Anbiya'-Centric

KEDAH TUA WUJUD SEBELUM NABI IBRAHIM (NAMA SEBENAR KEDAH TUA)

Mei 17, 2026 326 0
Completed
Anggaran masa membaca
23 minit 13 saat

Kedah Tua Wujud Sebelum Nabi Ibrahim

(Nama Sebenar Kedah Tua)


Mukadimah

Apa yang akan ditulis dalam artikel ini mungkin satu perkara yang baru bagi sebahagian pembaca. Mungkin juga ia sukar untuk diterima pada bacaan pertama, kerana selama ini nama Kedah Tua sudah terlalu lama difahami sebagai Kedah Lama, Kedah Purba atau Old Kedah.

Namun apabila kita kembali kepada al-Quran, khususnya kepada istilah yang Allah sendiri gunakan dalam kisah para nabi, kita akan melihat bahawa nama Kedah Tua bukan sekadar nama sejarah tempatan. Ia bukan sekadar istilah arkeologi. Ia bukan sekadar nama kerajaan lama di utara Semenanjung.

Anda mesti ragu-ragu, bukan? Sebelum ini saya sudah sebutkan Melaka ada dalam Al-Quran. Kali ini Kedah Tua pula.

Pada pendirian saya, nama Kedah Tua berasal daripada lafaz al-Quran:

ٱلْوَادِ ٱلْمُقَدَّسِ طُوًى
al-wādī al-muqaddasi Ṭuwā
“lembah yang disucikan, Ṭuwā.”

Saya tak mahu anda anggap dakwaan ini main-main. Jadi, mari kita bersama-sama memastikan istilah Kedah Tua diteliti dengan lebih mendalam. Ia tidak boleh difahami sebagai Old Kedah semata-mata, tidak boleh disempitkan kepada istilah arkeologi semata-mata dan tidak boleh dilihat hanya melalui ejaan moden. Sebaliknya, Kedah Tua perlu ditelusuri melalui rangkaian nama tempat yang Allah sendiri perkenalkan dalam al-Quran.

Perkara ini mungkin berat untuk diterima oleh sesetengah orang. Namun jika ia benar, implikasinya sangat besar. Ini bermaksud al-Quran bukan sahaja menyimpan kisah para nabi dalam bentuk cerita, tetapi turut menyimpan nama-nama tempat yang boleh dikesan kembali melalui bahasa, loghat, bunyi dan warisan lisan setempat.

Lebih besar daripada itu, ia membuka pintu bahawa jejak para nabi bukan hanya perlu dicari melalui peta yang diwarisi daripada sejarah arus perdana. Jejak itu perlu dicari melalui nama yang Allah perkenalkan dalam al-Quran.

Jika kita mengikuti nama-nama yang Allah sendiri gunakan, maka jejak Nabi Ibrahim a.s., Nabi Luth a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Harun a.s., Nabi Daud a.s., Nabi Sulaiman a.s. dan Nabi Muhammad SAW boleh dibaca semula dalam hubungan yang lebih dekat dengan Kedah dan Tanah Melayu.

Saya tahu ini bukan dakwaan kecil. Namun ini juga bukan dakwaan yang boleh ditolak mentah-mentah hanya kerana ia tidak selari dengan kebiasaan yang sudah lama diajar.

Al-Quran adalah kitab yang terpelihara. Nama yang datang daripada al-Quran juga tidak boleh dipandang ringan. Jika sesuatu nama tempat dalam sejarah kita dapat dibaca semula melalui lafaz al-Quran, maka kewajipan kita bukan menolaknya secara tergesa-gesa, tetapi menelitinya dengan jujur ikhlas dan berfikiran terbuka.


Lafaz al-Quran Yang Menjadi Asas

Sebelum kita masuk kepada nama Kedah Tua, kita perlu melihat dahulu bagaimana al-Quran memperkenalkan tempat-tempat yang berkait dengan jejak para nabi. Sebelum membaca ayat-ayat di bawah ini, perhatikan beberapa perkara penting.

  • Al-Quran tidak hanya menyebut nama manusia, tetapi juga menyebut nama tempat.
  • Al-Quran menyebut tanah yang diberkati. Pada masa yang sama Al-Quran menyebut kawasan sekeliling yang diberkati.
  • Al-Quran menyebut lembah yang disucikan dan Al-Quran juga menyebut tempat yang diberkati.
  • Al-Quran menyebut arah perjalanan para nabi menuju kawasan yang Allah sendiri tandakan dengan bahasa barakah dan kesucian.

Maka apabila kita mahu mencari jejak para nabi, kita tidak boleh hanya bergantung kepada peta sejarah arus perdana, khususnya catatan orang luar. Kita adalah pewaris tanah ini, maka kitalah yang harus melihat tanda-tanda yang ada pada tanah kita sendiri. Lalu, kita perlu kembali kepada istilah yang Allah sendiri gunakan dalam al-Quran.

Berikut merupakan 4 lafaz utama yang perlu diperhatikan:

Teks Arab: ٱلْأَرْضِ ٱلَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا
Transliterasi: allatī bāraknā fīhā
Terjemahan: tanah yang Kami berkati di dalamnya
Sumber: Surah al-Anbiyā’ 21:71 berkaitan Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Luth a.s.; Surah al-Anbiyā’ 21:81 berkaitan Nabi Sulaiman a.s.

Teks Arab: ٱلْمَسْجِدِ ٱلْأَقْصَى ٱلَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ
Transliterasi: al-masjidi al-aqṣā alladhī bāraknā ḥawlahu
Terjemahan: al-Masjid al-Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya
Sumber: Surah al-Isrā’ 17:1 berkaitan perjalanan Isrā’ Nabi Muhammad SAW.

Teks Arab: ٱلْبُقْعَةِ ٱلْمُبَارَكَةِ
Transliterasi: al-buq‘ati al-mubārakah
Terjemahan: tempat yang diberkati
Sumber: Surah al-Qaṣaṣ 28:30 berkaitan Nabi Musa a.s. ketika diseru dari arah pohon di tempat yang diberkati.

Teks Arab: ٱلْوَادِ ٱلْمُقَدَّسِ طُوًى
Transliterasi: al-wādi al-muqaddasi Ṭuwā
Terjemahan: lembah yang disucikan, Ṭuwā
Sumber: Surah Ṭāhā 20:12 berkaitan Nabi Musa a.s. ketika Allah menyerunya; Surah an-Nāzi‘āt 79:16 juga berkaitan seruan Allah kepada Nabi Musa a.s. di lembah suci Ṭuwā.

Keempat-empat bentuk frasa di atas tidak boleh dipisahkan kerana semuanya bergerak dalam satu blok makna yang terikat, iaitu tentang:

tanah, tempat, lembah, kawasan dan arah yang Allah tandakan dengan barakah, kesucian dan pemilihan.


Asas Pertama: Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Luth a.s. Diselamatkan Ke Tanah Yang Diberkati

Ayat pertama yang perlu kita buka ialah Surah al-Anbiyā’ 21:71:

وَنَجَّيْنَـٰهُ وَلُوطًا إِلَى ٱلْأَرْضِ ٱلَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا لِلْعَـٰلَمِينَ

“Dan Kami selamatkan dia dan Luth ke tanah yang Kami berkati di dalamnya untuk sekalian alam.”

Ayat ini sangat penting. Allah tidak sekadar menyebut bahawa Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Luth a.s. diselamatkan. Allah menyebut arah penyelamatan itu adalah ke:

إِلَى ٱلْأَرْضِ

ke tanah itu

Tanah itu pula bukan tanah biasa. Allah menyifatkan tanah itu sebagai:

ٱلَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا

yang Kami berkati di dalamnya

Ini menunjukkan bahawa jejak Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Luth a.s. perlu dicari pada tanah yang Allah tandakan sebagai tanah yang memiliki barakah. Barakah tidak sama dengan rahmah. Barakah melibatkan pemeriksaan fizikal.

Tanah yang kita cari bukan sekadar tanah yang dinamakan oleh manusia. Ia bukan sekadar lokasi yang diwariskan oleh politik kemudian. Ia juga bukan semata-mata berdasarkan tradisi sejarah yang sudah dibentuk berabad-abad selepas para nabi.

Asas Quraniknya dalam ayat ini jelas:

Ibrahim dan Luth bergerak menuju tanah yang diberkati.

Maka apabila kita membincangkan Kedah Tua sebagai Muqaddasi Ṭuwā, kita sebenarnya sedang membuka semula kemungkinan bahawa tanah barakah yang disebut al-Quran mempunyai hubungan yang jauh lebih luas daripada tanggapan biasa.


Asas Kedua: Nabi Musa a.s. Dipanggil Di Lembah Yang Disucikan, Ṭuwā

Asas Kedua terdiri daripada dua ayat. Ayat utama ialah Surah Ṭāhā 20:12:

إِنِّيٓ أَنَا۠ رَبُّكَ فَٱخْلَعْ نَعْلَيْكَ ۖ إِنَّكَ بِٱلْوَادِ ٱلْمُقَدَّسِ طُوًى

“Sesungguhnya Aku ialah Rabbmu. Maka tanggalkanlah kedua sandalmu. Sesungguhnya engkau berada di lembah yang disucikan, Ṭuwā.”

Ayat kedua pula ialah Surah an-Nāzi‘āt 79:16:

إِذْ نَادَىٰهُ رَبُّهُۥ بِٱلْوَادِ ٱلْمُقَدَّسِ طُوًى

“Ketika Rabbnya menyerunya di lembah yang disucikan, Ṭuwā.”

Frasa pentingnya dalam kedua-dua ayat ini ialah:

ٱلْوَادِ ٱلْمُقَدَّسِ طُوًى

al-wādī al-muqaddasi Ṭuwā

Frasa itu terdiri daripada tiga unsur iaitu al-wādī bermaksud lembah, al-muqaddas bermaksud yang disucikan dan Ṭuwā ialah nama atau sifat khas bagi lembah itu.


Asas Ketiga: Nabi Harun a.s. Masuk Melalui Misi Yang Lahir Dari Ṭuwā

Peristiwa Ṭuwā tidak berhenti pada Nabi Musa a.s. seorang diri. Selepas Allah menyeru Nabi Musa a.s. di lembah yang disucikan itu, misi kenabian baginda terus berkembang kepada satu tugas besar, iaitu menghadapi Fir‘aun. Pada saat inilah nama Nabi Harun a.s. masuk ke dalam rangkaian peristiwa tersebut.

Nabi Harun a.s. tidak disebut sebagai orang yang berada di lembah Ṭuwā bersama Nabi Musa a.s. Namun misi Nabi Harun a.s. lahir daripada permohonan Nabi Musa a.s. selepas seruan besar di Ṭuwā. Dengan kata lain, Ṭuwā menjadi titik permulaan misi Musa dan Harun, bukan hanya pengalaman peribadi Musa.

Dalam Surah Ṭāhā, selepas Nabi Musa a.s. diseru di lembah yang disucikan, baginda memohon kepada Allah:

وَٱجْعَل لِّي وَزِيرًا مِّنْ أَهْلِي ۝ هَـٰرُونَ أَخِي ۝ ٱشْدُدْ بِهِۦٓ أَزْرِي ۝ وَأَشْرِكْهُ فِيٓ أَمْرِي

“Dan jadikanlah untukku seorang pembantu daripada keluargaku, Harun saudaraku. Kuatkanlah dengannya sokonganku. Dan sertakanlah dia dalam urusanku.”

Kemudian Allah menjawab dalam Surah Ṭāhā 20:36:

قَالَ قَدْ أُوتِيتَ سُؤْلَكَ يَـٰمُوسَىٰ

“Dia berfirman: Sesungguhnya telah diberikan kepadamu apa yang engkau minta, wahai Musa.”

Ini bermaksud, jejak Nabi Harun a.s. juga tidak boleh dipisahkan daripada misi Nabi Musa a.s. Seruan bermula di al-wādī al-muqaddasi Ṭuwā. Permintaan Musa untuk dibantu Harun telah diterima selepas itu.


Asas Keempat: Nabi Daud a.s. dan Nabi Sulaiman a.s. Dalam Rangkaian Tanah Yang Diberkati

Selepas al-Quran menyebut penyelamatan Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Luth a.s. ke tanah yang diberkati dalam Surah al-Anbiyā’ 21:71, surah yang sama kemudian menyebut Nabi Daud a.s. dan Nabi Sulaiman a.s.

Allah berfirman dalam Surah al-Anbiyā’ 21:78-79:

وَدَاوُۥدَ وَسُلَيْمَـٰنَ إِذْ يَحْكُمَانِ فِي ٱلْحَرْثِ إِذْ نَفَشَتْ فِيهِ غَنَمُ ٱلْقَوْمِ وَكُنَّا لِحُكْمِهِمْ شَـٰهِدِينَ

فَفَهَّمْنَـٰهَا سُلَيْمَـٰنَ ۚ وَكُلًّا ءَاتَيْنَا حُكْمًا وَعِلْمًا ۚ وَسَخَّرْنَا مَعَ دَاوُۥدَ ٱلْجِبَالَ يُسَبِّحْنَ وَٱلطَّيْرَ ۚ وَكُنَّا فَـٰعِلِينَ

“Dan Daud dan Sulaiman ketika kedua-duanya memberi keputusan mengenai tanaman, ketika kambing-kambing kaum itu merosakkannya pada waktu malam, dan Kami menjadi saksi terhadap keputusan mereka. Maka Kami memberikan kefahaman kepada Sulaiman tentang perkara itu. Dan kepada masing-masing Kami berikan hukum dan ilmu. Dan Kami tundukkan bersama Daud gunung-ganang bertasbih dan burung-burung. Dan Kamilah yang melakukannya.”

Kemudian dalam Surah al-Anbiyā’ 21:81, Allah menyebut Nabi Sulaiman a.s. dan angin:

وَلِسُلَيْمَـٰنَ ٱلرِّيحَ عَاصِفَةً تَجْرِي بِأَمْرِهِۦٓ إِلَى ٱلْأَرْضِ ٱلَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا ۚ وَكُنَّا بِكُلِّ شَيْءٍ عَـٰلِمِينَ

“Dan kepada Sulaiman, angin yang sangat kencang, bergerak dengan perintahnya menuju tanah yang Kami berkati di dalamnya. Dan Kami terhadap segala sesuatu Maha Mengetahui.”

Ayat ini sangat luas. Allah tidak menyebut angin Sulaiman bergerak secara biasa tetapi Allah menyebut arah gerakannya:

إِلَى ٱلْأَرْضِ ٱلَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا

menuju tanah yang Kami berkati di dalamnya

Ini juga ayat yang sangat penting untuk membaca hubungan Nabi Sulaiman a.s. dengan tanah barakah. Jika Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Luth a.s. diselamatkan ke tanah yang diberkati, maka Nabi Sulaiman a.s. pula diberikan angin yang bergerak menuju tanah yang diberkati.

Maka istilah al-ard allati bāraknā fīhā menjadi lafaz yang sangat signifikan skopnya. Ia menjadi titik penghubung antara Ibrahim, Luth dan Sulaiman. Ia dijelaskan lagi dalam YaSin 36:13 hingga 31.

Maka apabila kita mengkaji Kedah Tua sebagai Muqaddasi Ṭuwā, kita tidak boleh memisahkannya daripada rangkaian ini kerana Kedah Tua berada dalam perbincangan besar tentang tanah berkat, lembah suci, tempat pilihan dan jejak para nabi.


Asas Kelima: Nabi Muhammad SAW dan Masjid al-Aqsa Yang Diberkati Sekelilingnya

Kemudian al-Quran menyebut perjalanan Nabi Muhammad SAW dalam Surah al-Isrā’ 17:1:

سُبْحَـٰنَ ٱلَّذِيٓ أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِۦ لَيْلًا مِّنَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ إِلَى ٱلْمَسْجِدِ ٱلْأَقْصَا ٱلَّذِي بَـٰرَكْنَا حَوْلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنْ ءَايَـٰتِنَا ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ

“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam dari al-Masjid al-Haram ke al-Masjid al-Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada ayat-ayat Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

Di sini lafaznya sedikit berbeza. Untuk Ibrahim, Luth dan Sulaiman, al-Quran menyebut:

ٱلْأَرْضِ ٱلَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا

tanah yang Kami berkati di dalamnya

Untuk Nabi Muhammad SAW, al-Quran menyebut:

ٱلَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ

yang Kami berkati sekelilingnya

Walaupun kecil sahaja perbezaan perkataan, maksud sebenar bukan kecil. Bāraknā fīhā menunjuk kepada barakah di dalam tanah itu. Bāraknā ḥawlahu menunjuk kepada barakah di sekeliling pusat itu. Maka masjid, tanah, lembah dan kawasan berkat perlu dibaca sebagai satu jaringan istilah Quranik. Ini menjadikan Surah al-Isrā’ tidak boleh dipisahkan daripada Surah al-Anbiyā’ dan Surah Ṭāhā. Semua istilah ini saling mengikat dan saling membuka makna antara satu sama lain.


Rangkuman Dari Lafaz-lafaz Asas

Apabila semua lafaz ini dikumpulkan seperti di atas, kita dapat melihat satu rangkaian yang sangat jelas. Al-Quran tidak menceritakan jejak para nabi secara terpisah daripada tempat. Sebaliknya, al-Quran menghubungkan para nabi dengan tanah, lembah, tempat, masjid dan kawasan yang ditandakan oleh Allah dengan bahasa barakah dan kesucian.

Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Luth a.s. tidak hanya disebut sebagai diselamatkan. Mereka diselamatkan ke tanah yang Allah berkati di dalamnya. Ini menunjukkan bahawa arah gerakan mereka bukan arah yang rawak dalam penyelamatan diri. Ia menuju satu tanah yang telah diberi perintah dan tanda oleh Allah.

Nabi Musa a.s. pula tidak hanya dipanggil di satu tempat yang tidak dikenali. Al-Quran menyebut baginda diseru di lembah yang disucikan, Ṭuwā. Dalam Surah al-Qaṣaṣ, tempat seruan itu juga disebut sebagai al-buq‘ah al-mubārakah, iaitu tempat yang diberkati. Maka kisah Musa membawa dua perkara serentak iaitu tempat yang diberkati dan lembah yang disucikan.

Nabi Harun a.s. pula masuk melalui misi yang lahir daripada peristiwa Ṭuwā. Selepas Nabi Musa a.s. diseru di lembah yang disucikan itu, Nabi Musa a.s. memohon agar Harun dijadikan pembantu dan rakan dalam urusan kenabian. Maka Ṭuwā bukan hanya titik pengalaman Musa secara peribadi. Ia menjadi titik permulaan misi Musa dan Harun menghadapi Fir‘aun.

Nabi Daud a.s. dan Nabi Sulaiman a.s. juga berada dalam rangkaian yang sama. Dalam Surah al-Anbiyā’, selepas al-Quran menyebut tanah yang diberkati dalam kisah Ibrahim dan Luth, surah yang sama menyebut Daud dan Sulaiman. Kemudian Allah menyebut angin Sulaiman bergerak dengan perintahnya menuju tanah yang Allah berkati di dalamnya. Ini menunjukkan bahawa istilah tanah diberkati sangat penting. Ia adalah medan besar yang menghubungkan beberapa jejak kenabian.

Kemudian Nabi Muhammad SAW pula dikaitkan dengan al-Masjid al-Aqsa yang Allah berkati sekelilingnya. Di sini lafaznya bukan lagi hanya bāraknā fīhā, iaitu Kami berkati di dalamnya, tetapi bāraknā ḥawlahu, iaitu Kami berkati sekelilingnya. Maka al-Quran memperkenalkan satu lagi bentuk hubungan antara pusat ibadah, kawasan sekitar dan barakah.

Daripada semua ayat ini, kita melihat satu pola besar. Al-Quran menggunakan istilah tanah yang diberkati, tempat yang diberkati, lembah yang disucikan dan masjid yang diberkati sekelilingnya apabila membicarakan jejak para nabi. Ini bermaksud, pencarian jejak para nabi tidak boleh bergantung kepada nama moden semata-mata. Ia perlu ditelusuri melalui bahasa yang Allah sendiri gunakan dalam al-Quran.

Di sini kita perlu kembali kepada nama Kedah Tua kerana ia menjadi sangat penting. Jika nama ini hanya dibaca sebagai Old Kedah, maka kita hanya melihatnya melalui terjemahan moden dan istilah arkeologi. Tetapi apabila ia diteliti melalui rangkaian lafaz Quranik, khususnya al-wādī al-muqaddasi Ṭuwā, maka nama Kedah Tua mula terbuka kepada bacaan yang jauh lebih dalam.

Namun sebelum kita sampai kepada bentuk sebutan Kaddaeh Tuwa, kita perlu memahami dua perkataan utama yang membentuk frasa itu terlebih dahulu.

Pertama ialah muqaddas. Kedua ialah Ṭuwā. Maka bahagian seterusnya kita akan meneliti perkataan muqaddas dari sudut bahasa al-Quran, akar kata dan makna asalnya. Ini penting kerana jika Kedah benar-benar menyimpan jejak bunyi qaddas / kaddas, maka kita mesti terlebih dahulu memahami apakah makna muqaddas dalam bahasa al-Quran.


Analisis Linguistik Muqaddas

Sebelum kita sampai kepada nama Ṭuwā, kita perlu berhenti dahulu pada perkataan yang datang sebelumnya, iaitu ٱلْمُقَدَّسِ

Inilah perkataan yang menjadi kunci pertama dalam frasa:

ٱلْوَادِ ٱلْمُقَدَّسِ طُوًى
al-wādi al-muqaddasi Ṭuwā
“lembah yang disucikan, Ṭuwā.”

Perkataan مُقَدَّس berasal daripada akar:

ق د س
qāf, dāl, sīn

Akar ini membawa makna qudus, suci, bersih, bebas daripada kekotoran, terpisah daripada keadaan biasa dan berada dalam kedudukan yang dimuliakan.

Dalam al-Quran, akar ق د س tidak digunakan untuk perkara pembersihan biasa. Ia muncul dalam dua perkara besar. Pertama, dalam hubungan pensucian kepada Allah dan kedua, dalam hubungan tempat yang Allah sendiri sifatkan sebagai disucikan.

Contoh pertama adalah ketika malaikat berbicara kepada Allah dalam Surah al-Baqarah 2:30, mereka berkata:

وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ

Wa naḥnu nusabbiḥu bi-ḥamdika wa nuqaddisu laka

“Sedangkan kami bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu.”

Di sini, akar ق د س digunakan dalam hubungan dengan pensucian kepada Allah. Ini menunjukkan bahawa akar ini membawa makna yang tinggi, bukan sekadar bersih secara fizikal atau bebas daripada kotoran zahir.

Kemudian contoh kedua pula dalam Surah al-Mā’idah 5:21. Akar yang sama digunakan pada tempat:

ٱلْأَرْضَ ٱلْمُقَدَّسَةَ

al-arḍa al-muqaddasah

“tanah yang disucikan.”

Kedua-dua contoh ayat ini sangat penting untuk membuktikan akar ق د س tidak digunakan hanya dalam konteks tasbih dan pensucian kepada Allah, tetapi digunakan juga kepada satu tanah. Ini menunjukkan bahawa dalam bahasa al-Quran, sesuatu tempat boleh menerima sifat muqaddas, iaitu tempat yang telah disucikan dan diberi kedudukan khusus.

Maka, apabila al-Quran menggunakan akar ق د س untuk sesuatu tempat, tempat itu tidak boleh dibaca sebagai tempat sebarangan. Ia bukan sekadar tanah lama, bukan sekadar kawasan bersejarah dan bukan sekadar tempat ritual atau sekadar tapak penggalian arkeologi atau tanah yang dimuliakan oleh manusia. Sebaliknya, ia adalah tempat yang telah diberi status pensucian oleh Allah sendiri.

Di sinilah maksud muqaddas perlu diperhalusi bersama-sama. Lafaz مُقَدَّس bukan sekadar membawa maksud “suci” secara umum. Ia membawa makna sesuatu yang telah disucikan. Dalam bahasa Arab, bentuk ini menunjukkan bahawa tempat tersebut menerima kesan pensucian. Dengan kata lain, tempat itu bukan suci kerana manusia mengangkatnya, tetapi kerana Allah menyebutnya sebagai tempat yang disucikan.

Sebab itu apabila al-Quran menyebut:

ٱلْوَادِ ٱلْمُقَدَّسِ

maksudnya bukan sekadar lembah yang cantik, lembah yang tua atau lembah yang terkenal. Ia ialah lembah yang telah disucikan oleh Allah.

Ia berasal daripada kata kerja:

قَدَّسَ
qaddasa

Dari sudut bentuk bahasa, مُقَدَّس membawa makna sesuatu yang telah menerima kesan pensucian. Dengan kata lain, ia bukan sekadar “suci” secara umum, tetapi:

Yang telah disucikan.

Yang telah dijadikan suci.

Yang telah dipisahkan daripada kekotoran biasa.

Yang telah dikeluarkan daripada status tempat biasa.

Yang telah dimuliakan dengan pemilihan tertentu.

Maka apabila al-Quran menyebut:

ٱلْوَادِ ٱلْمُقَدَّسِ

maksudnya,

Bukan sekadar lembah yang cantik.

Bukan sekadar lembah yang tua.

Bukan sekadar lembah yang terkenal.

Bukan sekadar lembah yang pernah berlaku peristiwa sejarah.

tetapi ia ialah lembah yang telah disucikan oleh Allah.

Ini menjadikan frasa al-wādi al-muqaddas sangat mengejutkan maknanya. Sebab itu saya menyatakan perkataan muqaddas tidak boleh diterjemahkan secara biasa sahaja. Ia bukan sekadar "qudus" atau "holy" dalam maksud umum. Ia membawa makna tempat yang telah dipilih, dipisahkan, disucikan dan dimuliakan.

Mari perhatikan baik-baik bacaan bagi Kedah Tua sebagaimana kita telah bincangkan di atas.

Jika nama Kedah masih menyimpan jejak fonetik qaddas / kaddas dalam lidah orang utara Semenanjung Tanah Melayu, maka ia bukan nama tempat yang terputus daripada akar makna yang telah disebutkan tadi. Ia bukan sekadar nama negeri. Ia bukan sekadar nama kerajaan lama.

Ia membawa ingatan kepada makna:

tempat yang disucikan.


Dari Muqaddas Kepada Qaddas, Kaddas dan Kaddaeh

Perkataan penuh yang sedang kita teliti ialah:

muqaddas

Dalam kajian kata serapan, sesuatu lafaz asing yang masuk ke dalam bahasa tempatan biasanya tidak kekal seratus peratus seperti bentuk asalnya. Kata Arab yang masuk ke dalam bahasa Melayu terbukti boleh mengalami penyesuaian fonetik, morfologi, ejaan dan makna mengikut sistem bahasa Melayu.

Maka dalam meneliti lafaz muqaddas, kita tidak boleh berhenti pada bentuk Arab asalnya sahaja. Kita perlu melihat bagaimana bunyi lafaz itu boleh menyesuaikan diri apabila masuk ke dalam lidah tempatan.

Dalam kes muqaddas, unsur mu- bukan imbuhan Melayu, tetapi sebahagian daripada bentuk Arab. Namun apabila lafaz ini melalui perjalanan lisan dan serapan tempatan, bahagian bunyi yang paling menonjol ialah:

qaddas

Dalam lidah Melayu, bunyi qāf Arab pula sering didekatkan kepada bunyi k, kerana sistem bunyi Melayu tidak selalu membezakan qāf Arab dengan kaf secara terlalu ketat. Maka qaddas boleh menjadi:

kaddas

Di sinilah loghat Utara menjadi sangat penting.

Dalam lidah orang Utara, bunyi s di hujung perkataan sering berubah menjadi h, eh atau aih.

Contoh realiti dalam sebutan orang Utara:

pedas → pedaeh
kelas → kelaeh
perkakas → perkaeh
bekas → bekaeh

Dengan pola yang sama:

qaddas → qaddaeh
kaddas → kaddaeh

Maka jalur fonetiknya menjadi begini:

muqaddas → qaddas → kaddas → kaddaeh

Dari sini, bentuk Qaddah, Kaddah atau Kedah bukan lagi terlalu jauh. Ia boleh dibaca sebagai bentuk ejaan moden bagi sebutan lama:

Qaddaeh
Kaddaeh
Kedah

Kedah bukan nama yang terputus daripada akar bunyinya. Ia boleh dibaca sebagai kesinambungan sebutan qaddas / kaddas yang bergerak dalam lidah orang Utara.

Dengan bacaan ini, kita sedar bahawa Kedah menyimpan jejak fonetik kepada qaddas / kaddas, iaitu inti bunyi kepada muqaddas.


Nama-Nama Luar Kedah Tidak Membatalkan Bacaan Kaddaeh Tuwa

Sumber sejarah memang merekodkan Kedah Tua dengan pelbagai nama seperti Kadaram, Kataha, Kalah, Qilah, Kalah-Bar dan beberapa bentuk lain daripada sumber India, Arab dan China.

Nama-nama ini penting untuk menunjukkan bahawa Kedah bukan tempat kecil yang hanya dikenali secara tempatan. Kedah telah lama dikenali, disebut dan dicatat oleh pelbagai bangsa luar dengan bentuk nama yang berbeza-beza.

Namun dalam artikel ini, saya tidak akan mengulang semula semua perbahasan tentang nama-nama tersebut secara panjang. Perbincangan khusus tentang asal usul nama Kedah menurut fahaman tempatan dan sejarah arus perdana telah saya susun dalam artikel lain.

Sesiapa yang mahu melihat perbandingan nama-nama lain bagi Kedah boleh klik pautan artikel berikut:

Asal Usul Nama Negeri Kedah Menurut Fahaman Tempatan dan Sejarah Arus Perdana

Artikel dalam pautan tersebut mengambil fokus yang berbeza. Fokus artikel ini pula bukan untuk menyenaraikan semua nama luar bagi Kedah. Fokus artikel ini ialah meneliti semula nama Kedah Tua melalui lafaz al-Quran:

ٱلْوَادِ ٱلْمُقَدَّسِ طُوًى
al-wādī al-muqaddasi Ṭuwā

Maka nama-nama seperti Kadaram, Kataha, Kalah dan Qilah perlu dilihat sebagai bahan perbandingan, bukan sebagai penutup perbahasan.

Catatan luar tidak semestinya menangkap sebutan asal tempatan dengan tepat. Orang India, Arab dan China menulis nama tempat berdasarkan apa yang mereka dengar, apa yang sesuai dengan lidah mereka dan apa yang boleh dimasukkan ke dalam sistem tulisan mereka.

Maka apabila mereka menulis Kadaram, Kataha, Kalah atau Qilah, itu tidak semestinya bermaksud masyarakat tempatan menyebut nama tersebut dengan bentuk yang sama.

Nama luar tidak selalu sama dengan nama asal. Catatan luar juga tidak selalu menyimpan bunyi tempatan dengan tepat. Ejaan luar pula tidak semestinya memelihara makna asal.

Namun, nama-nama luar membantu kita melihat bahawa Kedah pernah dikenali dalam banyak bentuk. Nama-nama itu tidak membatalkan kemungkinan bahawa dalam lidah orang tempatan, nama tersebut pernah hidup sebagai Kaddaeh Tuwa, sebelum akhirnya diseragamkan dalam ejaan moden sebagai Kedah Tua.

Dari sini kita bergerak kepada bahagian seterusnya, iaitu perkataan kedua dalam frasa Muqaddasi Ṭuwā:

Ṭuwā.


Analisis Linguistik Ṭuwā: 

Sekarang kita masuk kepada perkataan kedua pula iaitu:

طُوًى
Ṭuwā

Perkataan ini sangat jarang digunakan. Ia juga bukan perkataan biasa. Ia muncul dalam dua ayat berkaitan kisah Nabi Musa a.s.:

Surah Ṭāhā 20:12:

إِنِّيٓ أَنَا۠ رَبُّكَ فَٱخْلَعْ نَعْلَيْكَ ۖ إِنَّكَ بِٱلْوَادِ ٱلْمُقَدَّسِ طُوًى

“Sesungguhnya Aku ialah Rabbmu. Maka tanggalkanlah kedua sandalmu. Sesungguhnya engkau berada di lembah yang disucikan, Ṭuwā.”

Surah an-Nāzi‘āt 79:16:

إِذْ نَادَىٰهُ رَبُّهُۥ بِٱلْوَادِ ٱلْمُقَدَّسِ طُوًى

“Ketika Rabbnya menyerunya di lembah yang disucikan, Ṭuwā.”

Dalam kedua-dua ayat ini, Ṭuwā datang selepas frasa:

ٱلْوَادِ ٱلْمُقَدَّسِ
al-wādī al-muqaddas
“lembah yang disucikan.”

Ini sangat penting kerana Allah tidak sekadar menyebut lembah. Allah juga tidak sekadar menyebut lembah yang disucikan. Tetapi Allah menambah nama atau sifat yang sangat khusus:

طُوًى
Ṭuwā

Maka Ṭuwā bukan tambahan biasa dan bukan bunyi tanpa makna dalam ayat itu. Ia bukan nama tanpa makna signifikan sebaliknya ia adalah kunci kedua selepas muqaddas.

Dari sudut bunyi pula, perkataan Ṭuwā sangat dekat untuk diperhatikan dalam lidah Melayu. Huruf Arab ط ialah bunyi ṭā’, iaitu bunyi t yang tebal. Apabila bunyi ini masuk ke lidah Melayu, ia biasanya menjadi t biasa kerana lidah Melayu tidak mengekalkan ketebalan huruf ṭā’ seperti sebutan Arab.

Kemudian bunyi dalam Ṭuwā boleh kekal sebagai wa, atau melebur dalam ejaan dan sebutan Melayu menjadi ua.

Maka dari sudut fonetik, jalur ini sangat munasabah:

Ṭuwā → Tuwa → Tua

Namun di sini kita belum membincangkan maksud Tua sebagai old. Itu datang kemudian. Pada tahap ini, yang penting ialah menunjukkan bahawa Tua dalam Kedah Tua boleh diteliti sebagai bentuk ejaan Melayu kepada Tuwa, dan Tuwa pula masih menyimpan rangka bunyi Ṭuwā.

Jika muqaddas memberi makna bahawa tempat itu telah disucikan, maka Ṭuwā pula membuka lapisan makna yang lebih dalam. Ia membawa perbahasan tentang nama lembah, pengulangan, penggandaan dan lipatan.

Inilah yang menjadikan frasa:

ٱلْوَادِ ٱلْمُقَدَّسِ طُوًى
al-wādī al-muqaddasi Ṭuwā

sangat luar biasa dari sudut makna.

Selepas memahami bahawa muqaddas bermaksud tempat yang telah disucikan, kita perlu meneliti pula apakah maksud Ṭuwā menurut bahasa dan huraian para mufassir. Dari situlah kita akan melihat bahawa Ṭuwā bukan sekadar nama tempat, tetapi lafaz yang membawa makna berulang, berganda dan berlapis.


Ṭuwā Bermaksud Berulang Kali, Dua Kali, Digandakan dan Dilipat

Dalam huraian bahasa dan tafsir, Ṭuwā bukan sahaja disebut sebagai nama lembah. Ia juga dihuraikan dengan makna:

dua kali
berulang kali
digandakan
dilipat dua
kesucian yang berlapis

Ia mempunyai sandaran dalam kalam para mufassir.

Dalam Tafsir al-Jalalayn, Ṭuwā disebut sebagai nama lembah. Dalam Tafsir al-Wasīṭ pula, al-wādī dijelaskan sebagai tempat rendah antara dua kawasan tinggi, al-muqaddas bermaksud yang disucikan dan Ṭuwā disebut sebagai nama lembah. Tafsir Ibn Kathir juga menyatakan bahawa Ṭuwā ialah nama lembah menurut pendapat yang sahih. (Surah Quran)

Lebih penting lagi, Tafsir al-Ṭabarī menyebut beberapa pendapat tentang Ṭuwā. Antara pendapat yang diriwayatkan daripada Mujāhid ialah Ṭuwā sebagai nama lembah. Ibn Zayd pula menyebut bahawa nama tempat yang disucikan itu ialah Ṭuwā. Qatādah menyebut bahawa lembah itu disucikan dua kali dan namanya ialah Ṭuwā. Al-Ṭabarī juga menyebut pendapat bahawa maksud Ṭuwā ialah dua kali. Bahkan daripada al-Ḥasan disebut bahawa keberkatan dan pensucian tersebar padanya dua kali. (Surah Quran)

Al-Qurṭubī pula menyebut bacaan Ṭiwā dengan kasrah pada huruf ṭā’ yang diriwayatkan daripada al-Ḥasan dan ‘Ikrimah. Beliau menghuraikan maknanya sebagai al-muqaddas marrah ba‘da marrah, iaitu disucikan sekali demi sekali. Beliau juga mengaitkannya dengan makna sesuatu yang berulang. (Surah Quran)

Maka jelas bahawa Ṭuwā tidak boleh dibaca sebagai sekadar nama biasa. Ia mempunyai beberapa lapisan makna:

Pertama, Ṭuwā ialah nama lembah.

Kedua, Ṭuwā berkait dengan tempat yang disucikan.

Ketiga, Ṭuwā membawa makna dua kali atau berulang.

Keempat, Ṭuwā membawa makna keberkatan dan pensucian yang digandakan.

Ini sekaligus sangat serasi dengan akar katanya:

ط و ي
ṭā’, wāw, yā’

Akar ط و ي membawa makna:

  • Melipat.
  • Menggulung.
  • Menghimpunkan.
  • Menutup sesuatu yang terbuka.
  • Menyimpan sesuatu dalam lipatan.
  • Menggandakan sesuatu melalui lipatan.

Akar yang sama muncul dalam Surah al-Anbiyā’ 21:104:

يَوْمَ نَطْوِي ٱلسَّمَآءَ كَطَيِّ ٱلسِّجِلِّ لِلْكُتُبِ

“Pada hari Kami melipat langit seperti lipatan lembaran kitab.”

Perkataan نَطْوِي dalam ayat ini bermaksud Kami melipat.

Maka, akar ط و ي bukan sekadar membawa makna nama tempat. Ia membawa imej besar tentang sesuatu yang dilipat, digulung, disimpan, digandakan dan dikembalikan dalam bentuk yang berlapis.

Di sinilah makna Ṭuwā menjadi sangat menakjubkan. Ia bukan hanya dilihat sebagai nama lembah. Ia ialah nama lembah yang disucikan. Ia ialah nama lembah yang diberkati. Ia ialah nama lembah yang kesuciannya disebut oleh mufassir sebagai berulang, dua kali atau digandakan. Ia ialah nama yang membawa lipatan, pengulangan dan lapisan.

Dari sini kita boleh simpulkan bahawa Ṭuwā boleh difahami melalui beberapa lapisan makna:

Pertama, Ṭuwā ialah nama lembah.

Kedua, Ṭuwā membawa makna lipatan.

Ketiga, Ṭuwā membawa makna pengulangan atau dua kali.

Keempat, Ṭuwā membawa makna kesucian yang digandakan atau diberkati berulang kali.

Ini sangat penting untuk memahami hubungan dengan nama Kedah Tua. Jika Tua dalam Kedah Tua sebenarnya ialah Tuwa, maka ia bukan bermaksud old. Ia bukan bermaksud lama dan bukan bermaksud tua dari segi usia. 

Maka selepas ini, saya percaya anda telah bersetuju untuk mengatakan Kedah Tua tidak sepatutnya dibaca sebagai Kedah yang tua sahaja. Ia perlu dibaca semula sebagai:

Kaddaeh Tuwa
Muqaddasi Ṭuwā

Dengan bacaan ini, Tuwa bukan sekadar bunyi dengan loghat tempatan. Ia membawa rangka makna Quranik yang sangat dalam sebagai lembah, kesucian, pengulangan, penggandaan dan lipatan sejarah.


Penutup

Setelah semua lafaz, akar kata dan perjalanan bunyi ini diteliti, kita sampai kepada satu kesimpulan yang besar. Nama Kedah Tua tidak wajar terus dibaca secara mudah sebagai Old Kedah. Bacaan itu terlalu biasa, terlalu moden dan terkurung dalam istilah bahasa hari ini.

Dalam artikel ini, anda sendiri telah melihat bahawa al-Quran tidak hanya menyebut kisah para nabi. Al-Quran juga menyebut tempat, tanah, lembah, masjid dan kawasan yang Allah tandakan dengan bahasa barakah, kesucian dan pemilihan.

Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Luth a.s. dikaitkan dengan tanah yang diberkati. Nabi Musa a.s. dikaitkan dengan lembah yang disucikan, Ṭuwā. Nabi Harun a.s. masuk melalui misi yang lahir daripada peristiwa Ṭuwā. Nabi Daud a.s. dan Nabi Sulaiman a.s. berada dalam rangkaian tanah yang diberkati. Nabi Muhammad SAW pula dikaitkan dengan al-Masjid al-Aqsa yang Allah berkati sekelilingnya.

Maka apabila nama Kedah Tua diteliti melalui rangkaian lafaz al-Quran ini, ia tidak lagi kelihatan sebagai nama sejarah biasa. Ia mula terbuka sebagai satu nama agung yang menyimpan jejak lafaz Quranik ٱلْوَادِ ٱلْمُقَدَّسِ طُوًى (al-wādī al-muqaddasi Ṭuwā) di negeri Kedah, Malaysia, melalui sebutan Kaddaeh Tuwa yang kembali kepada Muqaddasi Ṭuwā.

Setakat pengetahuan dan carian saya, saya belum menemui sesiapa yang membuka nama Kedah Tua melalui rangka bacaan Muqaddasi Ṭuwā seperti ini. Yang banyak dibahaskan ialah Kedah Tua sebagai kerajaan purba, pelabuhan kuno, pusat perdagangan, Lembah Bujang, Kadaram, Kataha, Kalah dan nama-nama luar yang lain.

Namun kali ini kita datang ke pintu yang berbeza. Kita masuk ke dalam Al-Quran, kitab petunjuk yang terpelihara, yang bukan sahaja membawa hukum dan peringatan, tetapi juga menyimpan nama, tempat, arah perjalanan dan jejak para nabi. Kita bawa sejarah, kita meneliti bahasa, kita sebatikan nama-nama luar seperti Kadaram, Kataha atau Kalah menjadi Kedah Tua. Jika Muqaddasi Ṭuwā itu nama yang difirmankan Allah dalam Al-Quran, maka Dialah yang memelihara lafaz itu hingga akhir zaman.

Kini nama itu terbuka. Jika bacaan ini anda terima, maka implikasinya sangat besar. Memandangkan Nabi Ibrahim a.s. diarahkan menuju tanah ini, maka tanah ini sudah pun wujud sebelum Nabi Ibrahim a.s. Inilah yang dinamakan kajian Anbiya-centric di Nusantara, dari Ibrahim dan Luth ke Musa dan Harun, dari Daud dan Sulaiman ke Nabi Muhammad SAW, kemudian naik lebih jauh kepada Nuh hingga Adam.

Berbanggalah wahai orang Kedah, berbanggalah wahai orang Tanah Melayu, berbanggalah wahai orang Nusantara, kerana di tanah ini tersimpan jejak yang panjang dan di tanah ini juga, dengan izin Allah, akan bangkit kembali Khilafah di atas manhaj nubuwwah.

Jika anda belum beragama Islam, marilah kembali kepada Allah. Bacalah al-Quran dengan hati yang jujur dan ikhlas kerana ia akan membimbing kita. Kenalilah Tuhan yang menciptakan kita, para nabi yang diutus-Nya dan petunjuk terakhir yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Jangan pulang kepada bangsa, jangan pulang kepada tanah semata-mata, tetapi pulanglah kepada Allah, kerana Dialah Tuhan seluruh manusia.


Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (0):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.