Diri

MAKRIFATULLAH DAN UJIAN TANPA NOKTAH: SEBUAH CATATAN PERJALANAN ROHANI

April 18, 2025 1530 5
Completed
Anggaran masa membaca
4 minit 59 saat

Makrifatullah dan Ujian Tanpa Noktah: Sebuah Catatan Perjalanan Rohani

Pendahuluan: Untuk Anda yang Masih Bertahan

Pernah tak anda rasa hidup ini macam tak berhenti menguji?
Sakit datang silih berganti.
Rezeki datang, tapi hilang sekelip mata.
Doa terasa seperti tak menembusi langit.
Dan dalam diam, anda mula tertanya, adakah ini semua tanda Rabb sedang menjauh?

Tidak.
Mungkin… inilah jemputan paling halus daripada-Nya.
Jemputan untuk benar-benar mengenal siapa Tuhan anda dan siapa diri anda yang sebenar.

Tulisan ini bukan teori. Ia adalah catatan hidup.
Untuk anda yang sedang dihancurkan tapi masih memilih untuk percaya.


1. Permulaan Perjalanan: Bila Jiwa Digerakkan Tanpa Emosi

Saya melalui jalan kurniaan sebelum mujahadah. Setiap pengalaman saya catat dan renungkan. Pelbagai teknik saya cuba, sehingga satu hari saya sedar bahawa saya tidak memiliki emosi.

Saya hanya baru mula merasai emosi. Dari segi perkembangan emosi, saya seperti bayi. Jadi, jika saya kelihatan tidak sensitif atau terlalu tenang, maafkan saya. Jika saya memiliki emosi sejak awal, mungkin saya sudah lama hancur ketika ujian datang bertubi-tubi.

Ujian paling sukar bagi saya ialah ujian emosi. Saya gagal menempuhnya sebanyak tiga kali. Untuk menguasainya, saya perlukan 14 tahun. Tapi saya percaya, jika anda benar-benar faham jalan ini, anda boleh melaluinya jauh lebih cepat… asalkan anda bersungguh menuju Allah.


2. Pencarian Jati Diri dan Garisan Ujian

Ramai orang memulakan perjalanan makrifat dengan pencarian asal-usul. Anda ingin tahu keturunan siapa anda. Jika keturunan Nabi, anda rasa lega. Jika tidak, anda mungkin kecewa.

Tapi lihatlah Saidina Ali. Beliau bukan anak Nabi, tetapi beliau dimuliakan Allah.

Di Nusantara, ramai keturunan Nabi Muhammad SAW, Nabi Daud AS, dan keturunan para wali serta pendekar. Tapi ingat ini:

Ujian Allah datang mengikut "garisan" masing-masing.
(Jalan takdir berdasarkan latar keturunan, kemampuan, dan peranan rohani seseorang)

Kalau anda seorang jurutera, ujian anda mungkin dalam logik dan sains.
Kalau tiba-tiba anda ada kemampuan silat ghaib, mengubat orang, melihat makhluk, itu juga ujian.
Bukan kurniaan mutlak.

Istilah yang sering disebut: leluhur.
Namun jika niat anda adalah menuju Allah, tinggalkan semua itu.


3. Meninggalkan Kesenangan Duniawi

Nak kenal Allah? Maka anda perlu tanya:

“Sanggupkah aku tinggalkan segala kelebihan dunia yang aku miliki… jika itu syarat untuk lebih dekat kepada-Nya?”

Kalau jawapannya tidak, maka perjalanan anda masih jauh.

Sama ada anda ada bakat menyanyi, menyembuhkan orang, menulis, bersyarah atau menyusun strategi pelaburan, satu hari anda akan diuji dengan pertanyaan ini:

“Sanggupkah anda hilang semuanya, demi Allah?”

Dan anda akan tahu bahawa makrifatullah bukan jalan untuk mencari kelebihan. Ia adalah jalan untuk melepaskan segala kelebihan, agar hati jadi kosong… supaya hanya Allah yang memenuhi.

Perkara fardhu, sunat, haram, dan makruh tetap wajib dijaga. Perjalanan makrifat tidak membatalkan syariat.


4. Ilmu dan Bahaya Kesombongan

Ilmu juga satu ujian.
Lagi banyak kita tahu, lagi besar risiko sombong.

Saya pernah terfikir, bila pensyarah saya sendiri belajar dengan saya, saya mula rasa lebih tinggi.
Dan saat itu… saya jatuh.

Makrifatullah bukan tentang menghafal falsafah, bukan tentang berguru dengan tokoh hebat.
Kadang-kadang, lebih baik kita "lupa" apa yang kita tahu, agar hati boleh kembali mendengar.

Ilmu yang tak menyucikan hati hanyalah beban, bukan cahaya.

Allah uji kita bukan untuk kita jadi sesiapa, tapi supaya kita melihat siapa Dia.


5. Fasa Ujian yang Berat

Semakin dekat dengan Allah, ujian semakin pelik dan berat.

  • Sakit yang tak henti

  • Sihir yang berulang-ulang

  • Kehilangan yang datang berturut-turut

  • Kekayaan yang mencurigakan

  • Godaan yang tak masuk akal

  • Kehilangan keperluan asas

Pernah tak korang tanya,
“Kenapa aku?”
“Kenapa lagi dan lagi?”
“Kenapa benda yang sama datang semula?”

“Aduiiih...letih!”

Kadang semua datang sekaligus. Korang akan rasa… hidup ini tidak adil.

Tapi sebenarnya, inilah titik perubahan.

💡 Allah mahu korang menyerah. Bukan kalah. Tapi berserah penuh dan reda dengan apa pun yang berlaku.


6. Titik Redha dan Penyerahan Diri

Akan tiba satu tahap anda berhenti berharap pada manusia.
Anda tidak lagi tunggu doa dimakbulkan.
Anda hanya ingin Allah walau hidup anda makin kosong.

Ini bukan putus asa. Ini reda.

Reda (الرضا): Bukan hanya menerima. Tapi melihat semua yang berlaku sebagai keindahan dari Tuhan yang anda cinta.

Dan bila anda capai tahap ini, anda akan rasa aneh dan dunia mula tunduk, tapi anda tak lagi kejar.

Anda tahu ini bukan destinasi. Ini hanya rehat sebentar sebelum ujian berikutnya.


7. Bila Ujian Datang Semula — Tapi Anda Sudah Berbeza

Ujian tidak berhenti. Tapi diri anda sudah lain.

Kalau dulu sihir datang sekali, kini ia datang bertubi.
Kalau dulu anda hilang sedikit harta, kini anda hilang semua.

Namun kali ini, anda tidak menangis kerana dunia.
Anda hanya risau “Adakah aku masih dalam redha-Nya?”

🔁 Ujian berulang bukan hukuman. Ia adalah tanda anda sedang mendaki lebih tinggi.


8. Tahap Ladunni dan Hakikat

Bila anda sudah melalui semuanya dan hidup hanya tinggal Allah barulah Rabb akan memperkenalkan Diri-Nya kepada anda.

Anda mula dengar suara dalam diri.
Tapi bukan semua suara itu benar.
Anda perlu belajar mengenal suara Rabb, bukan bisikan hawa.

Ladunni (لدني): Ilmu yang Allah tanam terus ke dalam hati bukan melalui pembacaan, tapi melalui penyucian jiwa.

Namun awas, semakin tinggi tahap anda, semakin berat dosa kecil anda.
Dan andai anda tersalah niat, semua akan diulang dari awal.

Ancaman paling besar pada tahap ini: keinginan untuk mengajar, berkongsi, atau menjadi guru.
Kerana itu membawa kepada ego, bukan kepada hakikat.

Sepatutnya pada tahap ini, seseorang berusaha untuk lebih banyak berdiam diri. Bukan kerana tidak tahu, tetapi kerana terlalu sedar betapa besar tanggungjawab ilmu.

Lebih baik fokus kepada kearaban (kedekatan batin) dengan Rabb — mengukuhkan hubungan tanpa suara, menyembunyikan rasa agar tidak ternoda oleh pujian dan pengiktirafan manusia.


9. Penutup: Perjalanan Ini Tidak Pernah Tamat

Makrifatullah bukan untuk anda yang sekadar mahu tahu.
Ia untuk anda yang sanggup dihancurkan dan dibina semula oleh Rabb.

Semakin anda kenal Allah, semakin anda diuji.
Dan bila semua hancur, nama, gelaran, ilmu, kekuatan...
Hanya Allah yang tinggal.

Dan itu… barulah permulaan sebenar dan ia akan sentiasa berulang.


🌿 Renungan Buat Anda yang Masih Bertahan:

Kalau hidup anda penuh ujian, jangan lari.
Mungkin itu bukan bencana.
Mungkin itu adalah jemputan dari Rabb yang sangat rindu untuk anda benar-benar mengenal-Nya.

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (5):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.