan ini mungkin mengejutkan kita semua: Bukankah memuji Allah lebih utama dari menyebut manusia?
Tetapi hakikat selawat bukan tentang kita memuji makhluk tetapi tentang kita mengikuti dan menyertai satu sistem penghormatan yang ditetapkan, di mana Allah sendiri memulakan selawat, dan kita diminta menyertainya.
مَن صَلَّى عَلَيَّ وَاحِدَةً، صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْرًا
"Barangsiapa berselawat kepadaku sekali, Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali."
Zikir atau doa mungkin ditolak kerana kita yang melakukannya. Tetapi selawat pasti diterima, kerana yang menyampaikan hadiah itu bukan kita tetapi Allah sendiri.
3. Apa Mekanisma Selawat? Siapa Yang Sampaikan?
Kita berada di alam dunia sedangkan Rasulullah S.A.W telah berpindah ke alam barzakh, sebagaimana ayat:
إِنَّكَ مَيِّتٌ وَإِنَّهُم مَّيِّتُونَ
“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati.”
Surah Az-Zumar, 39:30
Apabila kita berselawat, apakah mekanisme penyampaian hadiah ini merentas alam?
Jawapannya:
Hanya Allah, sebagai Rabbul ‘Alamin, boleh menghantar hadiah antara alam.
ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ
“Segala puji bagi Allah, Tuhan (Rabb) sekalian alam.”
Surah Al-Fatihah, 1:2
Apa itu “Al-‘Alamin”?
Ramai menyangka ia bermaksud “semua makhluk” atau “alam semesta”. Tapi hakikatnya:
-
‘Alamin berasal dari kata dasar عَلَم (alam) yakni alam yang memiliki tanda, sistem atau kod tertentu.
-
Bermaksud: Alam-alam makhluk yang berlapis-lapis, termasuk dunia, barzakh, malakut, langit, dan ruh.
Dan Allah adalah Rabb kepada SEMUA alam ini.
✴️ Tambahan dalil penegas dari Surah Ar-Rahman:
يَـٰمَعْشَرَ ٱلْجِنِّ وَٱلْإِنسِ إِنِ ٱسْتَطَعْتُمْ أَن تَنفُذُوا۟ مِنْ أَقْطَارِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ فَٱنفُذُوا۟ ۚ لَا تَنفُذُونَ إِلَّا بِسُلْطَـٰنٍ
“Wahai golongan jin dan manusia! Jika kamu mampu menembus (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka tembuslah. Tetapi kamu tidak akan dapat menembusnya melainkan dengan kuasa (sulṭān).”
Surah Ar-Rahman, 55:33
❗ Penjelasan:
Ayat ini menegaskan bahawa manusia dan jin tidak boleh menembus dimensi atau alam lain, melainkan dengan sulṭān, yakni kuasa izin mutlak dan hanya Allah, sebagai Rabb, yang memilikinya.
Maka, apabila kita hendak menyampaikan selawat atau hadiah Fatihah kepada Rasulullah S.A.W di alam barzakh, kita tidak mampu melakukannya sendiri.
Kita hanya boleh memohon kepada Allah iaitu Rabb untuk menyampaikan.
4. Siapa Rabb Ini dan Apa Peranannya Dalam Selawat?
Perkataan Rabb bukan bermakna Tuhan dalam makna umum semata-mata. Rabb bermaksud:
-
Yang mengasuh, mendidik, memimpin, mengurus seluruh penciptaan.
-
Yang menghubungkan antara alam dengan sistem yang sempurna.
Sebagaimana dalam Surah An-Naas:
قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ
“Katakanlah: Aku berlindung kepada Rabb manusia.”
Surah An-Naas, 114:1
Allah adalah Rabbin Nas. Dialah pendengar hajat-hajat kita, pemimpin kita ke jalan yang lurus (Sirat al-Mustaqim) dan penghubung antara roh dan jasad, antara dunia dan barzakh.
5. Maka Siapa Sebenarnya Yang Berselawat?
Perhatikan betul-betul ayat:
إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّ...
Yang berselawat itu bukan kita, tetapi Allah dan para malaikat-Nya.
Kita hanya berkata:
اللهم صل على محمد
"Ya Allah, berselawatlah ke atas Muhammad."
Maka siapa yang berselawat? Rabb. Apabila kita satu kali berselawat kepada Nabi Muhammad S.A.W, Rabb berselawat sepuluh kali kepada kita (Riwayat Muslim 408). Apabila Rabb berselawat, para malaikat pun turut serta berselawat. Maka seluruh sistem qalbu dalam diri kita bergerak menghormati baginda Rasulullah S.A.W, atas permintaan seorang hamba yang mengasihi melalui Rabb kepada kekasih Allah, Nabi Muhammad S.A.W.
6. Selawat: Bukti Hubungan Ruhani yang Nyata
Rasulullah S.A.W bersabda:
"أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلاَةِ فَإِنَّ صَلاَتَكُمْ تُعْرَضُ عَلَيَّ"
"Perbanyakkanlah selawat kepadaku, kerana selawat kamu akan diperlihatkan kepadaku."
Baginda sudah wafat. Maka siapa yang memperlihatkan? Allah.
Tiada posmen, tiada gelombang radio, tiada teknologi. Hanya Rabb yang menguruskan segala penyampaian antara alam, melalui sistem yang tak dapat dijangkau akal manusia.
7. Kesimpulan: Selawat Itu Hadiah Rohani Paling Berkuasa
Setiap kali anda berselawat, anda:
-
Mengaktifkan sistem qalbu anda ke tahap yang tinggi.
-
Memohon kepada Rabb untuk menyampaikan hadiah ke alam barzakh.
-
Menyertai Allah dan para malaikat dalam penghormatan kepada kekasih-Nya.
Dan inilah yang disebut dalam ayat:
صَلُّوا۟ عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًا
“Berselawatlah ke atasnya dan ucapkanlah salam penghormatan sepenuhnya.”
Al-Ahzab: 56
Penutup:
🌹 Selawat bukan sekadar rutin. Ia adalah ekspresi cinta, jambatan jiwa dan penghormatan yang menyambung antara dua alam berbeza. Jadilah antara mereka yang baginda kenali di Mahsyar, kerana sering mengutuskan hadiah cinta dari dunia fana ke alam kekal.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
Sudah tahu hakikat selawat? Sebarkan kepada yang belum tahu.
Kerana mungkin satu selawat anda, akan menjadi sebab anda dikenali oleh Rasulullah S.A.W nanti.
Balas kepada: