Anbiya’-Centric vs Arab-Centric: Menyusun Semula Sejarah Para Nabi Dalam al-Quran
Bila kita membaca sejarah para nabi dalam al-Quran, kita akan mendapati bahawa kisah mereka tidak terkumpul dalam satu tempat sahaja. Ia tidak setempat.
Kisah seorang nabi boleh muncul dalam beberapa surah. Setiap surah pula mungkin menonjolkan peristiwa yang berbeza. Ada surah yang menceritakan permulaan dakwahnya. Ada yang menceritakan perjalanan kaumnya. Ada yang menyebut tempat tertentu. Ada pula yang memberikan gambaran tentang laut, gunung, lembah, kota, bangsa dan arah perjalanan.
Sebab itu sejarah para nabi tidak boleh dibaca secara terpisah-pisah. Kita perlu mengumpulkannya berdasarkan watak nabi. Pada masa yang sama, kita perlu menyusunnya berdasarkan peristiwa. Kita juga perlu melihat geografi serta mengenal pasti landmark yang disebut secara langsung atau tidak langsung dalam al-Quran.
Kaedah ini bukan sesuatu yang mudah. Namun, apabila saya mula menyusun sejarah berdasarkan paksi para nabi, satu demi satu petunjuk mula kelihatan. Atas sebab itu saya namakan pendekatan ini sebagai “Anbiya’-Centric”.
Apa yang dimaksudkan dengan Anbiya’-Centric?
Anbiya’-Centric bermaksud kita menjadikan para nabi sebagai paksi utama dalam menyusun sejarah al-Quran.
Kita tidak hanya bertanya, “Di manakah tempat ini?”
Kita juga bertanya:
Siapakah nabi yang berkait dengan tempat tersebut?
Apakah peristiwa yang berlaku di situ?
Siapakah kaum yang berada di situ?
Apakah perjalanan yang berlaku sebelum dan selepas peristiwa itu?
Apakah gunung, laut, lembah, kota atau landmark yang boleh membantu kita mengenal pasti kawasan tersebut?
Apabila soalan-soalan ini dikumpulkan, sejarah al-Quran tidak lagi kelihatan seperti potongan cerita yang berdiri sendiri. Sebaliknya, ia mula kelihatan sebagai satu rangkaian perjalanan manusia, para nabi, kaum dan wilayah.
Inilah perbezaan besar antara membaca kisah secara berasingan dengan membaca sejarah berdasarkan paksi para nabi.
Allah berfirman:
لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِأُولِي الْأَلْبَابِ ۗ مَا كَانَ حَدِيثًا يُفْتَرَىٰ وَلَٰكِنْ تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang yang mempunyai akal. Al-Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, tetapi membenarkan kitab-kitab yang sebelumnya, menjelaskan segala sesuatu serta menjadi petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.”
Surah Yusuf 12:111
Ayat ini menunjukkan bahawa kisah para nabi bukan sekadar cerita untuk dibaca. Di dalamnya terdapat pengajaran, penjelasan, petunjuk dan hubungan antara pelbagai peristiwa.
Apa Pula maksud Arab-Centric?
Dalam tulisan ini, saya menggunakan istilah “Arab-Centric” sebagai satu istilah analisis. Ia merujuk kepada kecenderungan untuk meletakkan hampir keseluruhan sejarah al-Quran dalam lingkungan Tanah Arab. Apabila sesuatu tempat disebut dalam kisah para nabi, kita terus mencarinya di sekitar Semenanjung Arab, Syam, Iraq atau kawasan yang telah biasa kita kenali.
Saya tidak menggunakan istilah ini untuk menghina bangsa Arab. Saya juga tidak mengatakan bahawa semua ulama terdahulu sengaja mengehadkan sejarah para nabi kepada dunia Arab.
Tanah Arab tetap penting. Mekah, Madinah, Madyan, Syam dan Mesopotamia memang mempunyai kedudukan besar dalam sejarah kenabian.
Namun, wahyu yang diturunkan dalam bahasa Arab tidak bermaksud keseluruhan sejarah manusia yang disebut dalam al-Quran hanya berlaku di Tanah Arab.
Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, tetapi ia ditujukan kepada seluruh manusia. Nabi Muhammad SAW diutus bukan untuk satu bangsa sahaja. Maka, sejarah para nabi yang terkandung dalam al-Quran juga perlu dibaca dengan kesedaran bahawa dunia manusia lebih luas daripada satu wilayah.
Masalah berlaku apabila peta yang biasa kita kenali dianggap sebagai satu-satunya peta yang mungkin. Pada ketika itu, semua tempat mesti dimasukkan ke dalam peta yang sama. Semua perjalanan mesti berlaku di kawasan yang sama. Semua jejak para nabi mesti dicari di sekitar wilayah Arab.
Di sinilah pendekatan Arab-Centric menjadi terbatas.
Apabila Sejarah Dikumpulkan Berdasarkan Watak Nabi
Bila saya menggunakan pendekatan Anbiya’-Centric, saya mula melihat perkara yang sebelum ini tidak kelihatan.
Nabi Muhammad SAW kita temui di Mekah. Kita juga menemukan baginda di Madinah. Selain itu, terdapat peristiwa dan petunjuk lain yang berkait dengan tempat-tempat yang tidak boleh terus dihimpunkan di bawah satu lokasi sahaja.
Nabi Nuh AS pula memberikan rangkaian petunjuk yang membawa saya kepada Nusantara. Pada masa yang sama, terdapat juga petunjuk yang berkait dengan Mesopotamia.
Jika kisah Nuh hanya dibaca melalui satu peta Arab-Centric, hubungan antara beberapa peristiwa tersebut tidak akan kelihatan. Namun, apabila kisah Nuh dikumpulkan berdasarkan wataknya, perjalanan, kaumnya, bahtera, air, gunung dan tempat pendaratan, kita mula melihat ruang penelitian yang lebih luas.
Nabi Syu‘aib AS pula biasa dikaitkan dengan Madyan di kawasan Arab. Itu ialah satu bahagian daripada penelitian. Namun, apabila rangkaian kisah dan petunjuknya dikaji secara lebih luas, saya turut menemukan petunjuk yang saya hubungkan dengan Aceh di Nusantara.
Nabi Daud AS juga tidak semestinya hanya meninggalkan jejak di kawasan Arab. Dalam pembacaan saya, terdapat petunjuk yang membawa kepada Semenanjung Tanah Melayu.
Nabi Sulaiman AS lebih menarik lagi. Jejak baginda bukan hanya berkait dengan Tanah Arab. Saya menemukan petunjuk yang berkait dengan pelbagai kawasan di Nusantara. Ia bukan muncul sekali sahaja, tetapi melalui beberapa rangkaian peristiwa dan perjalanan yang berulang.
Uzair pula mempunyai kisah yang berkait dengan perjalanan Bani Israel. Pada masa yang sama, terdapat petunjuk yang membawa kepada peristiwa di Nusantara.
Kisah Maryam juga tidak semestinya hanya dibaca melalui satu lingkungan geografi. Saya menemukan satu lapisan kisah yang berkait dengan kawasan Arab dan satu lagi rangkaian petunjuk yang saya hubungkan dengan Nusantara.
Begitu juga dengan kisah Khidir, Hud dan Saleh. Apabila kisah mereka dikumpulkan berdasarkan watak, peristiwa dan geografi, kita akan melihat bahawa penelitian mereka tidak semestinya selesai dengan meletakkan semua lokasi di kawasan Arab.
Nabi Ibrahim AS tidak perlu saya ceritakan panjang. Jejak Ibrahim saya temui di merata-rata tempat. Kisahnya melibatkan perjalanan, keluarga, tempat ibadah, penghijrahan, kaum dan tanah yang diberkati.
Dalam penelitian terhadap Siti Hajar pula, saya menemukan jejaknya di Arab serta satu rangkaian petunjuk di Nusantara yang saya kaitkan dengan kedudukannya sebagai dayang kepada Jabbarin.
Bagi kisah Qanturah pula, saya belum menemukan rangkaian petunjuk yang cukup kuat untuk saya bentangkan secara panjang dalam kerangka Anbiya’-Centric. Sebab itu saya tidak mahu memaksa sesuatu kesimpulan sebelum susunan dalilnya benar-benar jelas.
Mengapa Semua Ini Tidak Kelihatan Sebelum Ini?
Jawapannya ialah kerana kita sering membaca al-Quran berdasarkan surah secara terpisah.
Kita membaca kisah Nuh dalam satu surah. Kemudian kita membaca kisah Nuh dalam surah lain. Selepas itu, kita kembali kepada kisah Ibrahim, Musa, Daud, Sulaiman atau Maryam tanpa menghubungkan semua peristiwa tersebut dalam satu rangkaian sejarah.
Kita juga sering membaca nama tempat berdasarkan andaian yang telah siap.
Apabila mendengar perkataan Madyan, kita terus membawa fikiran kepada satu lokasi yang sudah diwarisi. Apabila membaca kisah Bani Israel, kita terus mengehadkannya kepada satu kawasan. Apabila melihat kisah para nabi, kita menganggap perjalanan mereka berlaku dalam lingkungan yang sama.
Sedangkan al-Quran sendiri mengajar manusia supaya melihat sejarah dengan lebih luas.
Allah berfirman:
قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِكُمْ سُنَنٌ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ
“Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu sunnah-sunnah Allah. Maka berjalanlah kamu di bumi dan lihatlah bagaimana kesudahan orang yang mendustakan.”
Surah Ali ‘Imran 3:137
Arahan untuk berjalan di bumi dan melihat kesudahan umat terdahulu menunjukkan bahawa sejarah bukan sekadar bahan hafalan. Ia berkait dengan bumi, tempat, peninggalan, perjalanan dan kesan yang boleh diperhatikan.
Sebab itu apabila kita mengkaji sejarah para nabi, kita tidak boleh hanya bertanya apakah tafsiran sesuatu tempat. Kita juga perlu bertanya bagaimana tempat itu berhubung dengan peristiwa lain yang disebut dalam al-Quran.
“Semua ini ada dalam al-Quran”
Apabila saya berkata semua yang saya sebutkan ini ada dalam al-Quran, saya tidak bermaksud al-Quran menyebut nama negara moden seperti Malaysia, Indonesia atau Iraq satu persatu.
Al-Quran tidak menggunakan peta moden. Yang dimaksudkan ialah unsur-unsur sejarahnya ada dalam al-Quran. Wataknya ada. Perjalanannya ada. Kaumnya ada. Peristiwa dan hubungan antara mereka ada. Gambaran tentang gunung, laut, lembah, tanah yang diberkati, kota dan arah perjalanan juga ada.
Masalahnya, petunjuk itu tidak akan kelihatan jika kita membaca setiap ayat secara terpisah dan terus memasukkannya ke dalam peta yang sama.
Namun, apabila ayat-ayat itu dikumpulkan berdasarkan para nabi, peristiwa, geografi dan landmark, satu demi satu hubungan mula terbongkar.
Yang di sana kelihatan berada di sana.
Yang di sini kelihatan berada di sini.
Perkara yang berlaku dalam perjalanan pula mungkin melibatkan wilayah di sebelah barat dan wilayah di sebelah timur.
Al-Quran ialah kitab yang perlu ditadabburi. Allah berfirman:
كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ
“Ini ialah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu yang penuh keberkatan supaya mereka mentadabburi ayat-ayatnya dan supaya orang yang mempunyai akal mengambil pengajaran.”
Surah Sad 38:29
Tadabbur bukan sekadar membaca satu ayat lalu berhenti. Tadabbur juga bermaksud melihat hubungan, susunan, pengulangan dan petunjuk yang tersebar dalam keseluruhan al-Quran.
Tidak Semua Perkara Boleh Dibentangkan Sekaligus
Banyak lagi petunjuk yang saya temui. Namun, saya tidak boleh lambakkan semuanya dalam satu tulisan. Jika semua perkara dibentangkan serentak, pembaca mungkin akan keliru sebelum sempat memahami asasnya.
Setiap nabi memerlukan penelitian yang tersendiri. Setiap wilayah pula perlu dibandingkan dengan ayat, bahasa, sejarah, geografi dan landmark.
Saya juga tidak mahu menjadikan persamaan nama semata-mata sebagai bukti. Sesuatu pemetaan perlu dibina secara berperingkat. Ia perlu disokong oleh rangkaian dalil dan kesesuaian antara peristiwa dengan geografi.
Sebab itu saya menyusun penelitian ini sedikit demi sedikit. Daripada susunan tersebut, saya mula membentuk beberapa kluster, termasuk tiga kluster utama yang sedang saya kembangkan dalam tulisan-tulisan lain.
Pembaca mungkin belum nampak keseluruhan gambarannya sekarang. Itu perkara biasa. Sebuah peta tidak dapat difahami hanya dengan melihat satu titik.
Apa Yang Perlu Kita Lakukan?
Kita perlu yakin kepada al-Quran sebagai sumber primer yang paling utama, paling tinggi dan paling sempurna. Al-Quran ialah kalam Allah. Ia tidak akan menyesatkan manusia yang benar-benar menjadikannya sebagai petunjuk. Apa yang perlu kita periksa ialah andaian kita, batas peta kita dan cara kita menyusun ayat-ayat Allah.
Jangan terus menerima sesuatu hanya kerana ia sudah lama disebut. Jangan juga terus menolak sesuatu hanya kerana ia kelihatan baharu.
Bacalah al-Quran dengan teliti. Kumpulkan kisah berdasarkan para nabi. Susun peristiwa berdasarkan urutannya. Perhatikan geografi. Kenal pasti landmark. Bezakan antara dalil yang jelas dengan hipotesis yang masih memerlukan penelitian.
Anbiya’-Centric bukan bermaksud kita membuang semua ilmu terdahulu. Ia ialah satu usaha untuk memperluas cara kita membaca sejarah para nabi supaya tidak terkurung dalam satu andaian geografi.
Apabila pendekatan ini digunakan, satu demi satu petunjuk mula muncul secara tersusun. Kita akhirnya memahami bahawa sejarah dalam al-Quran bukan sejarah satu bangsa sahaja.
Ia bukan sejarah Arab sahaja. Ia ialah sejarah manusia, sejarah para nabi dan sejarah perjalanan hidayah Allah di seluruh bumi.
Dan al-Quranlah yang perlu memimpin kita untuk menemui semula jejak tersebut.

Balas kepada: